Hari Keusahawanan Sekolah Bertukar Duka, Guru Besar Meninggal Dunia Selepas Pengsan Di Pejabat

Share

Guru adalah insan yang tidak pernah kenal lelah. Walau penat, mereka tetap hadir, menyemai ilmu dan mendidik tanpa mengira masa.

Namun, dunia pendidikan dikejutkan apabila seorang Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Gedok, Tampin, meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di pejabatnya, Ahad lalu.

Guru wanita berusia 44 tahun itu difahamkan hadir ke sekolah sempena sambutan Hari Keusahawanan. Bagaimanapun, beliau dikatakan mengadu kurang sihat sebelum meminta izin untuk berehat di biliknya.

Tidak lama selepas itu, beberapa guru lain yang datang menziarahi mendapati beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Gemencheh, namun disahkan meninggal dunia.

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa yang sepatutnya merasmikan program berkenaan pada jam 11 pagi berkata, berita itu amat mengejutkan kerana hanya seminggu lalu beliau masih sempat berjumpa dengan arwah.

“Menurut guru-guru di sekolah, sebelum ditemui pengsan, mendiang ada mengadu tidak selesa. Suaminya juga memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai sebarang sejarah masalah kesihatan,” katanya.

Tambahnya, mangsa baru lapan bulan berkhidmat di sekolah berkenaan selepas berpindah dari SJKC Air Kuning.

“Sepanjang saya mengenali beliau, mendiang seorang guru yang cukup berdedikasi, sentiasa memberi komitmen tinggi terhadap tugas dan sekolah. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman memaklumkan, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lanjut selepas hasil laporan bedah siasat diperoleh.

Sumber: Sinar Harian 

Published by
Nor Yusoff