Kembung perut di kalangan bayi baru lahir adalah masalah biasa tapi ia paling dibimbangi oleh ramai ibu ayah. Masalah ini akan menyebabkan bayi kerap menangis tanpa henti dan menolak susu yang diberi.
Ia boleh memberi kesan psikologi kepada ibu yang tidak dapat rehat yang cukup akibat tertekan bayi kerap menangis dan meragam sehingga tengah malam. Oleh itu bila bergelar ibu ayah, anda wajib tahu punca berlakunya kembung perut di kalangan bayi supaya dapat mengelakkannya.
Jika anak terkena kembung perut, ibu ayah juga wajib tahu cara mengatasinya. Baca penjelasan daripada Dr. Zubaidi Hj Ahmad sebagai panduan yang berguna.
Masalah kembung perut sememangnya suatu keadaan yang kerap berlaku pada bayi, terutama sekali mereka yang berumur kurang daripada 6 bulan. Oleh kerana ruang dalam abdomen ( abdominal cavity ) masih kecil berbanding dengan saiz organ dalam abdomen (usus, perut, hati, limpa,pundi air kencing), abdomen bayi boleh kelihatan seolah-olah kembung walaupun sebenarnya normal.
Ads
Kekembungan perut biasa berlaku seawal bayi berusia kurang dari enam bulan. Banyak puncanya, selalunya disebabkan oleh jenis susu yang diberikan.
Susu ibu sangat jarang memberikan masalah kekembungan.
Jika berlaku selalunya hanya disebabkan apabila bayi menghisap susu dari puting payudara ibunya, ia menelan sekali udara sehingga masuk ke dalam perut. Ini menyebabkan perut bayi menjadi kembung.
Jika bayi diberikan susu formula dengan botol, selalunya punca kekembungan akibat udara yang terperangkap dalam perut adalah apabila penyusuan dilakukan dengan teknik yang tidak betul. Botol susu diberikan secara terlalu condong atau lubang pada botol terlalu kecil sehingga lebih banyak udara yang ditelan dan menyebabkan kekembungan.
Ini bergantung kepada sama ada bayi juga menangis dan kurang selesa semasa kembung perut. Urutan yang ringan pada bahagian belakang dan perut (gentle back and tummy rubs) dan teknik urutan seperti ‘infant massaging’ boleh membantu bayi relaks dan kembali selesa.
Ads
CARA MEMBANTU MASALAH KEMBUNG PADA BAYI
Ads
1) Mendukung bayi anda semasa menangis, dan berada dalam suasana bilik yang sunyi dan gelap.
2) Ubatan seperti ‘simeticone drops’ dicampurkan dalam susu – menolong untuk membebaskan gas yang terhasil semasa penghadaman susu. Beri ikut dos yang ditetapkan.
3) Mengurut abdomen bagi menggunakan ‘essential oil’, minyak zaitun atau minyak kelapa.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila ada bayi, antara masalah yang anda perlu pantau dengan teliti adalah ruam lampin. Ramai bayi akan mengalami sekurang-kurangnya sekali masalah ruam lampin. Ada bayi mengalami ruam lampin yang tidak teruk dan sekejap sahaja sudah sembuh tetapi ada juga yang melalui fasa kesakitan yang memerlukan rawatan lanjut akibat jangkitan bakteria telah berlaku.
Apa pun seeloknya kita elakkan dan cegah bayi daripada kena ruam bayi yang akan membuatkan si kecil tidak selesa dan meragam sepanjang masa. Semoga perkongsian Ahli Farmasi seperti dikongsi dalam laman facebook Kementerian Kesihatan Malaysia ini dapat dimanfaatkan oleh ibu bapa.
RUAM LAMPIN – APA PERLU DILAKUKAN?
Ruam lampin merupakan keadaan yang kerap berlaku dalam kalangan bayi atau anak kecil. Kulit bayi adalah agak sensitif. Ruam lampin terjadi apabila kulit bayi terdedah kepada air kencing atau najis dalam jangka masa yang panjang. Tambahan pula, geseran antara kulit dengan lampin yang dipakai boleh menyebabkan keadaan kulit menjadi panas dan merah.
Selain itu, ruam lampin juga boleh berlaku apabila bayi atau kanak-kanak mempunyai alahan kepada jenis lampin pakai buang yang digunakan atau alah kepada bahan pencuci atau sabun yang digunakan untuk membasuh lampin. Pada dasarnya, ruam lampin adalah masalah kulit yang ringan dan tidak serius, namun jika dibiarkan berlanjutan akan menyebabkan lepuh pada kulit dan boleh menyebabkan jangkitan bakteria atau kulat berlaku.
Ciri-ciri ruam lampin adalah keadaan kulit bayi atau anak kecil yang mempunyai ruam merah di kawasan punggung, bahagian kemaluan atau kawasan yang ditutup dengan lampin. Ruam lampin seperti ini biasanya adalah ringan dan para ibu bapa boleh merawatnya dengan mengamalkan enam langkah berikut.
1. Tukarkan lampin bayi dengan lebih kerap. Seboleh-bolehnya sebaik sahaja lampin basah. Hal ini disebabkan air kencing atau najis yang dibiarkan lama tanpa pembersihan merupakan penyebab utama ruam lampin berlaku. Oleh itu, ibu bapa hendaklah memeriksa lampin setiap 2 – 3 jam untuk pertukaran lampin. Bayi yang berumur kurang daripada setahun memerlukan pertukaran lampin yang lebih kerap berbanding dengan kanak-kanak berumur 1- 2 tahun.
2. Bersihkan kawasan punggung dengan air suam sahaja dan lap kering dengan tuala bersih yang lembut. Elakkan menggunakan sabun kerana bahan kimia pada sabun boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan menerukkan lagi keadaan. Tisu basah pakai buang (baby wipes) boleh digunakan tetapi perlu pilih jenis tisu basah yang bebas bahan pewangi dan alkohol.
3. Pastikan kawasan punggung adalah kering sebelum memakai lampin yang baru. Gunakan tuala jenis yang lembut dan lap dengan perlahan-lahan.
4. Sapu krim atau salap jenis pelindungan (barrier cream or ointment) setiap kali menukar lampin bagi membentuk lindungan antara kulit dengan air kencing dan najis. Sapuan yang nipis sudah mencukupi. Antara jenis krim atau salap pelindung yang boleh digunakan adalah zink oksida (zinc oxide), jeli petroleum/ parafin (petroleum jelly/ white soft paraffin). Dapatkan nasihat daripada ahli farmasi komuniti semasa membuat pilihan krim pelindung yang sesuai untuk bayi.
5. Elakkan menggunakan bedak talkum kerana bedak tersebut berkemungkinan mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan masalah ruam berlaku.
6. Tukarkan jenama lampin pakai buang yang digunakan sekiranya 5 langkah di atas tidak berkesan. Pilih jenis lampin yang sesuai kepada bayi dan mempunyai kadar serapan air kencing yang lebih tinggi.
Pada kebiasaannya, ruam lampin akan sembuh dalam tempoh masa 1 minggu selepas mengambil langkah-langkah seperti di atas. Sekiranya keadaan bayi masih berlarutan dengan terbentuknya lepuh kecil, kulit menjadi kering dan merekah serta pembengkakan berlaku, perlu rujuk kepada doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Doktor mungkin akan mensyorkan penggunaan ubat sapu jenis steroid seperti hydrocortisone.
Ubat sapu steroid dapat mengurangkan masalah keradangan. Ubat sapu steroid perlu digunakan secara nipis pada kawasan terlibat mengikut arahan daripada doktor. Penggunaan ubat sapu steroid hanya untuk jangka masa yang singkat sahaja. Jangan gunakan ubat tersebut berpanjangan tanpa merujuk kepada doktor atau ahli farmasi anda.
Dalam kes jangkitan kulat dan bakteria, ubat sapu antikulat dan antibiotik akan dipreskripsikan oleh doktor yang merawat. Ubat sapu antikulat perlu disapu secara berterusan sekurang-kurangnya 7 – 10 hari selepas ruam hilang. Ini adalah untuk memastikan pembasmian kulat yang berlaku sepenuhnya. Ubat sapu steroid, antikulat atau antibiotik perlu digunakan terlebih dahulu sebelum menggunakan krim atau salap pelindung.
Para ibu bapa adalah disyorkan untuk memastikan kawasan punggung bayi sentiasa kering dan bersih dengan mengamalkan amalan menukar lampin yang lebih kerap supaya ruam lampin tidak berlaku. Seperti kata pepatah, mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
Para pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian bebas tol 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi – 5.00 petang ) untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan ubat-ubatan.
Chan Chiew Ting
Pegawai Farmasi
Klinik Kesihatan W.P. Labuan
Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Susu kultur adalah antara contoh makanan yang mengandungi probiotik atau dipanggil bakteria baik. Bakteria baik ini berfungsi meningkatkan persekitaran sihat di dalam sistem penghadaman. Puan Nurbaidurah Bazid, Pegawai Dietetik berkongsi bilakah susu kultur sesuai diberikan kepada kanak-kanak.
Bilakah susu kultur ini boleh diberikan?
Menjawab pertanyaan ini, terdapat beberapa kajian mengenai susu kultur atau probiotik di kalangan kanak-kanak bermula satu tahun dan ke atas. Kebanyakan kajian menunjukkan kesan yang positif khususnya bagi mengatasi atau mengurangkan penyakit atau gejala yang berkaitan dengan usus atau sistem penghadaman.
Namun, tidak banyak kajian yang dijalankan kepada bayi yang berusia bawah satu tahun. Maka saranan saya, susu kultur ini boleh diberikan pada seawal usia satu tahun tetapi perlu dikawal dan jangan berlebihan. Saranan saya mengikut kajian-kajian yang terdapat kini, hadkan pengambilan susu kultur pada kadar 65ml sehari, atau bersamaan 1 botol kecil sehari.
Seterusnya, apakah alternatif lain yang juga mengandungi probiotik atau bakteria baik ini?
Antaranya ialah kefir dan makanan yang ditapai seperti tempe. Suka untuk saya kongsi di sini, selain bakteria baik (probiotik), ada satu faktor lain yang menyumbang meningkatkan lagi kesihatan sistem penghadaman iaitu prebiotik. Ia adalah hasil daripada makanan yang tidak terhadam dalam sistem penghadaman, yang memberi manfaat menyokong pertumbuhan bakteria baik. Fungsinya sama seperti makanan kepada bakteria baik.
Antara contoh makanan yang mengandungi prebiotik adalah madu, bawang merah, asparagus, pisang dan oat. Maka, selain kita mengambil bakteria baik, makanan untuk bakteria baik ini juga penting bagi memastikan ketahanan bakteria baik yang berada di dalam sistem penghadaman.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sakit ketika anda dalam fasa menyusukan anak adalah satu perkara yang menyusahkan dan memenatkan. Namun yang demikian, percaya atau tidak, menyusu anak anda ketika anda tidak sihat adalah selamat untuk anak anda, bahkan boleh jadi bermanfaat kepada mereka.
Dalam kebanyakkan situasi, jawapannya adalah boleh. Biasa untuk ibu merasa risau tentang kemungkinan untuk anda menjangkiti anak anda. Ini bagaimana menyusu ketika sakit boleh mendatangkan manfaat kepada bayi anda:
Ketika anda sakit, antibodi mula dihasilkan untuk melawan jangkitan dalam masa 24 jam pertama walaupun simptom belum mula muncul. Antibodi ini boleh kekal di dalam badan selama beberapa hari.
Dalam jangkitan virus pula, tempoh inkubasi boleh mengambil masa sekitar 5 hingga 7 hari, membolehkan antibodi terhasil disalurkan dalam bentuk susu badan kepada anak anda.
Ini bermakna, anak anda mendapat dos perlindungan daripada jangkitan flu atau selsema yang anda dapat tanpa mendedahkannya kepada jangkitan tersebut.
Walaubagaimanapun, anda tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga apabila anak anda sudah mula bersin. Sekiranya anda mengalami jangkitan selsema yang biasa atau jangkitan virus berkaitan dengan sistem penghadaman – ataupun demam – tidak menjadi masalah untuk anda menyusu. Pastikan anda membasuh tangan anda sebelum sesi menyusu dan mengelakan daripada bahagian hidung atau mulut anda menyentuh muka atau tangan mereka. Sekirannya anda mengambil ubat, cuba untuk pam dan buang susu yang terhasil dalam tempoh waktu anda mengambil ubat..
Sekiranya anak anda di bawah usia 3 minggu, mereka terlalu lemah dan terdedah kepada jangkitan, justeru, menyusu badan ketika ini tidak digalakkan.
Sekiranya anda menghidap penyakit yang debilitatif (sakit jantung, buah pinggang atau anemia) atau kurang berat badan, cuba untuk elakkan menyusu kerana badan anda perlukan kalori dan lemak yang mencukupi sebelum anda boleh menghasilkan susu.
Sekiranya anda menghidap jangkitan yang teruk seperti TB yang tidak dirawat (mereka yang telah dirawat selama 2 minggu dibenarkan untuk menyusu), atau HIV/AIDS. Anda boleh menyusu jika dijangkiti Hepatitis A (jika anak anda mengambil globulin gamma) atau Hepatitis B (selepas anak anda mengambil globulin gamma dan diberi suntikan vaksin Hepatitis B)
Sesentegah bahan atau ubatan boleh menyebabkan anda tidak boleh menyusukan anak anda. Contohnya, ubat anti-barah, ubat untuk tiroid, ubat darah tinggi, penicillin, lithium, hipnotik atau perangsang, ubat tidur dan dadah atau alkohol. Sentiasa berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan nasihat kesihatan dan konsultasi.
Bila anda sakit, penting untuk anda minum air yang mencukupi untuk memastikan susu yang mencukupi dihasilkan dan juga untuk mengelakkan anda daripada tidak bermaya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!