
Siapa sangka, keluar rumah hanya untuk bermain bola bersama adik dan rakan-rakan akhirnya menjadi kali terakhir empat kanak-kanak ini dilihat dalam keadaan ceria.
Niat mereka dipercayai hanya mahu mengambil sebiji bola yang terjatuh ke dalam longkang. Namun dalam sekelip mata, kegembiraan petang bertukar menjadi tragedi yang meragut empat nyawa sekali gus.
Kejadian empat kanak-kanak lemas yang menyayat hati itu berlaku di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, Kulim pada Isnin membabitkan empat kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun.
Lebih memilukan, kesemua mereka disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah longkang sedalam kira-kira tiga meter.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 7.45 malam selepas menerima panggilan daripada orang awam berhubung empat mangsa lemas berhampiran kolam tadahan Taman Desa Kayangan.
“Pada jam lebih kurang 7.45 malam, semasa pengadu bertugas di Kaunter Pejabat Pertanyaan di Balai Polis Sungai Karangan telah terima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat empat mangsa lemas berdekatan kolam tadahan Taman Desa Kayangan,” katanya.
Empat mangsa berkenaan dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, serta dua rakan mereka, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.
Menurut Syamsul, dua daripada kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Dua lagi mangsa pula disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.
Siasatan awal mendapati kesemua mangsa dipercayai tinggal berhampiran kawasan Taman Desa Kayangan.
Berdasarkan maklumat awal mengenai kejadian, mereka dipercayai cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang sebelum kejadian tidak diingini berlaku.
Longkang berkenaan dilaporkan mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter. Kejadian itu kemudiannya diketahui orang awam sebelum maklumat mengenai empat mangsa lemas disampaikan kepada pihak berkuasa.
Kejadian empat kanak-kanak lemas di Taman Desa Kayangan ini turut mengingatkan tentang risiko yang boleh wujud di kawasan longkang dalam, kolam tadahan dan kawasan takungan air, terutama kepada kanak-kanak.
Kawasan seperti ini boleh mendatangkan bahaya sekiranya seseorang terjatuh atau memasuki kawasan air tanpa menyedari keadaan serta kedalamannya.
Bagi ibu bapa dan penjaga, kejadian sebegini juga menjadi peringatan untuk sentiasa mengambil tahu lokasi anak-anak bermain, terutama jika terdapat longkang besar, kolam tadahan atau kawasan air berhampiran kediaman.
Semoga keluarga kesemua mangsa diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!
Sumber: Sinar Harian