Pergi mana-mana pun, pasti orang akan sibuk dengan soalan macam mana nak jadikan anak pandai. Semua sibuk membaca, membaca, membaca.
Dah tu bila sebut kena main, alih-alih risau akademik, itu ini. Sedangkan fitrah anak-anak itu bermain, dipandang enteng oleh sesetengah ibu bapa yang tak nampak betapa proses bermain itulah proses membentuk akhlak, memupuk kreativiti dan membentuk jati diri.
Yang ibu bapa lihat sekarang, nak anak jadi seperti ilmuwan agama yang terulung, tak apa anak penat belajar pun, risau anak tak ada kerja sekolah kena sentiasa ada kerja sekolah.
Ads
Sehingga anak-anak lupa menghargai dan memandang tukang cuci tandas itu walaupun tidak jadi manusia teragung pun, tetapi tugas mereka adalah tugas yang mulia. Sehingga kita lupa nak didik akhlak anak untuk memandang mulia mereka yang mengutip sampah sampaikan sanggup kita cakap pada anak-anak kita: “haaaa tulah akibat orang yang tak pandai belajar. Tak pergi sekolah. Kerja jadi tukang sapu sampah. Busuk.” Padahal yang buang sampah bagi pada mereka itu adalah kita.
Kalau ibu bapa tahu proses sosial yang ada pada bermain itu adalah sebenarnya proses yang menjadikan anak-anak kita berjaya dunia dan akhirat kalau kita pandai guide dengan betul.
Maka proses akademik tu sebenarnya hanyalah satu komponen kecil sahaja untuk melayakkan mereka berfungsi dalam sesuatu komuniti sahaja.
Sedangkan proses sosial yang memupuk aspek kerjasama, berganding bahu, tolong menolong, hormat menghormati itu sebenarnya lebih mulia di sisi Tuhan dan mampu memberikan sejuta pahala dipandang enteng. Semuanya bermula dengan Social Stages of Play dalam proses pembesaran kanak-kanak.
Ads
Tapi yalah kan…Manusia zaman sekarang manusia akhir zaman. Angkuhnya bila kita dengar orang suruh anak bermain. Menyirap darah tak tau nak kata apa.
Apabila proses sosial-emosi tidak berjalan dengan baik sejak kecil, tidak hairanlah kalau semakin hari semakin ramai anak-anak kita seusia 10 tahun sudah tahu apa maksud bunuh diri. Sedangkan pada usia di waktu ini, kita masih bermain dan masih nak galak berkawan. Sayu dengan generasi sekarang ni.
Welcome 2020… I am going to see more cases of ignorance parents like this yang mana mangsanya adalah anak-anak dan generasi muda kita sekarang.
Tahu kah anda bahawa anak yang sukar tidur awal akan jejaskan pertumbuhannya! Usia si kecil semakin meningkat. Sehubungan itu mengajar si manja tidur awal sejak kecil adalah penting supaya tidak menghadapi masalah kesihatan dan menjejaskan pertumbuhannya apabila usianya mencapai umur pra sekolah. Ini kerana daripada hasil kajian yang dilakukan oleh Jean-Philippe Chaput, Marc Brunet dan Angelo Tremblay mengumpulkan data sebanyak 422 anak usia 5 sehingga 10 tahun.
Mereka melakukan penilaian terhadap berat badan, tinggi badan, dan lingkar pinggang para peserta. Mereka turut mengumpulkan informasi tentang gaya hidup anak-anak tersebut serta status sosial ekonominya melalui wawancara dengan ibu bapa mereka.
Hasil penelitian tentang Body Mass Index menunjukkan bahawa 20 peratus kanak-kanak lelaki dan 24 peratus kanak-kanak perempuan mengalami masalah kegemukan. Anak-anak yang memiliki waktu tidur kurang dari 10 jam dalam seharinya berisiko mengalami kegemukan 3 atau 5 kali lebih tinggi dibandingkan dengan mereka yang tidur 12 jam atau lebih dalam seharinya.
Untuk memastikan anak tidur awal , terdapat 8 tip yang boleh menjadi panduan.
1.Pastikan si kecil tahu dengan jelas waktu untuk dia tidur. Contohnya pukul 9 malam perlu masuk bilik untuk tidur.
2.Tegas apabila waktu tidur sudah tiba.
3.Jangan biarkan dia menonton televisyen setengah jam sebelum waktu tidurnya.
4.Cipta suasana tenang seperti suasana bilik yang senyap dan gelap.
5.Biarkan si kecil tidur dengan sendiri daripada anda yang mendodoikannya.
6.Jangan berinya minuman berkafeina seperti kopi yang menyegarkan matanya.
7.Jadikan waktu tidurnya adalah rutin. Jangan ubahnya kecuali jika perlu.
8.Hargai setiap masa jika si kecil memberitahu mahu tidur.
* Patuhi tip ini secara konsisten. Si kecil yang tidur awal akan menjadi seorang kanak-kanak yang sihat dan ceria
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sekiranya anda mempunyai anak lelaki dan anak perempuan, pasti anda boleh lihat sendiri bagaimana layanan suami terhadap mereka. Biasanya anak perempuan lebih rapat dengan ayahnya. Anak lelaki pula lebih ‘kamceng’ dengan ibu. Anak perempuan yang selalu dimanjakan oleh ayahnya akan membesar menjadi seorang yang bijak dan penyayang.
Layanan yang baik terhadap anak perempuan bukanlah tanda ayahnya tidak sayangkan anak lelaki, tetapi itulah lumrahnya. Ayah lebih bersifat pelindung terhadap anak perempuannya kerana mereka percaya anak lelaki lebih kuat dan pandai berdikari.
Mengikut kajian yang disiarkan dalam Behavioral Neuroscience, seorang ayah terbukti lebih prihatin dan peka terhadap keperluan anak perempuan berbanding anak lelaki yang sama usia.
Kajian tersebut dijalankan melalui kaedah imbasan otak dan rakaman interaksi seharian sekumpulan ayah dan mendapati mereka akan menyanyi dan bercakap lebih terbuka tentang emosi kepada anak perempuan mereka berbanding pada anak lelaki. Adakah kerana anak perempuan lebih sensitif dan bersikap manja?
Bukan! Kajian mendedahkan kemesraan dan keprihatinan yang diberi oleh ayah tersebut bukan hanya disebabkan oleh anak perempuan yang lebih sensitif bahkan apa yang mereka katakan pada anak perempuan berbanding anak lelaki juga berbeza.
Ayah biasanya akan lebih cenderung memberi fokus pada pencapaian dan permainan fizikal seperti berlawan, bertumbuk dan sebagainya jika berinteraksi dengan anak lelaki. Perkataan yang biasa disebut oleh ayah kepada anak lelaki juga berunsur kejayaan seperti “menang”, “bangga”, “bagus sekali”.
Tetapi untuk anak perempuan, ayah lebih banyak menggunakan perkataan yang terperinci seperti “semua”, “banyak” dan bersifat kreatif melayan mereka. Penulis kajian menyatakan penggunaan bahasa tersebut akan mempunyai kaitan dengan pencapaian pendidikan dan akademik di masa hadapan.
Kajian dijalankan bertujuan untuk mengkaji peranan seorang bapa dalam proses membesarkan anak-anak. Namun kajian tidak berjaya menentukan mengapa layanan berbeza itu berlaku.
Adakah otak ibu bapa telah diikat untuk melayan anak-anak mereka secara berbeza atau ia sekadar interaksi berdasarkan norma sosial yang asas iaitu anak perempuan lebih bersikap manja dan perlukan lebih perhatian dan perlindungan?
Menurut Jennifer Mascaro, ketua penyelidik dari Universiti Emory, sekiranya anak perempuan menangis, si ayah akan segera menyahut dan pantas berlari ke arah anak perempuannya, berbanding ke arah anak lelaki.
Walaupun kajian tidak membuktikan sebarang kesan buruk akibat perhatian lebih yang diberikan oleh ayah terhadap anak perempuannya, tetapi ada sesuatu perkara yang boleh memberi kesan pada tumbesaran anak perempuan.
Misalnya seorang ayah dalam komunikasi harian dengan si anak, menggunakan bahasa yang merujuk bahagian badan anak perempuan dengan istilah manja seperti “buncit” atau “gendut” dengan lebih kerap berbanding pada anak lelaki.
Kajian telah membuktikan yang pemilihan perkataan ini memberi kesan pada emosi anak perempuan berbanding pada anak lelaki apabila mereka membesar.
Anak perempuan akan rasa tidak puas hati tentang badan mereka dan mungkin juga mudah rasa rendah diri.
Apa yang sepatutnya dilakukan oleh ayah?
Memang tak salah jika seorang ayah lebih memanjakan anak perempuan berbanding anak lelakinya. Sudah terbukti memang seorang ayah akan lebih memberi sepenuh perhatian dan gemar memanjakan anak perempuan berbanding anak lelaki.
Tetapi, janganlah terlampau berat sebelah. Apa kata anda layan mereka secara sama rata. Mungkin beberapa cara ini boleh dicuba pada anak perempuan dan anak lelaki anda juga
1. Jangan takut untuk menjadi lasak. Kajian menunjukkan bermain bersama anak-anak – lelaki dan perempuan di atas lantai dan secara fizikal (tetapi selamat) boleh membantu mengawal emosi mereka.
2. Pemilihan perkataan penting. Jika apa yang anda cakap boleh memberi kesan pada akademik dan pencapaian fizikal kepada imej tubuh badan, gunakan ayat pujian dan perhatian yang sama pada kedua anak lelaki dan perempuan.
3. Beri perhatian yang sama. Sebenarnya perbualan berkaitan hal emosi juga boleh dilakukan dengan anak lelaki. Kanak-kanak yang terdedah dengan keperluan emosi yang cukup akan membesar dengan lebih empati bila mereka besar nanti.
Sebenarnya seorang ayah sayang akan anak-anaknya sama rata tanpa ada perbezaan mengikut jantina. Tetapi cara ayah memanjakan anak lelaki dan melayan mereka perlu berbeza dengan anak perempuan kerana mahu mendidik anak lelaki sebagai ketua dalam semua hal.
Tiada anak yang dilahirkan “nakal”, semuanya berdasarkan bagaimana mak ayah membentuk peribadi anak”
Ya, semua anak akan mengalami fasa “nakal” atau aktif sebenarnya, kita yang dah jadi mak ayah pun sama juga.
Berdasarkan perkongsian Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi, fasa “nakal” ini selalunya bermula semasa fasa autonomi (18 bulan – 3 tahun) dalam perkembangan emosi dan sosisal. Dimana anak akan mula mengamuk apabila tak dapat apa yang dikehendaki, nak lari ke sana ke mari ke tempat yang dia mahu, ambil apa yang dia mahu dan sebagainya.
Waktu inilah fasa kritikal membentuk tingkah laku anak. Kalau mak ayah abaikan waktu ini, tingkahlaku negatif anak akan menjadi semakin berpanjangan.
Hari ini saya nak kongsikan tips penyelesaian masalah tingkahlaku anak yang biasa ada pada semua anak. Sesuai untuk anak berumur 18 bulan ke atas.
MASALAH ANAK DAN PENYELESAIAN
Ramai orang ingat semakin kita kurung anak, semakin anak dapat dikawal. Sebenarnya tidak, semakin kita kurung semakin anak susah dikawal. Konsepnya sama dengan semasa anak baru “dapat kaki”, asyik nak berjalan sahaja sampai dah tak fikir apa-apa. Tetapi pasti sampai satu masa, anak akan mula kurangkan aktiviti berjalannya berbanding masa mula-mula “dapat kaki”. Betul tak?
Agak-agak kalau kita sekat anak dari berjalan dengan ikat kakinya, dia akan berhenti berjalan? Masa diikat sahaja anak berhenti berjalan, bila buka ikatan lagi kuat anak nak berjalan. Sama juga bila kita kurung anak, bila dilepaskan makin susah dikawal.
Dunia ini terlampau kecil bagi anak sehinggakan benda kecil pun dapat buat anak bahagia. Bawa pergi “shopping mall”, tak beli apa-apa pun anak dah bahagia sehingga nak lari kesana kemari.
Percaya tak kalau saya kata, ada perbezaan tahap aktif pada anak jika kita bandingkan anak yang mak ayah bawa keluar setiap hari dan anak yang mak ayah bawa keluar sebulan sekali? Sangat-sangat berbeza. Sebab itu, setiap kawasan perumahan pasti ada taman permainan kerana taman permainan adalah keperluan WAJIB untuk perkembangan anak-anak kita.
Kalau perasan anak susah dikawal apabila pergi ke taman permainan, bawalah mereka ke sana selalu. Kalau anak susah dikawal apabila pergi pasaraya, bawalah mereka pergi untuk “window shopping”. Tetapi kalau perasan anak sangat susah dikawal semasa di luar rumah, saya sarankan cari tempat yang:
– Kurang padat supaya anak mudah dikawal dan tidak mengganggu orang lain.
– Selamat (tiada barang mudah pecah dan tajam).
– Ada kawasan lapang untuk anak berlari. Kalau anak lari laju, mak ayah pakailah kasut sukan supaya senang nak kejar.
– Keluar dengan pasangan atau kawan supaya ada orang lain, elakkan bersendirian.
– Pakaikan “baby harness”.
(Pantang tengok gadget/TV tak termasuk dalam kategori ini ya.)
Contoh: Anak pantang nampak tangga. Semakin mak ayah halang anak naik tangga, selama-lamanya anak akan pantang nampak tangga. Jadi, caranya banyakkan lagi “main tangga” tetapi dengan pantauan dan selagi ia selamat sebab lambat laun anak perlu juga belajar naik dan turun tangga.
Anak saya sendiri, saya dah dedahkan dengan tangga sejak dia umur 6 bulan waktu sibuk nak merangkak tetapi dengan pantauan. Hasilnya umur 1 tahun lebih, anak dah tak “heran” dengan tangga. Tangga tetap ada pagar untuk keselamatan tetapi setiap kali naik dan turun beri anak cuba sendiri, mak ayah jaga di belakang/bawah anak macam penjaga gol.
Sama juga kes anak asyik nak berlari naik turun escalator. Semakin dihalang, semakin anak nak berlari ke sana. Kalau ada yang macam ini, luangkan masa untuk naik dan turun dengan anak berulang kali. Semakin awal kita dedahkan sehingga mereka jemu, semakin mereka kurang berlari ke arah tempat itu tetapi kena hati-hati dengan kaki tersepit di penghujung escalator. Cara saya, saya akan angkat anak sedikit sebelum sampai penghujung escalator.
Kadang-kadang ada situasi dimana kita tak boleh elak masa anak tengah ada mood nak buat bising atau mengamuk di kedai makan. Cara terbaik untuk mengawal anak dikedai makan adalah anak pun perlu sibuk makan sekali. Kalau tidak, mak ayah boleh cuba tips di bawah:
-Kenal pasti mood anak sebelum pilih kedai makan.
– Cari meja yang paling hujung dan kawasan kurang padat.
– Bawa mainan jika anak tidak makan bersama mak ayah.
– Elakkan duduk terlampau awal di kerusi bayi untuk elak anak cepat bosan.
– Bawa anak berjalan-jalan keliling kedai makan sebelum makanan sampai.
Kalau mak ayah dah ada pengalaman anak asyik nak panjat meja, ataupun nak ambil barang perhiasan di rumah orang lain sehingga susah dikawal. Beritahu atau tanya dengan tuan rumah dahulu yang kita ada anak kecil yang tengah fasa meneroka supaya tuan rumah dapat bersedia dan simpan harta karun yang berharga sementara mak ayah beraya. Ataupun tanya dahulu, sesuai tak nak bawa anak kecil yang sedang aktif.
Jika anak dah mula memahami arahan, beritahu anak awal-awal “kawasan larangan”di rumah orang lain. Adab dirumah orang perlu sangat ditekankan pada anak dari awal. Sebelum mak ayah makan serentak, minta tolong saudara terdekat untuk tengokkan anak yang sibuk bermain.
Senang sahaja, kalau anak masih kerap jatuhkan pinggan atau cawan. Siap-siap bawa mangkuk dan cawan plastik dalam beg. Air pula tuang sikit-sikit cukup 3 teguk supaya kurang risiko tumpah habis karpet rumah orang.
Terapkan dan amalkan kemas mainan selepas main seawal anak umur 18 bulan. Sebelum itu mak ayahlah yang perlu tunjukkan sikap mengemas kerana anak belajar melalui pemerhatian. Lama-kelamaan anak pun akan terikut sama dan berminat nak belajar kemas mainan. Sampai satu masa, kita dah tak perlu membebel minta anak kemas mainan lepas main, cuma perlu puji sahaja.
Apa yang mak ayah boleh buat untuk kurangkan risiko kemalangan anak disamping dengan pemantauan, mak ayah boleh kenalkan unsur-unsur bahaya sebelum anak bermain, boleh kenalkan ciri-ciri:
– Tajam (Bucu meja atau permukaan tajam)
– Bahaya (Lintas jalan)
-Tinggi (Meja atau kerusi tinggi)
– Panas (Air panas atau seterika)
– Pedas (Makanan pedas, cili dll)
– Sakit (Baling barang)
Kalau 6 ciri-ciri ini anak dah tahu, insyaAllah mak ayah tak perlu dah asyik nak kata “careful” berjuta kali semasa anak bermain.
Semua tips diatas sudah diguna pakai pada anak saya sendiri dan klien saya di BEYOND. Alhamdulillah kebanyakannya berkesan mengurangkan aktif anak.
Kesimpulannya, yang paling penting mak ayah WAJIB “kenal” anak sendiri. Kena tahu kelebihan dan kelemahan anak supaya mudah kita nak atasi tingkahlaku anak. Tips yang saya berikan ini sebenarnya sangat mudah untuk dilakukan dan sebenarnya banyak yang mak ayah dah lakukan tanpa sedar. Pendidikan anak bermula dari rumah, disiplin pun bermula dari rumah. Jangan marah anak letak kasut bersepah kalau kita pun letak kasut bersepah.
Mulakan sejak awal, jangan tunggu jadi buluh baru nak lentur. Masa itu anak pun dah “keras”.
Saya pun ibu yang sama seperti anda, ibu kepada seorang anak, terapis kepada ratusan anak juga. Bersyukurlah anak anda aktif/nakal kerana ia bermakna anak kita sihat, kalau dibandingkan anak yang sedang terlantar kesakitan. Jangan bandingkan anak kita dengan anak orang lain sebab pasti tak sama.
Dan yang paling penting, jangan putus asa dalam mendidik anak. Kata-kata kita adalah doa pada anak. Sebab itu orang dulu-dulu bahasakan anak yang aktif ini sebagai “anak banyak akal”. Tak ada pula bahasakan “anak tarzan”, “anak nakal”, “anak degil”, “anak monyet” dan sebagainya.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.