Dalam Negara

Doktor Salah Pasang IUCD, Rahim Tembus & Hidup Ibu Dua Anak Berubah Selamanya

Share

Doktor Salah Pasang IUCD Hingga Tembus Rahim, Ibu Dua Anak Derita Trauma

Pahit untuk ditelan, namun inilah realiti yang terpaksa dihadapi oleh seorang wanita bernama Damia Asyiqin. Niat asalnya hanyalah untuk merancang kehamilan demi kesihatan diri dan keluarga, tetapi pemasangan alat perancang kehamilan IUCD di sebuah Klinik Kesihatan di Johor bertukar menjadi mimpi ngeri. Malah dikatakan wanita ini tidak boleh beranak normal seumur hidup.

Menurut Damia, sebelum prosedur dilakukan, keadaan rahimnya berada dalam keadaan normal dan sihat. Namun segalanya berubah sebaik sahaja proses pemasangan IUCD dijalankan oleh doktor.

“Masa tengah pemasangan tu, aku rasa sakit yang luar biasa. Sakit sampai rasa macam perut nak terburai. Tapi doktor cakap itu normal,” luahnya.

Walaupun menahan kesakitan yang tidak tertanggung, Damia cuba mempercayai penjelasan tersebut. Namun nalurinya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Kesakitan yang dialami bukan sekadar sakit biasa seperti yang dijelaskan.

IUCD Tembus Rahim Akibat Kesilapan Prosedur

Susulan aduan kesakitan berpanjangan, Damia diminta menjalani pemeriksaan imbasan. Ketika itulah doktor mengesan kelainan mencurigakan dan mengarahkannya menjalani pemeriksaan X-ray lanjut.

Keputusan pemeriksaan mendedahkan satu kebenaran yang amat menyayat hati. IUCD yang dipasang telah menembusi dinding rahim akibat kecuaian prosedur, menyebabkan usus pecah dan apendiks turut pecah.

Keadaan kritikal itu memaksa Damia dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menjalani pembedahan kecemasan bagi menyelamatkan nyawanya.

“Masa tengah pemasangan tu, aku rasa nak teburai perut sakit sangat. Tapi doktor tu cakap normal. Tapi bagi aku, ini sakit yang luar biasa sampai tak boleh bangun.

Lepas tu doktor suruh masuk bilik scan nak scan alat tu kat mana. Tiba-tiba, dia cakap ada kelainan macam pelik. Dia suruh pergi x-ray untuk tengok iucd tu.

Kesan dari doktor salah pasang ini, saya dikejarkan ke hospital HSA untuk jahit kembali apendik yang pecah. Malah katanya doktor saya tak boleh bersalin normal lagi seumur hidup,” katanya

“Allahurabbi… masa tahu apa yang jadi, rasa gelap dunia. Trauma yang saya tanggung bukan sebab sakit semata-mata, tapi sebab kecuaian orang lain,” katanya.

Trauma Kekal, Tidak Boleh Bersalin Normal Sepanjang Hayat

Lebih memilukan, Damia dimaklumkan bahawa akibat kecederaan serius yang dialaminya, dia tidak lagi dibenarkan bersalin secara normal sepanjang hayat.

Seorang ibu kepada dua anak kecil – Nur Ardellia Helena (1 tahun 4 bulan) dan Nur Aurellia Alayna (10 bulan) – kini terpaksa menerima hakikat bahawa hak melahirkan anak secara normal telah diragut akibat kesilapan pemasangan IUCD.

Ambil Tindakan Undang-Undang Atas Kecuaian Doktor

Tidak mahu berdiam diri, Damia telah membuat laporan polis dan bertemu dengan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap kecuaian perubatan yang berlaku.

Baginya, perjuangan ini bukan sekadar untuk dirinya, tetapi sebagai peringatan kepada wanita lain agar lebih berani bersuara sekiranya merasakan ada yang tidak kena semasa menerima rawatan kesihatan.

Kes doktor salah pasang IUCD ini membuka mata ramai bahawa kesilapan prosedur boleh membawa kesan jangka panjang yang menghancurkan kehidupan seseorang wanita.

Trauma yang dialami Damia mungkin tidak akan hilang sepenuhnya. Namun keberaniannya berkongsi kisah ini menjadi suara kepada ramai wanita lain yang mungkin pernah mengalami pengalaman hampir sama, tetapi memilih untuk berdiam diri.

Kadangkala, luka yang paling dalam bukanlah yang terlihat pada tubuh, tetapi yang terukir dalam hati.

Sumber:  FB Damia Asyiqin.

Published by
Nor Yusoff