
Penggunaan puting bayi atau pacifier bukanlah perkara baharu dalam dunia keibubapaan. Sejak dulu lagi, ramai ibu ayah memilih untuk memberi puting sebagai cara menenangkan bayi yang meragam, sukar tidur atau kerap terjaga di waktu malam. Ada yang melihatnya sebagai penyelamat, namun ada juga yang risau akan kesan jangka panjang terhadap perkembangan anak.
Menariknya, beberapa kajian perubatan mendapati hisap puting bayi ketika tidur boleh membantu mengurangkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS). Namun dalam masa yang sama, penggunaan puting juga mempunyai kesan negatif jika tidak dikawal. Jadi, apa yang ibu ayah perlu tahu sebelum membuat keputusan?
Sindrom Kematian Bayi Mengejut atau Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) merujuk kepada kematian bayi secara tiba-tiba tanpa punca yang jelas, biasanya berlaku ketika bayi sedang tidur. Risiko ini lebih tinggi pada bayi bawah usia satu tahun.
Menurut pakar, bayi yang menghisap puting semasa tidur siang atau malam didapati mempunyai risiko SIDS yang lebih rendah. Antara sebab yang dipercayai ialah hisap puting bayi membantu mengekalkan saluran pernafasan terbuka, mengelakkan bayi tidur terlalu nyenyak serta membantu bayi berada dalam fasa tidur yang lebih selamat.
Namun, ibu ayah tidak digalakkan memaksa bayi menggunakan puting. Jika bayi menolak atau puting terjatuh ketika tidur, tidak perlu dimasukkan semula.
Secara semula jadi, bayi mempunyai refleks menghisap yang kuat. Aktiviti ini memberi rasa selamat dan menenangkan, sama ada melalui penyusuan susu ibu atau puting tiruan.
Ramai ibu ayah mendapati bayi yang biasa dengan hisap puting bayi lebih mudah ditenangkan, kurang menangis, cepat lena dan lebih selesa ketika tidur. Sebab itu, puting sering menjadi pilihan terutamanya dalam fasa bayi kerap meragam atau mengalami kolik.
Walaupun ada manfaat, penggunaan puting secara berlebihan atau terlalu lama boleh mendatangkan kesan negatif kepada perkembangan bayi.
Jika diperkenalkan terlalu awal, puting boleh mengganggu rutin penyusuan, terutama bagi bayi yang menyusu badan. Bayi mungkin keliru puting dan kurang menyusu. Pakar menyarankan hisap puting bayi
diperkenalkan selepas usia 3 hingga 4 minggu apabila penyusuan sudah stabil.Ada bayi yang sukar tidur tanpa puting dan akan menangis jika tidak mendapatkannya, sama ada ketika hendak tidur atau selepas terjaga.
Penggunaan puting dalam jangka masa panjang dikaitkan dengan peningkatan risiko infeksi telinga tengah kerana pergerakan hisapan boleh mempengaruhi tekanan pada saluran telinga.
Doktor gigi tidak menggalakkan penggunaan puting berlarutan kerana ia boleh menjejaskan susunan gigi dan bentuk rahang, terutamanya apabila gigi kekal mula tumbuh.
Penggunaan puting yang kerap boleh mengurangkan peluang bayi membebel, iaitu fasa penting dalam perkembangan bahasa dan komunikasi.
Hisap puting bayi bukan keperluan wajib dan bukan juga sesuatu yang perlu dielakkan sepenuhnya. Ia boleh digunakan sebagai alat sokongan, bukan penyelesaian utama setiap kali bayi menangis.
Yang penting, ibu ayah perlu menggunakan puting secara berhemah, menghadkan penggunaannya terutama untuk waktu tidur dan sentiasa memantau perkembangan bayi.
Jika ibu ayah memilih untuk memberi puting, beberapa panduan keselamatan ini disarankan:
Pilih puting silikon bebas BPA dan sesuai dengan usia bayi. Pastikan puting sentiasa bersih dan disteril. Jangan berkongsi puting antara kanak-kanak, dan elakkan meletakkan bahan manis pada puting. Gantikan puting yang rosak atau berlubang, dan disarankan menghentikan hisap puting bayi sebelum usia satu tahun bagi memudahkan proses cerai puting.
Kesimpulannya, hisap puting bayi boleh memberi manfaat termasuk membantu mengurangkan risiko SIDS, namun ia perlu digunakan dengan bijak dan terkawal. Setiap bayi berbeza, dan keputusan terbaik adalah yang sesuai dengan keperluan anak serta keselesaan keluarga.
Ibu ayah kenal anak sendiri, dan itulah panduan paling penting dalam membuat keputusan keibubapaan.
BACA LAGI : Puting Bayi Tidak Perlu Dipicit! Jururawat Ini Jelaskan Sebabnya
Sumber: Hello Doktor