Keinginan makan makanan yang pelbagai sering terjadi ketika kehamilan. Macam-macam yang diidamkan kadang ada yang tak tercapai dek akal. Tapi itu adalah kebiasaan bagi wanita hamil. Selagi ia merupakan makanan pasti suami akan cuba realisasi apa yang diinginkan isteri yang sedang mengandung.

Walaubagaimanapun, dalam keghairahan memenuhi segala permintaan bakal ibu, ada juga makanan yang perlu dielakkan ketika mengandung.

Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad menerusi akaun Facebook miliknya, menurut doktor tersebut wanita hamil perlu mengelak organ dalaman haiwan terutamanya dalam pemakanan. Hati ayam atau lembu salah satu makanan yang kaya dengan dos Vitamin A yang perlu dielakkan makan ketika kehamilan.

Berikut apa yang dikongsikan oleh beliau:

WANITA HAMIL PERLU MENGELAKKAN MENGAMBIL PRODUK HAIWAN TERUTAMA HATI DALAM PEMAKANAN


Bagi wanita hamil, saya mencadangkan bagi mengelakkan dari mengambil hati haiwan seperti hati lembu dan hati ayam dalam menu makanan. Ini kerana terdapat banyak dos vitamin A di dalamnya. Dos vitamin A yang berlebihan akan menggangu perkembangan bayi dalam rahim.

Tidak Perlu Ambil Makanan Kaya Vitamin A Setiap Hari

Perkataan vitamin A merujuk kepada dua jenis nutrien iaitu retinol (atau juga dipanggil retinoids), dan provitamin A carotenoid. Retinol (atau retinoid) terdapat dalam menu yang berasakan haiwan seperti telur , susu, dan hati. Ia boleh digunakan secara langsung oleh tubuh. Sementara carotenoid pula banyak terdapat pada buah-buahan dan sayur-sayuran. Ia harus ditukar dahulu kepada vitamin A oleh tubuh sebelum dapat digunakan.

Bagi wanita hamil, keperluan vitamin A yang disyorkan ialah 750 mg (2,500 IU ) dalam sehari. Seorang wanita yang hamil tidak perlu mengambil jumlah vitamin A yang disyorkan setiap hari. Ia hanyalah jumlah purata yang boleh diambil untuk beberapa hari atau dalam seminggu. Ini kerana vitamin A adalah vitamin yang tidak larut air dan akan kekal dalam tubuh untuk beberapa hari.


Pengambilan Vitamin A yang banyak boleh sebabkan kecacatan pada bayi

Oleh kerana menu pemakanan kita banyak terdapat daging merah, tenusu, ikan, dan telur, juga sayur-sayuran yang mempunyai banyak vitamin A, maka wanita yang hamil harus berhati-hati supaya tidak mengambil terlalu banyak vitamin A. Pengambilan vitamin A yang banyak dari sumber produk haiwan, boleh menyebabkan kecacatan pada bayi dalam rahim.

Namun harus difahami, vitamin A yang berbentuk carotenoids pada buah-buahan dan sayur-sayuran boleh diambil sebanyak mana yang disukai kerana sifatnya tidak bertindak terus kepada tubuh. Pengambilan vitamin A sebanyak 10,000 IU adalah pengambilan vitamin A yang maksima dibenarkan.


Oleh itu saya menasihatkan ibu yang hamil agar berhati-hati apabila mengambil suplemen vitamin tambahan, apabila telah mengambil menu produk haiwan dalam makanan. Pastikan dos yang diambil tidak berlebihan.

Wallahua ‘lam.

sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad