
Gendong bayi ketika maraton menjadi perhatian ramai apabila seorang pelari lelaki diarahkan keluar daripada perlumbaan selepas tindakannya mencetuskan kemarahan dan kebimbangan orang ramai di media sosial.
Insiden berkenaan berlaku semasa acara Standard Chartered Hong Kong Marathon yang berlangsung Ahad lalu apabila lelaki tersebut dirakam berlari sambil membawa seorang bayi yang diikat di bahagian dada menggunakan alat gendongan bayi.

Gendong Bayi Ketika Maraton Cetus Kontroversi
Rakaman video yang tular itu menunjukkan pelari lain memotong laluannya sambil kelihatan terkejut dan hairan dengan situasi luar biasa berkenaan.
Lebih mengejutkan, nombor bib perlumbaan lelaki tersebut dipinkan terus pada jaket windbreaker berwarna merah jambu yang dipakai oleh bayi berkenaan.
Kepala Bayi Terhuyung-Hayang Ketika Larian
Menurut laporan media antarabangsa, video tersebut dirakam oleh seorang pelari lain di Lebuhraya West Kowloon, antara tanda jarak lima kilometer hingga 10 kilometer bagi laluan maraton penuh.
Apa yang lebih membimbangkan, rakaman berkenaan jelas memperlihatkan kepala bayi itu terhuyung-hayang ke atas dan ke bawah ketika lelaki tersebut berlari.
View this post on Instagram
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan fizikal dan kesejahteraan bayi berkenaan, memandangkan maraton merupakan acara ketahanan berimpak tinggi.
Pergerakan berulang, gegaran kuat serta risiko terjatuh menjadikan situasi tersebut sangat berbahaya untuk bayi yang masih belum mempunyai kawalan leher, tulang belakang dan sistem tubuh yang matang.
Warga Maya Luah Rasa Terkejut dan Bimbang
Video gendong bayi ketika maraton itu kemudiannya tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada warga maya.
Rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut dan tidak dapat menerima tindakan pelari tersebut yang dianggap keterlaluan.
Ada yang menyifatkan perbuatan itu seolah-olah dilakukan demi meraih perhatian, manakala sebahagian lain menegaskan tindakan tersebut langsung tidak masuk akal.
Tambahan pula, cuaca di Hong Kong ketika itu dilaporkan panas sedangkan bayi tersebut pula mengenakan jaket windbreaker.
Ramai turut menyuarakan kebimbangan sekiranya pelari itu terjatuh, bayi berkenaan berisiko dihempap dan mengalami kecederaan serius yang boleh mengancam nyawa.
Penganjur Arah Tinggalkan Perlumbaan
Persatuan Gabungan Olahraga Hong Kong, China (HKAAA) selaku penganjur acara mengesahkan bahawa pegawai perlumbaan telah mengarahkan pelari berkenaan meninggalkan laluan perlumbaan serta-merta.
Tindakan itu diambil bagi memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat.
Berdasarkan data live-tracking, lelaki tersebut memulakan larian maraton penuh pada pukul 6.25 pagi dan telah menempuh kira-kira 15 kilometer dalam tempoh dua jam 20 minit sebelum diarahkan keluar.
Untuk rekod, jarak penuh maraton adalah sekitar 42 kilometer.
Langgar Peraturan Perlumbaan
Laporan media turut menyatakan bahawa peraturan perlumbaan dengan jelas melarang peserta membawa bayi, individu di bawah usia 16 tahun atau sesiapa yang tidak mempunyai bib perlumbaan sah memasuki laluan perlumbaan.
Sebarang pelanggaran peraturan boleh menyebabkan penyertaan dibatalkan serta-merta dan peserta berdepan larangan menyertai acara pada masa hadapan.
Timbul Persoalan Tahap Keselamatan Acara
Insiden ini turut mencetuskan persoalan dalam kalangan orang ramai mengenai tahap pemeriksaan keselamatan acara serta bagaimana pelari berkenaan boleh melepasi kawalan tanpa dikesan sejak awal perlumbaan.
Ramai berpendapat sistem pemantauan peserta perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian berisiko seperti ini berulang, terutamanya apabila melibatkan keselamatan kanak-kanak.
Pa&Ma Ingatkan Ibu Bapa: Keselamatan Anak Keutamaan
Sebagai ibu bapa, keinginan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif sememangnya digalakkan.
Namun, gendong bayi ketika maraton bukanlah satu tindakan yang wajar kerana anak bukan aksesori aktiviti, sebaliknya amanah besar yang keselamatannya tidak boleh dikompromi.
Aktiviti lasak dan berisiko tinggi seperti maraton tidak sesuai untuk bayi yang masih kecil dan rapuh.
Dalam keghairahan mengejar kepuasan diri, jangan sesekali mengetepikan keselamatan si manja.
Kerana bagi seorang bayi, satu kesilapan kecil boleh membawa akibat yang besar.
BACA LAGI : Bahaya Letak Bayi Kurang 2.5KG Dalam Alat Mengendong Bayi, Boleh Menyebabkan Lemas
Sumber : Agensi
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


