
Tak sangka kuasa media sosial membantu seorang pelajar membayat wang pendaftaran bagi melanjutkan pelajar menara gading lantaran keluarganya menghadapi masalah kewangan.
Menurut Berita Harian, seorang pesara kerajaan, M. Chinnakaruppan, 67, baru-baru ini tular selepas luahannya di aplikasi WhatsApp mengenai kekurangan wang pendaftaran anak perempuannya meraih simpati dan perhatian orang ramai. Chinnakaruppan berkongsi kisah anaknya, Kalaimagal, 20, yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), namun terkendala kerana kekurangan wang.

Kalaimagal, yang teruja untuk memulakan pengajian, menghadapi masalah kerana keluarga mereka tidak mempunyai wang mencukupi sebanyak RM3,000 bagi menampung kos pendaftaran. Keadaan ini mendorong Chinnakaruppan untuk mencari jalan dengan memohon bantuan melalui kumpulan WhatsApp penduduk kampung.
“Tangkap layar hantaran saya dalam kumpulan WhatsApp pada 21 September lalu mula tular dan mendapat perhatian ramai,” kata Chinnakaruppan. Tidak disangka, dalam masa hanya dua jam, orang ramai mulai menghulurkan bantuan. Pelbagai pihak tampil memberi sumbangan, dan hasil kutipan berjaya mencapai jumlah RM3,000 yang diperlukan untuk membolehkan anaknya mendaftar di universiti.

Menurut Chinnakaruppan, dia amat terharu dan bersyukur dengan sokongan masyarakat yang tidak hanya menghulurkan bantuan kewangan, tetapi juga memberikan semangat kepada keluarganya. “Saya tidak tahu bagaimana mahu membalas budi baik semua orang yang membantu kami. Ini adalah satu rahmat buat keluarga saya, dan saya berharap anak saya dapat membalas jasa mereka dengan kejayaan dalam pelajaran,” tambahnya lagi.
Kisah ini bukan sahaja membuktikan betapa kuatnya semangat masyarakat untuk saling membantu, tetapi juga bagaimana teknologi seperti WhatsApp boleh menjadi medium untuk menyampaikan mesej penting dan menggerakkan bantuan dalam masa yang singkat. Kalaimagal kini berpeluang meneruskan impiannya untuk menuntut ilmu, dan keluarganya tidak sabar melihat masa depan cerah yang menanti.
Sumber: Berita Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kejadian Di Sekolah Lagi, Murid Darjah 4 Ditemui Tidak Bernyawa di Senawang

Tragedi pilu. Sekali lagi kita dikejutkan dengan kejadian menyayat hati apabila seorang murid Darjah 4 ditemui tidak bernyawa di sebuah sekolah di Senawang, tengah hari semalam.
Peristiwa ini bukan sekadar meruntun hati setiap ibu bapa. Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan pihaknya menerima laporan sekitar jam 1.19 tengah hari, sebelum pasukan polis bergegas ke lokasi.
Menurut siasatan awal, murid terbabit dikatakan keluar dari kelas sekitar jam 12.10 tengah hari, sebelum ditemui tidak sedarkan diri di kawasan sekolah. Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.
Datuk Alzafny turut memaklumkan bahawa pihak polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung punca dan kronologi kejadian dalam masa terdekat.

Ibu Bapa Makin Bimbang
Tragedi sebegini pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada ibu bapa seluruh negara. Sebagai ibu bapa, perasaan bimbang itu nyata tidak dapat dielakkan. Setiap pagi anak dihantar dengan penuh doa agar mereka selamat, namun apabila tragedi pastinya membimbangkan ibu ayah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberikan sepenuh ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Pada masa sama, KPM komited memastikan kebajikan guru serta murid di sekolah terbabit terjaga.
“Mulai esok, pasukan kaunselor negeri bersama Kementerian Kesihatan akan turun padang untuk memberikan intervensi psikososial dan sokongan emosi,” jelasnya ketika ditemui di Seremban.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar tidak panik atau bimbang untuk menghantar anak ke sekolah, kerana sesi persekolahan tetap diteruskan seperti biasa.
Hormati Privasi Keluarga Mangsa & Punca Kematian Dalam Siasatan

Dalam masa yang sama, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai punca kejadian, sebaliknya menghormati privasi keluarga mangsa yang sedang berduka.
“Kementerian merakamkan ucapan takziah dan memberikan sepenuh sokongan kepada keluarga mangsa, khususnya dari segi emosi dan psikososial,” tambah Fadhlina.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Berceritalah Dengan Allah SWT.” Terus Kuat Selepas Bercerai, Wanita Ini Kongsikan Caranya

Pasangan mana yang menginginkan penceraian selepas berkahwin? Setiap daripada kita pasti mahu bahagia dan mempertahankan ikatan perkahwinan sebaik-baiknya. Namun, seindah mana perancangan kita, ketentuan dari Yang Esa mengatasi segalanya.
Bagaimana mahu bangkit dari penceraian? Wanita ini kongsikan caranya. Paling penting, usah jauhkan diri dari Allah SWT.
“Perkahwinan mungkin sudah berakhir, tapi penceraian masih dalam proses.” tiada satu orang didunia ini yang berkahwin untuk bercerai.
Semuanya mendambakan rumah tangga bahagia hingga ke akhir usia. Tapi, siapa kita untuk menidakkan takdir. Cerai = Tabooo.. Pelbagai cerita buruk kalau orang bercerai. Lebih-lebih lagi bahagian Perempuan.
Ok, sekarang nak cerita bagaimana nak bangkit semula. Kisah saya. Yang bercinta lama, tunang lama gila, tapi kahwin kejap aje.
Masa awal-awal proses, (sebelum dipanggil naik mahkamah) hari-hari fikir Adakah jalan ini benar? Minta bantuan Allah tunjukkan jalan.
Dan alhamdulillah sekarang dah 3 tahun single kembali. Kenapa cerita sekarang? Sebab sekarang baru ada masa. Haha itu pun baru ingat nak upload harini. Dah PKPB pun. Hehe.
Pengakuan Lain: [“Buka Mata & Pasanglah Telinga.” Lelaki Ini Nasihat Supaya Suami Dengar Luahan Isteri]
Pertamanya, kena redha dengan takdir Dan maafkan. Awak kena belajar Redha bahawa jodoh takat itu. Jodoh Allah izin sampai situ. Jangan persoal lagi. Serahkan kembali pada Allah. Dan kemudian Maafkan diri sendiri sebab tersalah langkah.
Maafkan diri sendiri sebab tersilap pilih. Tak sedar ‘hint’ ‘red flag’ yang sebenarnya Allah bagi. ~ benda ni tak mudah. Tapi ini kena buat sentiasa. Sampai hati redha. Pujuk hati kita. Menangis depan Allah. Minta tolong Allah banyak-banyak.
Nak Menangis ke meraung ke buat depan Allah. Jangan depan Manusia. Hatta kawan baik sekalipun. Luah dengan Allah dulu. Awak ingat ya, kawan ini, harini kawan kita, esok kita tak tahu. Tapi Allah, sentiasa Ada. Jadi, Allah dulu.
Kemudian, saya buang semua barang / kenangan / gambar Dan semua. Kebetulan tempat saya duduk tu, ada tong kitar semula barang. (yang boleh letak TV, sofa dan sebagainya). Jadi saya buang semuanya.
Benda ini susah nak buat, tapi tak mustahil. Sebab kalau tak buat, nanti mesti teringat-ingat. Walaupun kahwin kejap, tapi sebab kenal tu lama, ermmm banyak juga lah barang yang kena buang masa tu.
Tapi berbaloi. Awak akan nampak benda ni berat, tapi bila tiada barang kenangan, ianya lebih mudah. Tapi kalau benda yang besar, contoh kereta, takkan nak buang kan? Jadi rasional.
Barang maksud saya ini, macam baju couple, jam couple. Hahaha benda benda yang sepasang ni. Kalau tak caya, boleh tengok cerita TWOTM. Sun Wo tu tak move on sebab lepas 2 tahun pun masih simpan barang kenangan bersama bekas suami. Adeh selingan.
Faktor sokongan juga memainkan peranan penting. Masa ini, keluarga, sahabat baik. Sangat lah membantu.
Alhamdulillah rezeki saya, orang yang rapat sangat Memberi kerjasama. Masa lepas bercerai juga, saya tutup semua akaun sosial media saya. Padam terus. Sebab nak pastikan saya BUANG semua. Susah. Tapi tak mustahil.
Masa ini, kena pastikan awak duduk dalam kalangan orang yang positif. Yang positif minda tau. Yang sentiasa bercakap baik, dan berniat baik. Masa ini jadi kera sumbang pun tak apa.
Sebab awak perlu menjaga Dan memperbaiki hati awak dulu. Bagi peluang hati awak sembuh. Ini yang saya buat. Lama gak tak dengar gossip. Aman je dunia. Saya mula ada akaun balik bila saya da OK.
OK maksudnya, saya kembali kepada orang yang positif. Minda saya boleh proses benda dengan baik. Orang cakap cerai jela. Ermmm it’s not that easy ya. Badan penat minda penat.
Tapi berbaloi daripada duduk dalam perkahwinan yang tak bahagia. Yang derita. Masa memula Buka Facebook, ada kawan cakap ex saya tu baik la, bagus la Dan sebagainya, saya cuma balas, “itu lah Allah tentukan jodoh sampai situ aje”.
Dan ada yang nak kepoh tahu cerita kenapa bercerai pula, saya cuma balas “saya dah Luah semua kepada Allah, tiada apa yang nak dicerita kepada awak”. Ini bukan jawapan acah2 baik, tapi sebab memang saya dah buat gitu. Dah tak tau nak cerita apa kat orang.
Cari aktiviti baharu. Cuba berniaga dalam talian ke, Cuba memasak ke, atau apa2 sahaja aktiviti mengisi masa lapang. Sebab bila badan penat, awak tak ada masa nak imbas kembali. Sedih, terkenang semua tak ada masa.
Yang ini, saya buat beberapa dropship. Jadi handphone sentiasa berbunyi Dan bahagia. Hehe dapat penuhi masa lapang, dan dapat juga duit. Duit terkumpul, saya buat pergi naik cruise. 5 hari 4 malam Seronok tau.
Siapa tak pernah naik, Cuba lah. Tapi bagi selesai isu pandemik covid ni dulu ya. Bercuti adalah terapi yang baik, tapi sebab saya ni bukan M40 atau T20, maka saya kumpul duit. Dari dropship yang Pelbagai tu Dan buat pergi bercuti. Hehe
Owh lagi satu, jangan cuba-cuba untuk terjebak dalam hubungan yang baru, selagi awak tak betul-betul move on. Maksudnya, jangan sebab nak tutup malu, awak cari lelaki tah mana-mana untuk kahwin pula. Ini bukan solusi ya. Ini Bala namanya.
Sebab apa, sebabnya hati tu masih belum OK. Nanti apa sahaja pasangan baru buat, awak akan ada rasa nak banding, yang mana benda ni sangat tak baik untuk hubungan. Benda ni, kawan saya yang buat. Dah akhirnya, dia kecewa lebih teruk dari yang pertama. Jadi, jangan buat. Avoid at all cost.
Jangan malu untuk dapat kan bantuan pakar. Saya pergi jumpa doktor psikiatri. Minta bantuan pakar. Alhamdulillah sebab saya pergi awal, saya boleh sembuh awal.
Haaaa masa ni, segala sakit lah nak datang, tak penah ada gastrik, tiba2 ada. Sakit kepala yang teruk. Dan tak boleh tidur malam. Rasa tak suka orang ramai, rasa nak muntah. All in package. Pelik, tapi lepas jumpa doktor tu, Jelas la kenapa jadi begitu begini Dan bagaimana nak hadapi.
Jangan diagnos sendiri ya. Sila jumpa pakar. Befrienders tu pun sangat membantu. Yang penting, jumpa pakar psikiatri ni bukan sebab awak gila, tapi sebab tak nak jadi gila. Ingat tuu. Senang pergi seorang atau dengan keluarga yang dipercayai sahaja. Sebab kawan kita hari ini ~ .
Apapun, Awak sendiri akan tahu, bila awak OK. Tiada jangkamasa tepat untuk tempoh bangkit semula ni. Setiap orang berbeza. Dan untuk saya, saya ambil hampir 6 bulan. Untuk kembali ceria, kembali bahagia, saya boleh bercerita dengan orang, bak kata budak pejabat, saya dah kembali.
Masa tu semua nak tahu cerita saya, kenapa boleh sampai bercerai. Jawapan saya, jodoh sampai disitu (acah2 artis) hehe sebab tiada siapa tahu cerita penuh sebab saya kan cerita dengan Allah. Jadi Allah je tahu.
Nampak kenapa kita kena cerita dengan Allah dulu? Sebab kita Perempuan. Kita nak kena kongsi perasaan. Dan penyimpan rahsia terbaik: Allah.
Pengakuan Lain: [“Semua Kutuk, Hina Kami.” Wanita Imbas Kembali Keadaan Dia & Suami Hidup Susah]
Doa saya untuk semua, Wanita yang kecewa dengan rumah tangga, dalam proses bercerai, atau sedang melalui proses, bangkit lah dan kembali kepada Allah.
Andai kata tiada jodoh baharu Selepas ini, percaya lah Allah dah siapkan yang terbaik disana. Jadi awak boleh fokus untuk ke syurga bersama ibu bapa dan keluarga.
Untuk Wanita yang masih dalam alam perkahwinan, tapi perkahwinan tersebut sirna, tiada cahaya untuk mendapat redha-Nya, tolong fahami sesuatu, perkahwinan itu, dibina untuk ke syurga.
Untuk apa kalian Saling menyakiti hanya untuk ke Neraka sedangkan perkahwinan itu ladang ibadah. Ambil masa, berbual dengan pasangan, dan Pilih sama ada berubah ke arah bahagia Syurga Abadi , atau berhenti bawa pasangan ke Neraka.
Dan untuk yang masih mencari pasangan, percaya lah tiada Manusia sempurna akan tetapi Saling melengkapi Dan Wanita yang paling kasihan, adalah Wanita yang tersalah pilih suami.
Semoga perkongsian ini Memberi manfaat dan Memberi idea bagaimana untuk bangkit. Dan tak semestinya Cara kita sama. Yang penting belajar lah memaafkan.
Andai kata, bekas suami tu buat percubaan untuk cari pasal Dan menimbulkan masalah, Cara terbaik, jangan dilayan. Diam sahaja. Fokus kepada diri sendiri. Heal yourself first. Dan Doa baik2. Semoga Awak kembali bahagia.
Salam Kasih Sayang : Aryana
– Aryana (Bukan nama sebenar) via IIUM Confessions.
Sekiranya ada mempunyai cerita atau pengalaman yang ingin dikongsikan, sila klik KONGSI CERITA
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seram Tengok Isteri Marah, Suami Kena Pandai ‘Cucuk Line’ Dengar Luahan Dia

Apabila terlalu letih, seorang isteri cenderung untuk marah-marah. Apatah lagi jika suaminya seperti tidak memahami dan buat tidak peduli seolah-olah tiada apa berlaku. Isteri kurang suka berkongsi masalahnya jika dia merasakan hal itu remeh kerana tidak mahu suami berasa risau. Namun, jika terlalu kerap memendam perasaan ia boleh menyebabkan seorang wanita tertekan dan mula protes. Ketika itulah suami akan nampak yang isteri sering marah.
Menurut Abu Hurairah Asifa, isteri yang kerap marah adalah kerana dia sudah tidak mampu untuk menguruskan emosinya yang berat. Kadang-kadang suami dan anak-anaklah menjadi mangsanya. Oleh itu, suami kena selalu berkomunikasi dengan isteri dan jadi pendengar yang baik. Ada beberapa kaedah yang dikongsikan oleh penulis ini untuk membantu isteri yang kuat membebel atau selalu marah-marah berubah menjadi isteri serta ibu yang penyayang.
Artikel Menarik: [Suami Sesekali Suap Anak & Isteri Makan, Hubungan Makin Erat & Berkat]
INI CARA BOLEH SEJUKKAN HATI ISTERI
Sejak akhir-akhir ni, isteri kerap marah.
Masuk kereta marah, balik rumah marah, tengah mandi marah, dekat dapur marah, tengah suap makan marah, tengah jalan marah.

Allahu, kadang tak mampu menghadapi isteri yang marah ni. Lihat wajahnya sudahlah ngeri, senyumannya menjadi masam macam susu basi, kata-katanya seperti petir yang menyambar bumi. Hanya rupanya masih lah seorang Siti.
Bila dia marah, saya lebih banyak diam. Selawat dan minta Tuhan tolong kuatkan hatinya. Kuatkan jiwanya. Kuatkan segalanya. Saya cuba faham tapi tak boleh tanya kenapa.
Kadang berhari-hari melayani marahnya.
Ada masa sejam dua kemudian tambah seminit tiga semula.
Diam dan sabar sahaja, itu kuncinya. Walau demi Allah, tak pernah mudah.
Selesai isteri marah, saya ajak makan. Bagi dia makan apa yang dia suka. Ajak dia pergi Ikea atau mana tempat yang dia suka. Pergi bata beli kasut baru untuknya.
CUBA TANYA DAN SELAMI HATI SEORANG ISTERI
Dalam kereta, saya tanya biasa saja.
“Boleh abang tahu kenapa awak marah-marah? Saya kesian dengan awak. Tapi, saya mampu diam sebab saya tak tahu apa masalah sebenar”
Isteri diam. Dia tundukkan wajahnya.
Rupanya dia terbeban. Ya, apalagi dalam hidup hari ini, suami dan isteri perlu saling memburu untuk kelangsungan hidup, maka itu amat menekan emosi isteri.
Dalam dia sibuk bekerja, sebenarnya dia mahu duduk dirumah. Dia mahu hiburkan suaminya. Dia mahu jaga anak-anaknya. Dia mahu masak yang sedap-sedap untuk orang yang dia sayang. Dia mahu memeluk mesra suami dan anaknya.
Artikel Menarik: [Macam Mana Kuat Pun Seorang Seorang Suami, Bila Sampai Soal Isteri Boleh Buat Dia ‘Cair’!]
Tapi, dia tak boleh. Dia juga kena bekerja. Dia juga kena berusaha.Dia kena mencari rezeki bersama. Dia juga tertekan dengan rakan dan stafnya. Dia juga menhadapi bisnes yang turun dan naik.

Itu membuatkan isteri kita akan jadi marah.
Maka, dia bukan marahkan suaminya. Dia cuma tak tahu nak meletakkan marah itu dimana.
Sebab itulah yang kita lihat banyaknya status luahan di KRT atau FB adalah dari wanita yang begini rupa. Mereka marah tanpa mereka sedar.
Jadi apa yang kita boleh buat sebagai suami?
Sama ada kita suka atau tidak, kita hadapi saja marahnya. Panasnya. Emosinya. Rajuknya. Leternya.
KENAPA ISTERI BEGITU?
Sebab, hanya suami yang isteri kita ada.
Isteri tidak pandai main futsal untuk hilangkan tensen macam kita. Isteri tak reti download movie dan menontonnya sambil suka-suka. Isteri tak pandai keluar berhibur tanpa anak dan suaminya.

Apabila isteri cuba bicara tentang masalah mereka, pada pandangan pihak suami pula terasa yang mereka diberi tanggungjawab untuk memberi penyelesaian pada masalah tersebut.
Tidak! Tak perlu selesaikan pun.
Di sini suami harus faham dimana mereka tidak perlu mencanangkan sebarang penjelasan atau penyelesaian tetapi apa yang perlu dibuat adalah mendengar dan memahami apa yang diluahkan dari hati wanita.
Kerana, apabila isteri mahu meluahkan apa yang dia rasa, itu tanda kita lelaki yang paling dia cinta dan percaya.
Selamat berjuang buat suami yang selalu sabar dengan karenah isteri mereka.
Sumber: Abu Hurairah Asifa
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


