
Personaliti media sosial dan usahawan, Fila Amir, sering kali menjadi perhatian ramai di media sosial bukan sahaja kerana gaya hidupnya yang positif, tetapi juga kerana hubungan rumah tangganya bersama suami tercinta, Adama. Namun, di sebalik sokongan yang diterima, masih ada segelintir warganet yang kurang senang melihat kehidupannya bersama keluarga dan melontarkan komen-komen negatif.
Baru-baru ini, menerusi hantaran di TikTok, Fila berkongsi tangkap layar komen daripada salah seorang warganet yang menyindir kehidupannya. Individu tersebut beranggapan Fila hanya hidup mewah kerana berada di Malaysia, dan sekiranya dia kembali ke negara asal suaminya, keadaannya akan berubah.
Komen itu berbunyi,
“Baru dapat macam tu la, semuanya cantik dan wangi. Kau tunggu bila balik negara dia sendiri, masa tu baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah.”
Tidak berdiam diri, Fila memuat naik video memaparkan momen-momen ketika berada di negara kelahiran suaminya, Adama, iaitu di Guinea, Afrika. Melalui video tersebut, Fila menunjukkan bahawa kehidupannya di sana juga baik-baik sahaja.
Antara komen balasnya berbunyi,
“Elok je duduk sana. Saya dulu susah nak bergaul, tapi sebab pernah tinggal di sana jadi banyak mulut, Alhamdulillah.”
Respons tersebut secara tidak langsung menepis tanggapan negatif warganet bahawa kehidupan di Guinea tidak seindah di Malaysia.
Walaupun ada komen yang cuba menjatuhkan, ramai juga netizen yang tampil mempertahankan Fila dan memberi kata-kata positif.
“Fila balik sana auto jadi macam yang berhormat”
“Biasanya orang yang komen buruk ni hidup dia sendiri tak bahagia, sebab tu dia nak samakan hidup orang lain dengan hidup dia yang hauk tu ”
“Dia tak tahu ke kalau Fila balik kampung sana dilayan macam puteri”
“Dia ni bertuah. Duduk sana orang sayang, duduk sini orang sayang. Tak ada yang kurang. Kalau pasal warna, jangan lupa Allah ciptakan kita dari tanah yang berbagai. Ingat juga Bilal Bin Rabah, segelap-gelap dia tapi tapak kaki dia terdengar di syurga. Kita jadi manusia, jangan ambil kerja Tuhan.”
Reaksi-reaksi ini menunjukkan bahawa walaupun ada suara negatif, masih ramai yang menghargai dan menyokong Fila.
Untuk rekod, Fila dan Adama telah mendirikan rumah tangga pada 26 April 2019. Pasangan ini akhirnya dikurniakan cahaya mata pertama pada 14 Mei lalu selepas melalui proses persenyawaan in vitro (IVF). Perjalanan mereka yang penuh cabaran namun sarat dengan kasih sayang sering menjadi inspirasi kepada para pengikutnya.
Walaupun berdepan pelbagai bentuk komen negatif, Fila dilihat terus berpegang pada prinsip untuk tidak membiarkan kata-kata orang mempengaruhi kebahagiaan keluarganya. Sikapnya yang positif dan matang dalam memberi respons membuktikan bahawa kebahagiaan sebenar datang daripada penerimaan diri serta sokongan insan tersayang.