
Dalam dunia sekarang, apa saja boleh “di-deliver” sampai depan pintu rumah. Termasuklah rawatan fototerapi untuk bayi jaundis. Di media sosial, makin banyak pihak tawarkan servis sewa mesin kononnya lebih mudah, lebih cepat, lebih selesa untuk ibu yang baru bersalin.
Tapi sebagai mak-ayah, especially bila kita jaga bayi yang baru beberapa hari melihat dunia, kita kena berhati-hati. Ada benda yang boleh buat sendiri dan ada benda yang langsung tak patut dibuat tanpa pemantauan pakar.
Menurut Dr Suhazeli Abdullah, Pakar Perubatan Keluarga, di media sosial mula kelihatan pihak-pihak tertentu yang menawarkan perkhidmatan fototerapi di rumah. Rawatan ini katanya untuk merawat penyakit kuning (jaundis) bayi.
KKM memandang serius isu membuka premis persendirian bagi rawatan fototerapi jaundis bayi ini. Ia dikawal selia secara ketat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang dikuatkuasakan pada 1 Mei 2006.
Sehubungan dengan itu, Arahan Ketua Pengarah Kesihatan Bilangan 1 Tahun 2018 menetapkan garis panduan khusus untuk perkhidmatan ini. Di bawah undang-undang ini, tiada pihak boleh menyediakan perkhidmatan fototerapi di rumah tanpa kelulusan dan lesen yang sah, dan pelanggar boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda atau penjara.
Dari aspek tatacara dan etika perubatan, perkhidmatan fototerapi di rumah hanya boleh disediakan oleh hospital swasta, pusat jagaan ambulatori swasta, atau klinik perubatan swasta pakar pediatrik/neonatologi yang berlesen. Maknanya ia perlu diuruskan oleh pihak yang mahir serta berpengetahuan.
Walaupun mungkin ianya dilihat selamat untuk kegunaan dan tidak ada komplikasi yang teruk, tetapi dari sudut perubatan terdapat beberapa isu “red flag” yang perlu diketahui dan bagaimana untuk menguruskannya.
Ramai ibu bapa memilih fototerapi di rumah kerana ingin lebih selesa dan mengurangkan pergerakan bayi. Namun, tanpa pemantauan profesional, rawatan ini boleh mendatangkan risiko besar. Dalam banyak kes, ibu bapa tidak sedar bahawa jaundis tertentu memerlukan rawatan intensif yang hanya boleh dilakukan di hospital.
Bagi mengelakkan kekeliruan, ibu bapa wajar mendapatkan pemeriksaan pakar sebelum membuat apa-apa keputusan berkaitan fototerapi di rumah. Bertanya dan memahami risiko adalah langkah penting untuk keselamatan bayi.
Adalah diharap masyarakat dapat mengelakkan membuat rawatan fototerapi yang tidak bertauliah. Kesedaran awam sangat penting supaya bayi tidak terdedah kepada bahaya yang boleh dielakkan.
Sumber: Suhazeli Abdullah