Pada tarikh 5 Julai 2014 perginya anak kedua pelakon Linda Rafar, Rezaimen Keiflin ke rahmatullah setelah bergelut dengan kanser Burkitt Lymphoma. Sebagai ibu, Linda sangat kental dan kuat menghadapi kenyataan anak kesayangannya ini sudah tiada lagi.
Rezaimen atau nama manjanya Memen anak paling aktif, paling ceria dan paling sihat antara semua anak-anaknya. Tak pernah sakit malah tak pernah masuk hospital. Arwah cergas berbola sepak, bahkan kuat bersukan.
Tiada kelainan yang dilihat pada anaknya itu sehingga Memen beberapa kali mengadu sakit perut beberapa kali, sehingga satu tahap Memen kelihatan tidak boleh lagi bertahan dengan kesakitan itu. Di hospital, prosedur endnoskopi dilakukan anus dan mulut tidak menemui puncanya. Hingga Linda bertindak membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut atas nasihat doktor. Sakit perut yang disangka angkara angin oleh beberapa doktor sebelum ini akhirnya membongkar tentang ketumbuhan seberat satu kilogram di dalam perut anaknya hasil daripada MRI.
Setelah Memen dimasukkan ke sebuah hospital universiti, satu pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan ketumbuhan itu. Pembedahan yang memakan masa sembilan jam itu mendapati ada gelembung yang masih aktif dan berpotensi untuk membesar dan menjadi ketumbuhan baru. Dan satu lagi yang merubah kehidupan Memen apabila doktor mengkhabarkan yang usus Memen terpaksa diletakkan di luar dan najis perlu dikeluarkan menerusi menerusi beg stoma sehingga usus besar sudah sembuh dan boleh disambung semula dalam jangka masa setahun.
Menerima kenyataan ini dan ingin berhadapan dengan Memen dan menceritakan segalanya memerlukan kekuatan jiwa. Ternyata ibu ini amat tabah, walau pun air mata sentiasa bergenang, tidak pernah Linda biarkan dirinya kelihatan sedih di hadapan Memen. Dia tahu dia adalah tunjang kekuatan untuk Memen dan tidak boleh menunjukkan kesedihan, dia perlu berikan semangat untuk Memen.
Linda tidak putus harapan dan terus berusaha untuk Memen. Dia tidak yakin anaknya itu boleh melalui proses kemoterapi yang sangat pedih jadi dia memilih untuk melakukan pelbagai rawatan dilakukan seperti berjumpa ustaz, perubatan Cina, herba, air rebusan akar kayu sehingga bertemu dengan seorang profesor pakar kanser yang memberikan harapan dengan sejenis pil khas berharga RM27,000. Bersama dengan bekas suami, Linda mengambil keputusan membeli pil yang sangat mahal harganya itu untuk Memen.
Sehabis ubat itu selepas 44 hari , Memen sakit kembali dan Linda merayu rawatan kemoterapi untuk Memen. Rentetan rawatan kemoterapi kali pertama ini menyebabkan kompilkasi buah pinggang kepada Memen hinggalah ke hari pemergiannya pada 7 Ramadan tanggal 5 Julai 2014 yang merubah kehidupan Linda yang semakin tabah menghadapi kehilangan anaknya itu.
Ingin tahu bagaimana Linda melalui kehilangan yang amat hebat ini? Ikuti temu ramah Pa&Ma bersama Linda Rafar dalam rancangan Pa&Ma bertajuk “Wira Kecil Berjiwa Besar” pada Selasa, 17 Julai 2018 jam 12 tengah hari.
Berani tak anak anda? Berani dalam konteks pendidikan awal kepada kanak-kanak maksudnya boleh berdikari, yakin diri dan berani mencuba perkara baru. Memang nak didik anak, kena dilakukan pada awal usianya .
Oleh itu, pepatah ada yang menyebut ,’melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mendidik anak pada zaman serba moden ini memang mencabar minda. Sebagai ibubapa sudah pasti kita ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Namun, cara memberikan yang terbaik itu adakalanya silap tanpa kita sedari.
Salah satu cara didikan adalah membentuk keberanian dalam diri anak sejak kecil lagi. Perkongsian Dr. Hj. Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang merupakan pakar motivasi diharap dapat mengubah cara didikan kita kepada anak.
Anak-anak yang berjaya di sekolah sama ada dalam pelajaran atau ko-kurikulum adalah mereka yang ada keberanian. Berani mencapai kecemerlangan, bercakap di depan orang ramai, bergaul, bertanya apabila tidak faham, menjadi ketua, memegang jawatan, mewakili kelas atau sekolah dan sebagainya. Apabila anak-anak menunjukkan keberanian maka mereka akan diberikan pelbagai peluang.
Mereka yang aktif di alam persekolahan adalah kerana mereka berani untuk melibatkan diri dalam kelas serta program yang dianjurkan. Dengan keberanian mereka mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Semua ini sangat membantu anak-anak di alam dewasa nanti.
Bayangkanlah, ketika anak orang lain sudah boleh berdikari sana sini, anak kita hendak bertanya sesuatu pada cikgu pun masih minta orang lain temankan. Ketika anak orang lain berani ikuti program-program perkemahan, anak kita tidak mahu turut serta sebab tiada kawan.
Sebab itulah anak-anak perlu ditanam dengan sifat berani pada usia yang seawal mungkin.
Berani bukanlah sesuatu yang hadir ketika lahir sebaliknya sifat ini terhasil bergantung kepada cara ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu tahu cara terbaik menjadikan anak-anak mereka seorang yang berani secara bertempat.
Sebab kita tidak mahu pula apabila anak menjadi berani tidak bertempat lalu dia melawan dan biadap dengan guru, merempit dan menyertai lumba haram, mencuri, memukul, bergadul dan sebagainya. Sebab kelakuan negatif sebegitu juga memerlukan satu bentuk keberanian.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menjadikan anak-anak seorang yang berani:
1)Usah cepat membantu anak dalam pelbagai perkara
Semua ibu bapa sayangkan anak-anaknya. Tetapi usah jadikan rasa sayang sebagai alasan untuk cepat membantu mereka. Bukanlah salah membantu anak-anak kita tetapi ada ketikanya anak-anak perlu diberikan peluang mencuba dan melakukan kesilapan. Dari kesalahan dan kesilapan inilah mereka belajar. Ketika anak masih bayi, apabila dia mula pandai berjalan maka dia mula belajar naik tangga. Biasanya ibu bapa akan terus dukung anaknya dan bawa naik ke tingkat atas sebab takut anak jatuh. Ibu bapa yang prihatin sebaliknya akan mengawasi dan membiarkan anak-anaknya menapak satu anak tangga ke anak tangga yang lain. Dari situ anak itu belajar.
2)Biarkan anak dimarahi guru apabila mereka lakukan kesalahan
Ada ibu bapa yang sanggup menghantar buku latihan anaknya semula ke sekolah kerana bimbang anaknya nanti dimarahi guru atau didenda. Mungkin jika itu kesalahannya yang pertama maka kita hulurkan bantuan dengan menghantar buku itu ke sekolah. Tetapi bagaimana pula kalau masalah yang sama dilakukan oleh anak berulang kali? Bermakna anak kita sudah membentuk satu tabiat tidak bertanggung jawab. Oleh itu biarkan anak dimarahi dan didenda oleh gurunya. Dari situ dia akan belajar. Biar dia menjadi seorang yang berani menerima kesalahan dan berhadapan dengan risikonya. Sebagai ibu bapa usah campur tangan.
3)Berikan anak-anak peluang bergaul
Dunia internet hari ini meluaskan pergaulan anak-anak. Mereka boleh kenal sesiapa sahaja melalui laman sembang, facebook, twitter dan seumpamanya. Namun begitu, pergaulan bentuk ini tidak sama seperti pergaulan secara langsung. Anak-anak tidak boleh dikurung di rumah dan dihalang dari keluar bersosial. Biarlah anak berkawan asal sahaja kita tahu siapa rakan-rakannya, ibu bapa mereka, aktiviti yang dilakukan serta lokasi pertemuannya. Dalam masa yang sama lakukan pemantauan sebab kita tidak mahu anak-anak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.
4)Dedah anak-anak dengan aktiviti lasak
Aktiviti-aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, panjat dinding batu, berkuda, memanah, berenang dan seumpamanya dapat meningkatkan keberanian dalam diri anak. Bayangkan di barat ada aktiviti ‘bungee jumping’. Aktiviti ini memerlukan kaki kita diikat dan kemudian terjun dari satu kedudukan yang tinggi langsung ke bawah. Pasti menakutkan dan menggerunkan. Tetapi apabila selesai mencubanya pastilah keberanian diri meningkat. Malah di Malaysia kini sudah ada aktiviti ‘bungee jumping’ ini. Sebenarnya banyak lagi aktitivi yang boleh dilibatkan bagi menguji keberanian anak-anak. Misalnya adakah anak kita berani naik ‘roller coaster’ atau sentiasa mengelak. Jadikanlah anak kita seorang yang lasak dan berani kerana ia penting dalam pembentukan jati diri mereka.
5)Bawa anak ke majlis orang dewasa
Berikan anak-anak bergaul dengan orang tua atau mereka yang lebih dewasa dari usianya. Berikan dia ruang bertanya dan bercerita. Pengalaman ini akan menjadikan dia seorang yang berani berdepan dengan orang ramai nanti. Ada ibu bapa yang masih berpegang pada kepercayaan bahawa membawa anak-anak ke majlis orang tua sebagai kurang adab. Kita tengoklah apa bentuk majlisnya itu. Memang ada yang tidak sesuai di bawa anak. Tetapi kalau majlis menyambut bayi, hari lahir, kenduri kendara, perkahwinan dan sebagainya maka bawalah mereka bersama.
6)Latih anak mengambil risiko
Anak-anak perlu dilatih agar berani mengambil risiko. Mengambil risiko bukanlah bermakna melakukan sesuatu pekerjaan secara membuta tuli atau meletakkan dirinya pada kedudukan yang membahayakan. Ada bezanya melakukan kerja bahaya dengan kerja berisiko. Memanjat pokok itu kerja berisiko. Tetapi kalau bergayut di dahan tinggi tanpa sebarang langkah keselamatan itu adalah kerja berbahaya. Begitu juga memberi peluang anak remaja belajar membawa motosikal itu adalah kerja berisiko. Tetapi membiarkannya membawa motosikal tanpa memakai topi keledar dan memecut laju itu kerja berbahaya. Anak-anak perlu tahu beza antara risiko dan bahaya.
7)Bercakap secara positif.
Bagi menanam keberanian dalam diri anak, ibu bapa perlu bercakap secara positif dan sentiasa menunjukkan pada anak yang kita yakin serta percaya akan kebolehan dirinya. Anak-anak juga perlu tahu dan sedar yang ibu bapanya bersedia menerima kekurangan, kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya dengan hati yang terbuka asasl sahaja mereka belajar sesuatu dari pengalaman itu. Sifat terbuka ibu bapa penting bagi menjadikan anak-anaknya seorang yang berani mencuba dan bertindak.
Sebenarnya terdapat pelbagai aktiviti cara rangsang anak menjadi kreatif di rumah. Anak-anak ini ibarat sehelai kain putih. Jika salah kita mencorakknya, ia akan menjejaskan perkembangannya.
Oleh itu,mulakan rangsangan anak sejak awal lagi sehingga mereka memasuki tadika supaya anak-anak dapat berkembang secara positif. Perkongsian seorang ibu, Puan Zarith yang menyediakan aktiviti berfaedah kepada anaknya untuk mengembangkan daya kreativiti dan emosi ini.
Sebagai seorang ibu yang menjaga anak sendiri 24 jam, kadang kala Zarith kehabisan idea nak main apa dengan anak-anak solehah ni. Baru-baru ni ada belikan Zuyyin sedikit buku aktiviti. Bukan Zuyyin je seronok bermain, Zayra pun gembira bila Zarith bagi dia pegang pen, dan guide dia menulis dan melukis. Gelak comel setiap kali berjaya nampak dakwat keluar terkena buku.
Yang penting kita guide mereka. Jangan biarkan mereka bermain sendiri.
Selain dari aspek keselamatan, bermain dengan anak-anak dapat mengembangkan lagi daya kreativiti mereka dan memelihara emosi mereka. Takde lah nanti anak-anak ingat kita sediakan permainan baru untuk elak mereka dari kacau kita buat kerja
10 aktiviti pilihan boleh lakukan untuk anak-anak
1.Mengemas baju
Selalunya pada waktu pagi, Zuyyin akan masukkan bajunya dan Zayra yang telah kotor ke dalam bakul untuk di basuh. Sambil masukkan, Zuyyin akan sebut warna baju-baju tersebut. Zuyyin juga akan membantu Zarith untuk sidai baju-bajunya di penyangkut baju yang kecil. Pada waktu melipat kain pula, Zuyyin akan tolong Zarith melipat bajunya dan Zayra serta menyusunnya sendiri di rak baju. Disebabkan Zuyyin dan mula bantu Zarith melipat sejak usianya setahun lebih, jadi sekarang ni lipatannya sungguh kemas, dah macam kita yang lipat. Kesemua aktiviti ini tak pernah Zarith memaksa Zuyyin melakukannya, Zuyyin dengan rela hati datang dan minta untuk membantu. Bila kita tak bagi, Zuyyin akan cakap “Takpe la bu, Zuyyin tolong ibu sikit je”. Terharu sungguh dengan anak dara yang sorang ni.
2.Mewarna
Selalunya Zuyyin suka mewarna menggunakan pewarna air (water color). Agaknya sebab ada berus dan air yang boleh dibuat main. tapi kami belikan juga Zuyyin crayon dan pensel warna supaya Zuyyin mempunyai pilihan nak pakai yang mana untuk hari tersebut. Bila bagi je Zuyyin kertas lukisan, pandai la Zuyyin melukis mengikut daya kreativitinya sendiri
3.Bermain pasir
Boleh letakkan sedikit pasir bersih dalam bekas yang telah diisikan dengan permainan dan timbus permainan tersebut. Berikan anak kita penyeduk pasir kecil untuk dia mulakan pencarian harta karunnya yang terbenam tu. Jika rumah berdekatan dengan pantai, boleh la kerap bawa anak bermain pasir di pantai. Ini akan merangsang daya sentuhnya dan juga kemahiran motornya untuk menggenggam pasir-pasir pantai itu.
4.Permainan adunan
Semasa Zarith memasak, Zuyyin juga akan berada di dapur. Pada waktu inilah Zuyyin diberi kebebasan untuk bermain di dapur. Zarith akan berikan Zuyyin sedikit tepung gandum, secawan air dan pelbagai pewarna makanan untuk dicampurkan ke dalam adunan yang Zuyyin dah buat nanti. Pewarna tersebut Zarith yang akan tuangkannya. Zarith akan biarkan je Zuyyin menggaul adunan tersebut dengan sudu/ senduk kayu.Boleh juga anda buatkan adunan itu menjadi bebola kecil yang berwarna warni, pasti anak anda sukakannya!
5.Pilih, cari dan asingkan
Gunakan benda yang berwarna warni seperti penyepit baju, getah rambut kecil-kecil, ataupun bebola kecil yang berwarna-warni untuk aktiviti ini. Semua bahan ini Zarith beli di MR. DIY je. Letakkan beberapa mangkuk yang berwarna-warni dihadapan Zuyyin, dan Zuyyin akan mula mengasingkan bahan berwarna-warni itu mengikut warna mangkuk tersebut. Sebagai contoh, dalam mangkuk kuning cuma boleh ada getah rambut kecil yang berwarna kuning sahaja. Dengan aktiviti ini, anak kita akan kenal warna.
6.Membersihkan
Selepas bermain ‘masak-masak’ di dapur, Zarith akan biarkan Zuyyin membersihkan sendiri tempatnya bermain. Zuyyin akan basuh pekakas yang telah digunakan dan lap tempat dia bermain dengan kain lembap. Pada mulanya kita kena tunjukkan contoh, kemudian barulah dia faham, yang setiap kali lepas bermain, dia kena bersihkan sendiri tempat bermain tersebut. Dengan cara ini, selain belajar berdisiplin, anak kita juga akan rasa dihargai, dan rasa diri mereka sama seperti orang dewasa
7.Bermain blok
Bermain blok boleh membuatkan anak kita pintar matematik.Zuyyin dan Zayra memang suka bermain blok. Cuma Zayra belum pandai untuk susun pelbagai bentuk. Zuyyin memang dah pakar. Bagi apa jenis blok pun, Zuyyin boleh mereka sesuatu bentuk yang menarik. Dari sini, anak kita dapat melatih daya konsentrasinya, kemahiran motor dan koordinasi tangan dan mata
8.Menyanyi dan menari
Kanak-kanak ni bila mendengar musik, badan mereka secara automatiknya akan bergerak mengikut rentak. Zuyyin pula Zarith ajarkan lagu-lagu zaman tadika seperti ais kacang, dari ulat jadi kepompong, dan banyak lagi. Sambil menyanyi, kita ajarkan gerakan ringkas. Zayra pun akan turut serta dalam permainan ini. Memang mereka seronok sangat bila diajak menyanyi dan menari. Selain dari melatih minda mereka untuk menghafal lirik lagu, ia juga melatih mereka untuk lebih mengenali bahasa. Sampai satu masa, Zuyyin sendiri yang akan ubah gerakan tarian mengikut apa yang dia faham. Sekarang ni, Zuyyin dah pandai cipta lagu sendiri dan paksa ibu dan ayah dengar. Lagu baru katanya. Maka ibu dan ayah la yang menjadi pendengar setia sambil bertepuk tangan. Ini adalah sesuatu perkembangan yang mengujakan. Anak kita menjadi kreatif!
9.Teka barang permainan
Bungkus beberapa barang permainan kesukaan anak kita, kalau boleh jangan gunakan pelekat yang banyak. Sebelum dia membuka barang permainan itu, suruh mereka teka apa yang ada di dalamnya.
10.Album gambar
Sediakan buku nota dan beberapa keping gambar sekeluarga. Bantu anak kita untuk tampal gambar tersebut kemudian tanya mereka adakah mereka kenal dengan orang yang ada dalam gambar tersebut. Zuyyin kenal setiap orang dalam keluarga Zarith dan Mr. Hubby, siap dengan nama penuh lagi sejak umurnya setahun lebih. Permainan ini dapat membantu mereka untuk menajamkan daya ingatan.
11.Bermain cop-cop kertas lukisan
Zarith potong kentang mengikut bentuk yang menarik dan Zuyyin copkan pada kertas lukisan warna-warna kesukaannya. Biarkan anak kita sapu sendiri warna kegemarannya pada kentang tersebut dan biarkan mereka copkan di atas kertas lukisan mengikut bentuk yang mereka suka. Disini kita akan dapat lihat kreativiti mereka.
Terdapat 15 lagi aktiviti yang dikongsi oleh ibu bapa diblognya www.ibuzarith.com yang boleh menjadi panduan anda untuk melakukan aktiviti rangsangan kepada anak. Cara ini dapat mengelak anak asyik bermain gajet dirumah.
Anak adalah anugerah terindah yang Allah SWT kurniakan kepada semua pasangan yang berkahwin. Kehadiran cahaya mata disambut dengan penuh kesyukuran dan kasih sayang. Dek kerana sayang, anak dimanjakan serta segala kehendaknya akan diikuti sehingga menjadi terlalu manja.
Semasa anak kecil, itu adalah perkara biasa. Tetapi jika dibiarkan sehigga dewasa, ia akan memberi kesan kepada anak-anak.
Anak-anak yang berumur enam tahun ke bawah sedang mengalami tumbesaran otak yang pesat. Dikatakan:
90 peratus daripada bahagian otak dibina sewaktu enam tahun pertama. Ia merangkumi komponen-komponen yang berkait dengan EQ atau Emotional Quotient. Selebihnya 10 peratus mula dibina dari umur 7 tahun sehingga usia mereka 20-an; dan ini adalah pertumbuhan IQ.
1. Tahu apa yang boleh dan tidak boleh.
2. Perlu hormat semua orang
3. Ibu ayah tak ikut semua kehendak anak
Manja bukan sekadar apaila setiap kemahuan anak dituruti. Ia mempunyai banyak peringkat seperti:
1. Bayi baharu lahir perlukan belaian kasih sayang sebab dia memerlukan perhatian yang tinggi dengan dakapan kasih sayang dan dia tak boleh terus berdikari.
2. Ketika anak berusia 1 tahun ke atas – Inilah masa kritikal untuk mak ayah ciptak ikatan dengan anak-anak. Ajar anak dengan cara makan di meja, masukkan baju kotor dalam bakul, keluar berjalan tak semestinya perlu dibelikan permainan dan banyak lagi.
Sama ada anak kita lelaki atau perempuan, layanan dan didikan yang diberikan haruslah sama rata. Ajarkan mereka untuk membuat kerja rumah dan memikul tanggung jawab bersama-sama. Jangan sesekali hanya diajarkan pada anak perempuan untuk membuat kerja rumah, sedangkan anak lelaki boleh berehat menonton televisyen.
Menurut Steve Biddulph, penulis buku Raising Boys & Raising Girls, anak perempuan lebih cepat matang daripada anak lelaki. Kematangan ini berlaku kerana hormon estrogen (hormon dalam badan perempuan) membantu menghubungkan kedua-dua belah otak kanan dan kiri pada peringkat yang lebih cepat berbanding anak lelaki).
Tiada salah untuk ibu ayah melatih anak-anak membuat kerja rumah semasa mereka masih muda. Ia dianggap satu rutin praktis yang sangat baik dan membantu anak-anak menjadi lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain pada masa akan datang.
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza.