Entah Bila Dan Bagaimana Boleh Berlaku, Ayah Terjumpa Anak Dihempap Peti Sejuk

Share

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun parah selepas dipercayai dihempap sebuah peti sejuk di rumahnya di Taman Cempaka di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 11 malam itu menyebabkan mangsa, Muhammad Fawwaz Adli Mohd Bukhari cedera pada bahagian kepala.

Bapa mangsa, Mohd Bukhari Zainal Annuar ketika dihubungi Sinar Harian berkata, dia tidak pasti bagaimana kejadian sebenar berlaku.

“Jam 11 malam saya sedar peti sejuk di rumah dah tumbang dan tengok anak saya (Muhammad Fawwaz) di situ.

“Saya tak dapat nak cakap lagi kerana masih terkejut dan sedih. Lagipun ramai ahli keluarga di sini. Saya pun masih tunggu maklumat doktor berkenaan keadaan anak,” katanya.

Terdahulu, Mohd Bukhari yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan menerusi catatan di laman Facebook miliknya memohon orang ramai mendoakan kesembuhan anak sulungnya itu.

Katanya, doktor memaklumkan berlaku pendarahan pada bahagian kepala anaknya yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, sehingga jam 3. 30 petang tadi, pihaknya masih belum menerima laporan daripada bapa mangsa mengenai kejadian berlaku.

Sumber: SINAR HARIAN

Perkembangan adik Fawwaz:

Pagi tadi ayah kanak-kanak ini telah memuat naik satu lagi posting di laman Facebooknya memberitahu tentang keadaan Fawwaz bertambah baik. Bengkak pada dahi dan matanya mulai surut. Mukanya juga mulai berseri. Pun begitu mereka sekeluarga masih menunggu keputusan ujian imbasan CT dari doktor.

Marilah kita bersama-sama mendoakan kesihatan Fawwaz.

Sumber: Mohd Bukhari Zainal Anuar

IKLAN