Alahan ketika mengandung bagi setiap wanita tak sama. Ada yang tak ada alahan langsung, ada yang biasa-biasa dan yang paling teruk pun sehingga nak bersalin pun masih ada. Semua ini jelas membuktikan bukan hanya sakit bersalin je kena hadap, alahan sepanjang mengandung pun kena lalui juga. Cuma rezeki setiap orang tak sama.
Bagi ibu kepada dua cahaya mata perempuan ini yang dikenali sebagai Amma Malik, pengalamannya mengandung kedua-dua anak cukup membuatkan dirinya fobia untuk hamil lagi.
Bukan apa alahannya sangat teruk sehingga perubahan kulit wajahnya jadi gelap dan beratnya juga naik lebih 20 kilogram untuk kedua-dua kehamilan itu sehingga orang tak mengenali dirinya yang sebenar.
ORANG YG SAMA TUDUNG YG SAMA!!
Bkn mamak. Bkn rosak sbb produk mercury. Bkn kembali ke wajah azali. Bkn Sebab tak makeup. “Bila lagi nak rasa jd hodoh” “Hidung buh silicon”
Ni alahan time pregnant!!
Keadaan wajah dan fizikal ketika anak pertama
Yang komen hina-hina Amma, Amma maafkan dan harap hampa, bini hampa tak jadi lah macam Amma.
Kenapa lama menghilang jarang muncul di fb ig?? Sebab down sangat. Yang alami je memahami. Sekarang pun tak berubah habis lagi. Tapi alhamdulillah la bentuk hidung dah kembali ke bentuk asal. Kulit je tak berapa nak ok lagi dan masih “berisi” 49kg.
Ads
Dan dengan bantuan makeup juga lah buat rasa diri ada keyakinan sikit nak selfie up kat FB.
Bagaimanapun menurut Amma, dia sedikit terkilan selepas berkongsi kisah alahannya dan gambar semasa mengandung kerana ramai juga yang mengecam dan meninggalkan kata-kata yang kurang senang.
Alahan Amma sewaktu anak kedua sama bermula ketika usia kandungan 38 minggu
Niatnya hanya satu untuk memberi semangat kepada wanita bergelar ibu yang pernah lalui pengalaman seperti ini.
Kongsi Amma, alahannya bermula ketika kehamilan pertama. Cuma semasa anak pertama alahannya sangat teruk kerana di awal trimester pertama lagi dah mula alahan sehingga perlu masuk wad.
“Masuk kandungan lima bulan baru okey tetapi masa ni memang perubahan kulit wajah yang gelap, naik kayap dekat muka dan tengkuk sehinggalah bersalin.
Ads
Manakala untuk kandungan kedua ini alhamdulillah alahan teruk tak ada cumanya masuk usia kandungan 38 minggu terus kulit muka berubah sehingga menampakkan seperti orang lain dan bukan diri sebenar,” kongsinya yang turut bersalin kedua-dua anak pada minggu ke-41 sehingga perlu di indius.
Ambil masa 6 bulan untuk kembali kulit wajah asal
Tambah Amma, untuk dia kembalikan wajahnya ke kulit asal bukan mudah. Ia mengambil masa 6 bulan.
Macam yang anak nombor dua ni, 6 bulan lepas bersalin memang dah okey cumanya kulit daki-daki dekat badan masih ada lagi dan belum berubah habis sepenuhnya.
Memang ia akan hilang sendiri tetapi Amma ada juga produk yang selamat untuk mempercepatkan lagi usaha kembalikan wajah asal.
Ads
Bukan kulit wajah je yang buatkan diri rasa tak yakin, berat badan juga pun turut menjadi igauan.
Ini kerana masa mengandungkan anak pertama berat asal Amma hanya 39 kilogram naik hingga mencecah 60 kilogram. Manakala ketika mengandungkan anak kedua pula berat naik sehingga mencecah 65 kilogram. Kini dah 6 bulan usia anak kedua dapatlah berat 49 kilogram.
Mujurlah suami cukup memahami keadaan Amma dan selalu puji cantik walaupun dalam keadaan Amma yang lain dari yang dia kenali sebelum ini.
Suami juga sentiasa bagi kata-kata semangat dan pesan jangan hiraukan mulut orang. Hanya yang tahu saya akan faham.
Cuma buat masa ini Amma masih berusaha lagi untuk menurunkan beberapa kilogram lagi untuk mendapat berat ideal kerana tinggi Amma hanya 149 cm dan komitmen Amma sebagai model pakaian muslimah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dengan cuaca yang tidak menentu sekarang ni, bukan anak-anak saja tapi kita yang dewasa pun mudah sangat mengalami kering tekak. Mulalah sakit tekak dan rasa tak selesa. Segala jenis lozenge kita dah makan, tetap tak lega juga.
Kalau anak yang mengadu sakit tekak lagi lah kita rasa risau. Mungkin tidak serius, setakat batuk atau kurang selera makan tetapi tetap buat kita susah hati kan?
Melalui perkongsian Dr Ahmad Luqman Bukhari, beliau ada berkongsi usaha untuk merawat anak di rumah sekiranya keadaan anak tidak terlalu serius. Rawatan menggunakan larutan air garam ini mengikut The Edinburgh and Lothians Viral Intervention Study (ELVIS).
Aduh, tiba-tiba anak start batuk-batuk dan selsema. Siap asyik mengadu tekak tak selesa. Makan pun dah mula kurang selera.
Walaupun mungkin tak berapa teruk, tapi lumrah mak ayah tetap akan rasa susah hati dan bimbang.
Nak bawa keluar ke klinik, satu hal pulak. Risau jugak takut anak ter expose pada pesakit lain yang ada penyakit yang lebih teruk. Nak ke farmasi pun hati duk risaukan benda yang sama.
Haa, mungkin kalian boleh usahakan rawatan yang ini dulu di rumah.
Pergi ke dapur, dan kemudian siapkan larutan air garam.
1. Masak air terlebih dulu. Air yang tak dimasak boleh jadi ada spesis Ameoba dalam tu, tak pasal-pasal dapat jangkitan penyakit lain pulak nanti.
2. Air yang dah dimasak tadi, masukkan dalam satu cawan dan campurkan dengan 1 sudu teh garam. Biarkan ia terlarut dan kemudian berikan masa untuk ia menyejuk.
3. Rasa dulu. Jika terlalu masin, kalian boleh saja tambah air lagi.
Mudah je weh.
Untuk anak yang ada masalah selsema, ambil larutan air garam tadi lalu titiskan ke kedua-dua belah hidung. Air tu akan jadi agen untuk cairkan mukus pekat yang block saluran pernafasan.
Selain tu, yang bagusnya bila kita gunakan larutan air garam, sel tubuh akan manfaatkan klorida daripada garam untuk hasilkan hypoclorus acid.
Hypoclorus acid ni lah akan jadi cecair peluntur untuk musnahkan virus!
Itu bab selsema.
Sekiranya ada sekali gejala sakit tekak dan batuk, ajar anak supaya kumur dengan larutan air garam yang kita buat tu sebanyak 3 kali sehari untuk bantu legakan rasa tak selesa.
Dah ada penyelidik yang buat kajian pasal larutan air garam ni sebenarnya. Dia orang jumpa banyak sangat faedah yang kita boleh dapat daripada kaedah yang ringkas begini.
Antaranya:
✅ Kita dapat kurangkan risiko penyebaran kuman dan virus pada orang lain
✅ Penyembuhan berlaku lebih pantas selalunya dalam tempoh kurang 2 hari
✅ Dapat elakkan penyalahgunaan antibiotik
✅ Kos lebih jimat dan juga dapat elakkan daripada terpaksa dapatkan rawatan di klinik atau hospital
✅ Risiko berlaku komplikasi serius seperti pneumonia pun jadi lebih rendah
Namun beringat ya, jika keadaan masih tak sembuh atau sakit berterusan walaupun dah usaha dengan cara ni, teruskanlah untuk bawa anak dapatkan pemeriksaan lanjut.
Salah satu keputusan yang paling besar yang perlu dibuat para ibu untuk pemakanan si manja mereka adalah sama ada menyusu badan atau formula. Ia boleh menjadi satu perkara peribadi atau mungkin mengundang reaksi yang kuat daripada rakan-rakan dan keluarga.
Tidak kira apa yang anda putuskan, orang lain pasti akan mempunyai pendapat. Hanya satu perkara yang benar-benar penting: pilihan manakah yang tepat untuk anda dan bayi anda?
Penyusuan susu ibu
The American Academy of Pediatrics (AAP) menyarankan susu ibu sebagai nutrisi terbaik untuk bayi dan bayi perlu diberikan susu ibu secara eksklusif untuk enam bulan pertama.
Ini kerana susu ibu mempunyai pelbagai faedah untuk bayi anda seperti:
Ia menyediakan antibodi semulajadi yang membantu bayi anda melawan virus dan bakteria, melawan penyakit, seperti jangkitan telinga. Kajian menunjukkan bahawa bayi yang menyusu susu ibu mempunyai tindak balas antibodi yang lebih baik kepada vaksin berbanding bayi yang diberi susu formula.
Ia biasanya lebih mudah dihadam berbanding susu formula. Jadi bayi yang menyusu susu ibu kurang sembelit dan kembung perut.
Ia membantu mengelakkan risiko sindrom kematian bayi secara mengejut pada tahun pertama kehidupan bayi anda. Kajian menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu mengurangkan risiko sindrom kematian bayi secara mengejut sehingga separuh.
Ia boleh meningkatkan kecerdasan anak anda. Beberapa kajian menunjukkan penyusuan susu ibu dikaitkan dengan skor IQ yang lebih tinggi sewaktu zaman kanak-kanak.
Susu ibu juga boleh membantu melindungi anak anda pada tahun yang mendatang. Ia membantu mengurangkan risiko berat badan berlebihan, asma, diabetes jenis 1 dan jenis 2, kolesterol tinggi, penyakit Hodgkin, leukemia dan limfoma.
Penyusuan susu ibu adalah baik untuk para ibu juga. Wanita yang menyusukan bayi dapat mengurangkan risiko kanser payudara, kencing manis, penyakit jantung, osteoporosis, dan kanser ovari.
Apakah sebab utama ramai ibu baru mahu menyusu? Ia adalah kerana penyusuan susu ibu bukan sahaja merupakan pengalaman ikatan yang indah dengan bayi, tetapi juga cara yang baik untuk belajar tentang mereka.
Susu ibu juga boleh dipam lantas boleh dimanfaatkan untuk penyusuan di tempat awam dan ahli keluarga yang lain boleh mengambil bahagian dalam penyusuan.
Penyusuan susu formula
Walaupun penyusuan susu ibu adalah yang terbaik, terdapat banyak faedah penyusuan susu formula.
Ia adalah mudah. Bayi yang diberi susu formula boleh diberi makan oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa.
Ia adalah fleksibel. Anda tidak perlu untuk memasukkan waktu mengepam ke dalam jadual kerja anda. Sebaliknya, anda hanya perlu meninggalkan susu formula kepada pengasuh atau pusat jagaan harian anak anda.
Suami atau ibu anda boleh memberi makan kepada bayi anda dan berkongsi pengalaman membina hubungan dengan bayi anda.
Jadual penyusuan mungkin lebih mudah. Susu formula tidak dihadamkan dengan cepat seperti susu ibu, jadi bayi yang diberi susu formula tidak perlu makan dengan kerap, terutamanya dalam beberapa bulan pertama.
Anda tidak perlu bimbang pemakanan anda memberi kesan kepada bayi. Ibu yang menyusukan bayi mungkin perlu mengelakkan makanan tertentu yang tidak boleh diterima bayinya.
Wanita yang menyusu contohnya, tidak dibenarkan mengambil alkohol kerana mereka memindahkan sejumlah kecil alkohol kepada bayi mereka.
Apa sahaja pilihan pemakanan untuk bayi anda, susu ibu atau susu formula, atau gabungan kedua-duanya, perkara yang paling penting adalah bayi anda tetap diberi makan, dijaga dengan baik, dan disayangi.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Selain mendapat ilmu penyusuan, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ atau terus scan QR Code pada poster.
Nadia Annuar Kongsi Rahsia Sihat & Awet Muda, Patutlah Mama Anak Dua Ni ‘Maintain’ Slim
Nadia Annuar pengacara yang cukup terkenal dengan kepetahan bila berbicara. Anak kepada usahawan kosmetik terkenal, Zaiton Hassan atau lebih dikenali sebagai Kak Ton ini rupa-rupanya sangat aktif dengan aktiviti kecergasan.
Memiliki kulit putih bersih, tinggi lampai dan bertubuh langsing meskipun sudah punya anak dua menjadikan wanita ini kelihatan cukup sempurna. Kesempurnaan yang ada pada dirinya tidak datang bergolek sebaliknya dengan daya usaha yang tinggi.
Biarpun sibuk menguruskan keluarga, tetapi dia tetap komited menjalankan perniagaan berasasaskan kecantikan kerana minat mendalam kearah itu. Sungguh pun sibuk dengan tugasan harian namun Nadia Annuar tidak pernah menjadikannya alasan untuk tidak melakukan aktiviti kecergasan.
Nadia tetap meluangkan masa untuk melakukan senaman. Kata ibu jelita ini lagi, amalan aktiviti senaman yang berkala dan konsisten akan membuatkan otak jadi lebih cergas, badan yang cantik serta sihat.
MINUM KOPI KOSONG
Mengamalkan gaya hidup sihat, Nadia amat menitikberatkan pemakanan diet yang sihat. Akui Nadia, dia sudah mula ‘melupakan’ gula dalam diet hariannya sejak enam tahun yang lalu. Seperti yang kita ketahui bahawa pengambilan gula yang berlebihan akan mendatangkan banyak penyakit.
“Saya memang tidak minum minuman manis. Tidak dapat dinafikan sebelum ini saya sudah terbiasa mengambil makanan dan minuman yang manis memandangkan keluarga saya berasalkan dari Kelantan. Namun lama kelamaan saya sedar tabiat ini harus diubah.
“Apa yang saya lakukan untuk menghentikan pengambilan gula dalam deit harian saya ialah dengan cara minum kopi kosong. Saya jadikan kebiasaan minum kopi tanpa gula. Secara tidak langsung amalan ini membantu untuk ‘mencuci’ lidah. Percayalah apabila kita sudah terbiasa minum kopi kosong, kita tiada keinginan lagi untuk minum minuman yang manis,” ujar Nadia membuka butir bicara.
EKSTRIM DALAM SOAL PENJAGAAN KESIHATAN
Menjalani rutin kehidupan yang sentiasa diburu dengan kesibukan tentunya memerlukan daya stamina yang tinggi. Bagi wanita berusia 36 tahun ini, dia sangat ekstrim dalam soal penjagaan kesihatan dan juga stamina tubuh.
“Paling penting untuk mendapatkan stamina yang tinggi, bukan hanya perlu bersenam dan melakukan aktiviti kecergasan tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu pola pemakanan. Pastikan kita makan makanan yang sihat.
“Ramai orang salah sangka, apabila berbicara tentang bersenam. Apabila sebut bersenam, mesti akan ingat perlu pergi bersenam di gimnasium sedangkan hakikatnya bersenam tidak semestinya perlu pergi ke gimnasium. Sebenarnya aktiviti senaman boleh dilakukan di rumah sahaja.
“Untuk mengekalkan stamina tubuh, kita perlu konsisten bersenam. Cara saya mengekalkan stamina tubuh ialah dengan cara bersenam dan melakukan aktiviti senaman secara berkala. Bila kita sudah biasa bersenam, kita akan dapat rasa yang tubuh kita sentiasa cergas.
“Seelok-eloknya amalkan bersenam pada waktu pagi. Alhamdulilah sejak saya aktif dan konsisten bersenam dan melakukan aktiviti kecergasan, saya tidak lagi ‘nap’ berbanding sebelum saya aktif bersenam. Malah saya rasa tubuh saya lebih cergas dan bertenaga,” ujar Nadia.
PERNAH ALAMI MASALAH ‘EATING DISORDER’
Kongsi Nadia lagi, kira-kira 10 tahun yang lalu iaitu ketika usianya 26 tahun, dia pernah mengalami masalah ‘eating disorder’ atau masalah gangguan pemakanan. Jelas Nadia, masalah kecelaruan pemakanan yang dialaminya sudah sampai ke tahap tidak mahu makan.
“Ketika sakit, saya cuba cari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Alhamdulillah senaman dan aktiviti kecergasan adalah terapi terbaik buat diri saya. Sejak itu, saya mula bersenam setiap hari secara konsisten.
“Dalam seminggu, saya akan memperuntukkan empat hingga lima hari untuk bersenam. Tubuh juga perlu perlukan masa untuk berehat jadi tidak perlulah kita bersenam berlebihan sehingga boleh membahayakan tubuh. Selalunya dalam setiap sesi senaman, saya akan memperuntukkan masa selama lebih kurang satu jam setengah. Paling lama pun sekitar dua jam untuk satu sesi senaman,” jelas Nadia.
Cerita Nadia lagi, untuk permulaan cubalah berlari di taman. Jangan mulakan sesuatu yang melibatkan komitmen seperti mendaftar keahlian di gimnasium misalnya. Tidak perlulah memaksa diri untuk memulakans senaman sehingga membebankan diri sendiri.
“Paling penting jika kita ingin berhajat untuk melakukan aktiviti kecergasan, kita jangan tunggu orang lain. Biar semangat itu datang daripada kemahuan diri kita sendiri, bukan sebab orang lain. Boleh juga berdamping dengan rakan-rakan yang sudah sedia aktif dengan aktiviti kecergasan jadi secara tidak langsung ia menjadi pendorong untuk kita kekal aktif bersenam.
“Komitmen ‘level’ saya memang lain sebab saya memang mahu konsisten untuk bersenam. Pulang sahaja dari kerja, saya akan terus pergi ke gimnasium untuk bersenam. Tidak dapat dinafikan mula-mula memang susah tapi percayalah, selepas dua bulan kita konsisten dan disiplin dengan jadual senaman yang kita buat maka ia akan jadi lebih mudah,” tutur Nadia.
SUDAH CUBA SEMUA JENIS WORKOUT
Menurut Nadia setakat ini dia sudah mencuba semua jenis senaman workout. Ia umpama satu kepuasan buat diri Nadia apabila dapat mencuba pelbagai jenis senaman workout. Hanya mereka yang aktif dalam aktiviti kecergasan sahaja dapat memahami ‘kenikmatan’ yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
“Ia umpama satu ketagihan buat diri saya apabila dapat bersenam. Kalau tidak bersenam terasa seperti tidak lengkap hari-hari yang saya lalui. Walau bagaimanapun perlu ada ‘off day’ agar tubuh kita dapat berehat daripada melakukan sebarang senaman dan aktiviti kecergasan.
“Setakat ini saya sudah mencuba pelbagai jenis workout antaranya powerplate, boxing, spinning dan hit classes. Buat masa sekarang aktiviti senaman yang paling saya suka ialah indoor spinning. Saya akan mengikuti kelas ini tiga hingga empat kali dalam seminggu. Sejak kebelakangan ini juga saya turut menggabungkan aktiviti indoor spinning ini dengan boxing,” ungkap Nadia.
“Jadual harian saya memang namun itu bukanlah alasan untuk tidak melakukan aktiviti kecergasan. Saya bersyukur kerana punya pembantu rumah yang dapat memudahkan urusan saya di rumah. Dengan cara itu saya ada masa untuk bersenam.
“Sebenarnya bagi saya tiada alasan untuk kita tidak bersenam. Paling penting kita perlu bijak membahagikan masa. Pendek kata ia bergantung pada diri kita sendiri. Terpulang pada diri kita sama ada untuk memilih gaya hidup yang sihat atau pun sebaliknya. Kalau kita sudah sakit, no tunning back,” kata Nadia.
OBSES DENGAN PAKAIAN SUKAN
Melihat gaya Nadia dalam pelbagai persalinan sukan menggambarkan Nadia seorang yang gemar melaram meskipun ketika melakukan aktiviti kecergasan. Akui Nadia dia tidakm kisah berbelanja besar untuk membeli pakaian sukan berjenama kerana katanya ia bukan sahaja selesa dipakai tetapi tahan lama.
“Walaupun pakaian sukan berjenama ini agak mahal namun saya suka sebab, ia boleh dipakai dalam tempoh yang lama. Selalunya warna pakaian sukan yang menjadi pilihan saya ialah warna hitam. Selain warna hitam, saya juga suka dengan warna-warna terang.
“Sebenarnya pakaian sukan yang selesa memainkan peranan penting kerana akan membuatkan tubuh kita nampak ‘kemas.’Saya memang memperuntukkan jumlah bajet yang agak tinggi untuk membeli pakaian sukan yang saya suka. Bagi saya, pakaian sukan yang selesa dan cantik dengan warna dan corak yang ceria merupakan satu motivasi untuk saya terus bersenam,” tutur Nadia menutup perbualan.
Artikel ini diolah daripada bahan asal dari HIJABISTA