Hospital Bukan Tempat Bermain: Kenapa Anak Tak Sesuai Dibawa Ke Hospital

Share

Ramai ibu ayah rasa hospital itu “safe zone” bersih, ada nurse, ada doktor. Tapi sebenarnya, dari sudut kawalan jangkitan, hospital adalah tempat paling tinggi risiko tercemar.

Sebab itu penting untuk kita faham kenapa kanak-kanak tak sesuai dibawa ke hospital untuk menziarah orang yang sakit atau tanpa keperluan, dan kenapa lantai hospital bukan tempat untuk duduk, makan atau biarkan anak bermain.

Ikuti perkongsian ini daripada penjelasan Public Health Malaysia, yang sejak dulu memang menekankan tentang keselamatan jangkitan di fasiliti kesihatan.

Gambar Sekadar Hiasan

“Lantai hospital nampak bersih, licin berkilat. Ramai rasa ok je duduk, bagi anak main, siap makan sekali atas lantai.”

Tapi dari sudut kawalan infection, cerita dia lain sikit.

1. Kenapa lantai hospital tak digalakkan untuk duduk dan makan?

Lantai adalah tempat semua kuman jatuh. Kasut pelawat, kerusi roda, troli pesakit, troli linen, tong sampah semua lalu di atas permukaan yang sama. Kadang ada darah, muntah, air kencing atau cecair badan lain tertumpah sebelum dicuci. Mata kita nampak bersih dan berkilat, tetapi baki kuman yang halus masih boleh ada.

2. Bukankah lantai hospital dibersihkan berkala setiap hari?

Ya, memang ada pembersihan berkala. Tetapi pembersihan mengurangkan kuman, bukan kosongkan seratus peratus. Pesakit dan pelawat keluar masuk tanpa henti. Setiap langkah kasut dan setiap pergerakan troli boleh bawa kuman baru ke lantai. Sebab itu di hospital, lantai jarang betul betul “clear” daripada kuman.

3. Apa masalah kalau anak duduk dan main di lantai hospital?

Anak kecil suka merangkak, baring, letak tangan di lantai kemudian masukkan tangan ke mulut atau pegang botol susu. Sistem imun mereka belum matang. Kalau terdedah kepada kuman hospital yang lebih kuat, jangkitan yang mereka dapat boleh jadi lebih teruk berbanding kalau bermain di rumah.

4. Adakah ini bermakna hospital tidak selamat?

Bukan hospital tidak selamat, tetapi hospital memang tempat berkumpulnya ramai orang sakit. Jadi peraturan kawalan jangkitan perlu lebih ketat. Elak duduk dan makan di lantai, elak biar anak merangkak di lantai wad, dan biasakan cuci atau sanitise tangan. Langkah ini diambil supaya hospital kekal selamat untuk pesakit dan pelawat.

5. Kalau tak boleh duduk dan makan di lantai, nak makan di mana?

Gambar Sekadar Hiasan

Gunakan kerusi dan meja yang disediakan di wad, di ruang menunggu, pantry atau kantin hospital. Kalau perlu makan dekat pesakit, duduk di kerusi dan letak makanan atas tray atau meja kecil. Elakkan bentang makanan atas lantai di tepi katil pesakit.

6. Apa amalan paling selamat bila berada di hospital?

Elakkan lepak dan berkumpul di lantai, jangan biar anak bermain di lantai wad, pakai kasut atau selipar, dan sentiasa jaga kebersihan tangan. Nampak macam perkara kecil, tetapi inilah yang bantu kurangkan risiko jangkitan yang tidak perlu.

7. Hospital kerajaan dan swasta sama ke dari segi risiko lantai?

Dari sudut kuman, ya hampir sama. Kedua dua menempatkan ramai pesakit dengan pelbagai jangkitan, kedua dua ada pelawat, troli dan linen kotor yang keluar masuk, dan kedua dua bergantung kepada pembersihan berkala. Tiada hospital yang boleh janji lantai sentiasa bebas kuman. Jadi, sama ada hospital kerajaan atau swasta, aturan tetap sama. Lantai bukan tempat duduk, bukan tempat main dan bukan tempat makan.

8. Penyakit apa yang kita risau boleh ada di lantai hospital?

Antara yang mungkin wujud

• Jangkitan usus seperti E. coli, Salmonella dan virus usus yang boleh sebabkan cirit birit dan muntah

• Jangkitan kulit dan luka seperti Staphylococcus aureus termasuk yang tahan antibiotik contohnya MRSA

• Jangkitan pernafasan daripada titisan batuk dan bersin yang jatuh ke permukaan kemudian berpindah ke tangan dan muka

.

Ringkasnya, lantai hospital memang kelihatan bersih dan licin, tetapi dari sudut kuman ia bukan zon selamat untuk duduk, makan dan biar anak bermain. 

Walaupun lantai hospital nampak bersih, licin dan berkilat, hakikatnya ia bukan zon selamat terutama untuk kanak-kanak. Hospital adalah kawasan berisiko tinggi jangkitan, dan sebab itulah penting untuk jaga kebersihan serta elakkan anak kecil bermain atau makan di lantai.

Keselamatan anak bermula dengan langkah kecil termasuk cara kita duduk, bergerak dan makan ketika berada di hospital.

Sumber: Public Health Malaysia

Published by
Nor Yusoff