Dr Afifah Hidayah Kongsi Pengalaman Baby-Led Weaning, Anak Makan Sendiri Sejak Enam Bulan!

Share

Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek menarik perhatian ramai apabila berkongsi pendekatannya mendidik anak-anak makan sendiri sejak bayi lagi.

Walaupun ada yang salah faham kononnya beliau “tak suap anak”, hakikatnya Dr Afifah mengamalkan konsep Baby-Led Weaning (BLW) iaitu satu kaedah moden yang semakin popular dalam kalangan ibu bapa masa kini.

Anak Belajar Berdikari Sejak Enam Bulan

Menurut Dr Afifah, pendekatan Baby-Led Weaning bukan dilakukan tergesa-gesa, tetapi sebagai usaha untuk mendidik anak supaya lebih berdikari dan yakin dengan diri sendiri sejak kecil.

“Saya mula menggalakkan anak kecil saya makan sendiri pada usia enam bulan. Bukan sebab nak cepat, tapi saya percaya sikap berdikari bermula dari awal,” jelasnya.

Beliau turut menambah, dengan kehidupan yang tidak menentu, adalah penting untuk anak-anak tahu menjaga diri mereka termasuk dalam hal sekecil belajar makan sendiri.

Buat Kajian Sebelum Praktikkan Teknik Baby-Led Weaning

Sebagai seorang ibu dan juga doktor gigi, Dr Afifah mengakui beliau telah membuat banyak kajian dan bacaan sebelum mempraktikkan kaedah Baby-Led Weaning terhadap anak-anaknya.

“Saya banyak belajar tentang cara terbaik memberi permulaan hidup kepada anak-anak. Saya jumpa konsep BLW semasa bersama Aaffan, dan dengan Afzan, saya mula lebih awal seawal usia enam bulan,” katanya.

Dalam kaedah Baby-Led Weaning, bayi diberi peluang untuk makan makanan lembut menggunakan tangan sendiri tanpa disuap. Kaedah ini membantu mereka mengenal rasa, tekstur dan belajar kemahiran motor halus dengan lebih cepat.

Cabaran Jadi Ibu, Antara Pengorbanan Dan Pembelajaran

Mengulas lanjut, Dr Afifah juga menekankan bahawa perjalanan menjadi ibu bukanlah sesuatu yang mudah, malah memerlukan banyak pengorbanan, masa dan kesabaran.

“‘Motherhood’ tak selalu datang secara semula jadi. Kadang-kadang ia perlukan usaha, kesabaran dan keinginan untuk belajar. Saya akhirnya jumpa keseimbangan antara cara tradisional dan moden, dan bagi saya, itu sangat okey.”

Beliau turut berseloroh dalam perkongsiannya,

“P/s: Yang kata saya tak suap anak tu, tahu ke teknik ni?”

Ilmu Ibu, Kasih Yang Tak Bertepi

Dalam dunia keibubapaan hari ini, setiap ibu mempunyai cara tersendiri dalam membesarkan anak-anak. Apa yang penting, kata Dr Afifah, adalah kefahaman dan ilmu dalam setiap tindakan, bukan sekadar ikut trend atau pandangan orang.

Pendekatan Baby-Led Weaning yang diamalkannya bukan sahaja membentuk anak yang berdikari, tetapi juga membantu menjadikan waktu makan lebih menyeronokkan untuk seisi keluarga.

Tip Pa&Ma Untuk Ibu Bapa

Sebelum mencuba Baby-Led Weaning, pastikan bayi sudah boleh duduk tegak, menunjukkan minat terhadap makanan dan mampu menelan dengan baik. Sediakan makanan lembut dan mudah digenggam seperti pisang, labu kukus atau kentang rebus dan pastikan sentiasa ada pengawasan mak ayah.

❤️ Setiap anak berbeza, tapi semua ibu sama mahu yang terbaik untuk si kecilnya.

BACA LAGI : Kebaikan Messy Eating Buat Si Manja, Bayi Makan Comot & Bersepah Tanda Dia Sedang Belajar

Sumber: Threads

Published by
Nana