“Hanya Tinggal Berdua Ketika Kebakaran.” Dua Beradik Rentung Dalam Bilik Tidur

Share

Dua beradik ditemui rentung apabila bilik tidur rumah kanak-kanak berkenaan terbakar dalam kejadian di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru (3 September).

Mayat Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3 dan adiknya, Nurul Hawa Zafira, 2, dijumpai selepas bomba berjaya memadamkan api kira-kira jam 2.20 petang tadi.

Rumah terbakar 60 peratus

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Mohd Ridzuan Malek Rivan, tujuh anggota dikejarkan ke lokasi sebaik saja menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.41 tengah hari.

“Seramai 14 anggota dari BBP Larkin turut serta memberi bantuan dalam operasi pemadaman.

“Kebakaran itu membabitkan kemusnahan kira-kira 60 peratus sebuah rumah jenis kekal. Mangsa ditemui rentung dalam ruang bilik tidur,” katanya.

Beliau berkata, pemadaman awal dilakukan oleh orang awam dengan menggunakan jirusan air paip, sebelum pihak bomba tiba dan berjaya mengawal operasi.

Ditinggalkan berdua, ibu berada di rumah jiran

Sementara itu, difahamkan juga, dua beradik itu hanya tinggal berdua di rumah terbabit ketika kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Lim Jit Huey, berkata insiden berlaku ketika bapa mangsa dikatakan keluar bekerja, manakala ibu pula berada di rumah jiran yang terletak kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati rumah berkenaan dihuni sepasang suami isteri bersama dua anak. Namun ketika kejadian, kanak-kanak terbabit dilaporkan hanya tinggal berdua sebelum terkorban dalam kebakaran,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Buat siasatan lanjut

Mengulas lanjut, Jit Huey memaklumkan setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut laporan mati mengejut (SDR), selain dibantu pihak bomba dalam melakukan siasatan forensik kebakaran bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

“Buat masa ini, kita tidak dapat memastikan sama ada kanak-kanak itu tidur ketika kejadian. Siasatan masih dijalankan,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk tindakan lanjut.

Kredit: BH Online

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)

IKLAN