
Siapa sangka janji suka-suka seorang ayah boleh bertukar jadi momen manis seisi keluarga. Pelakon Fazreen Rafi baru-baru ini berkongsi detik membanggakan apabila anaknya, Haq, berjaya memperoleh 100 peratus untuk kesemua 10 subjek dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Sebelum ini, Fazreen pernah bergurau menawarkan ganjaran RM1,000 jika Haq mendapat keputusan sempurna. Tak sangka, anak kecil itu bukan sahaja menyahut cabaran—malah menuntut janji yang dibuat ayahnya sendiri.
Detik comel itu dikongsikan Fazreen di media sosial, sambil berseloroh bahawa kata-kata yang keluar dari mulutnya akhirnya “makan diri”.
Namun jauh di sudut hati, kecemerlangan akademik yang diperolehi anaknya suatu kebanggaan dan kesyukuran buat dirinya bergelar ayah.
“Tak pasal-pasal melayang RM1,000. Ceritanya begini, dua minggu lepas, masa ambil mereka balik sekolah, Faz tanya macam mana peperiksaan. Haq pula dengan selamba cakap senang dan dia boleh dapat 100 peratus.
“Faz pun dengan yakinnya balas, “Mengarutlah Haq boleh dapat 100 dengan tak study.”
“Faz pun saja-saja cakap, “Kalau Haq dapat 100 peratus, daddy bagi RM1,000.”
“Haq terus teruja dan jawab, “Sumpah, janji.” Tak pasal-pasal budak Haq ni dapat RM1,000. Lagi menakutkan, dia cakap ada lagi dua paper yang dia yakin boleh dapat 100 peratus.
“Esok Faz nak kena jumpa cikgu suruh ubah markah.”
Pelakon Suamiku Paling Sweet dan Pengantin 100 Hari itu juga berkongsi momen anak keempatnya menuntut ganjaran. Biarpun awalnya tidak yakin, janji tetapi dikotakan.
Kisah lucu tetapi manis ini mengingatkan ramai ibu bapa supaya berhati-hati ketika membuat janji dengan anak. Dalam masa yang sama, ia sekaligus menunjukkan bahawa Fazreen Rafi seorang ayah yang memegang kata-kata dan sentiasa menghargai usaha anak-anaknya.
Ramai warganet turut memuji tindakan Haq yang berusaha gigih serta memuji sikap ayahnya yang menunaikan janji walaupun dibuat secara seloroh. Kisah ini bukan sekadar hiburan, malah menjadi inspirasi ramai ibu bapa untuk memberi motivasi secara positif kepada anak-anak.
Untuk rekod, Fazreen Rafi
sebagai seorang selebriti yang sangat rapat dengan keluarga. Sekadar info, Fazreen yang kini bergelar usahawan berkahwin dengan Syarifah Marlina Ashikin dan mempunyai lima anak iaitu Mohd Rizqin Qayyum, 13, Mohd Rizqin Quwais, 11, Rizqeen Humaira, 10, Mohd Rizqin Haqq, 7 dan seorang lagi anak perempuan, 2 tahun. Kehidupan keluarga ini sering mendapat perhatian kerana keakraban dan momen-momen lucu yang dikongsikan oleh Fazreen Rafi di media sosial.
Sumber: fazrenrafi