
Selepas kira-kira 51 hari kelahiran anak keduanya, Bahtera Elhaq, pelakon Elisya Sandha tampil berkongsi wajah buah hati terbarunya buat tatapan umum.
Menerusi Instagramnya, Elisya dan suami yang turut mengadakan majlis tahnik buat putera mereka itu sempat berkongsi wajah si comel, Bahtera Elhaq yang kini berusia hampir dua bulan.
Menerusi entri itu, Elisya turut memuat naik beberapa keping gambar keluarga serta wajah comel Bahtera Elhaq.
“Sempena 10 Muharram, kami memilih untuk mengadakan tahnik @bahtera.elhaq.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, syukur alhamdulillah,” tulisnya menerusi kapsyen.
Elisya turut meluahkan rasa syukur atas kurniaan dua cahaya mata comel itu malah berjanji untuk mencuba menjadi ibu dan ayah terbaik buat dua anugerah hebatnya itu.
“Anakanda tersayang, mummy dan daddy mungkin tidak sempurna, tetapi kami berjanji akan sentiasa mencuba sedaya upaya untuk menjadi ibu bapa terbaik buat kamu dan kakak, dengan penuh kasih sayang, sentiasa. Amin.
“Ya Allah, semoga anak-anak kami membesar dengan baik dan sihat. Amin,” tulisnya lagi.
Perkongsian itu mencuri hati warganet yang rata-rata tertawan dengan kecomelan si Bahtera.
Terdahulu Elisya selamat melahirkan cahaya mata keduanya pada 17 Mei lalu menerusi pembedahan Caesarean di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara.
Elisya mendirikan rumah tangga dengan anak lelaki penerbit dan pelakon terkenal, Sheila Rusly iaitu Uzair Haqimy pada 21 Ogos 2021. Pasangan ini dikurniakan anak sulung perempuan yang bernama Bunga Elhaq yang berusia tiga tahun.