
Memilih nama untuk bayi adalah momen paling indah buat ibu ayah. Nama itulah yang menjadi identiti dan doa yang akan anak bawa sepanjang hayat. Namun, trend memilih ejaan nama anak yang semakin pelik dan kompleks kini mula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan petugas kesihatan yang terlibat dalam proses pendaftaran, terutama ketika kecemasan.
Baru-baru ini, seorang petugas kesihatan tampil meluahkan cabaran yang dihadapi apabila semakin ramai ibu bapa mengubah ejaan nama biasa menjadi sesuatu yang lebih ‘creative’ hingga menyukarkan proses kerja.
Ejaan Unik Makin Tular, Tapi Menyukarkan Urusan Kesihatan
Menurutnya, kes seperti nama Firdaus menjadi Ferdhauz, Latifah menjadi Latheefah, manakala Jasmin dieja Jadzmeen semakin kerap ditemui. Walaupun bunyinya sama, ejaan nama anak yang panjang dan tidak lazim menyebabkan staf kesihatan mengambil masa lebih lama memasukkan data ke dalam sistem.

Ini amat merisaukan ketika kecemasan, di mana setiap saat diperlukan untuk tindakan pantas.
Petugas itu turut meluahkan pengalaman mengisi borang manual:
“Struggle tau nak daftar dalam sistem. Itu belum lagi kalau nak isi borang manual macam medical checkup/borang penyakit berjangkit yang jenis isi kotak-kotak kecil. Berpinar biji mata.”
Bayangkan ketika perlu mengeja nama yang mempunyai huruf berganda, kombinasi huruf luar kebiasaan, atau nama terlalu panjang — ia boleh melambatkan prosedur dan menambah risiko kesilapan maklumat.
Guru Pun Setuju, Nama Pelik Menyukarkan Urusan Sekolah
Kebimbangan bukan hanya di fasiliti kesihatan, malah guru juga berkongsi masalah serupa di media sosial.
Antara contoh yang dikongsikan:
- Idris → Eidries
- Yusuf → Yousuf
- Malik → Maleeq
Guru mengakui sukar untuk memanggil nama murid dengan betul, selain mengambil masa lebih lama untuk menulis atau menyemak maklumat pelajar. Kekeliruan jantina turut berlaku apabila ejaan nama anak terlalu jauh daripada bentuk asal.

Netizen Setuju: Kalau Nak Nama Unik, Pilih Nama Yang Betul-Betul Berbeza
Ramai pengguna media sosial turut bersetuju bahawa jika ibu bapa mahu nama yang unik, mereka boleh memilih nama baharu yang benar-benar unik, bukan sekadar mengubah ejaan nama biasa.
Perkongsian ini mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai keperluan memilih ejaan nama anak yang mesra urusan rasmi, jelas disebut dan mudah difahami semua pihak.
Ibu Ayah, Fikirkan Masa Depan Anak
Nama anak akan digunakan sepanjang hayat — daripada urusan sekolah, kesihatan, peperiksaan, universiti, kerjaya hingga dokumen rasmi seperti passport dan perbankan.
Sebelum memilih ejaan yang ‘lain daripada yang lain’, fikirkan:
- ✔ Adakah orang lain mudah membaca dan mengeja?
- ✔ Adakah anak akan kesukaran mengeja namanya sendiri nanti?
- ✔ Adakah ia menyukarkan urusan rasmi?
- ✔ Perlukah ejaan ditambah huruf berganda yang tidak memberi nilai pada sebutan?
Semua ini penting supaya ejaan nama anak tidak menjadi beban pada masa depan.
Kesimpulan: Biar Nama Indah, Biar Mudah Untuk Anak Bawa
Trend ejaan nama unik bukan satu kesalahan, tetapi kesannya mungkin dirasai oleh anak dan juga pihak yang menguruskan dokumen rasmi mereka sepanjang hidup. Nama yang sedap didengar, mudah dieja dan membawa makna yang baik adalah pilihan terbaik untuk memastikan urusan anak sentiasa dipermudahkan.
BACA LAGI : Nama Adalah Doa, Ustaz Don Ajar Tip Pilih Nama Anak Lelaki Paling Indah
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!












