
Dalam rumahtangga, kasih sayang bukan hanya tentang ucapan “I love you” setiap pagi, tapi tentang tindakan kecil yang penuh makna. Kadang, penghargaan suami terhadap isteri tidak perlu besar cukup dengan usaha menunjukkan bahawa setiap titik peluh dan pengorbanannya membesarkan anak-anak dihargai.
Itulah nilai yang cuba diterjemahkan melalui program i-Sayang KWSP di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di mana lebih 158,000 suami di Malaysia telah memilih untuk memindahkan 2 peratus daripada caruman KWSP bulanan mereka ke akaun isteri masing-masing. Mungkin nilainya tidak sebesar sebiji rumah atau kereta mewah, tapi maknanya sangat dalam ia tanda terima kasih, tanda “aku nampak pengorbananmu”.
Menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga Ogos 2025, jumlah pindahan caruman i-Sayang KWSP telah mencecah RM309.4 juta sejak pelaksanaannya pada Mac 2023.
Program ini memberi peluang kepada para suami untuk memperuntukkan 2 peratus daripada caruman bulanan mereka ke akaun isteri secara sukarela seolah-olah mengiktiraf bahawa isteri juga wajar ada simpanan hari tua, walau pun mereka tidak bekerja secara formal.
Hakikatnya, ramai isteri menghabiskan tahun-tahun muda mereka di rumah, membesarkan anak-anak, menguruskan keluarga — kerja yang tidak dibayar, tetapi paling berharga. Program seperti i-Sayang KWSP menjadi satu bentuk pengiktirafan kecil bahawa tugas mereka tidak sia-sia.
Suami yang memilih untuk menyertai i-Sayang KWSP bukan sekadar memindahkan duit mereka memindahkan rasa hormat dan kasih terhadap isteri. Ia tanda bahawa “kita sama-sama bina masa depan, bukan aku seorang”.
Dalam dunia sekarang di mana ramai wanita masih berkorban meninggalkan kerjaya demi keluarga, langkah ini memberi mesej besar: “Kau tak dilupakan, sayang.”
Selain i-Sayang KWSP, kerajaan turut memperkukuhkan inisiatif seperti i-Saraan dan i-Suri — dua skim yang menyokong rakyat dari pelbagai lapisan.
Untuk i-Saraan, kerajaan menaikkan insentif padanan daripada 15% kepada 20%, dengan maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup RM5,000. Ia memberi manfaat besar kepada mereka yang bekerja sendiri atau tidak dalam sektor formal. Setakat separuh pertama tahun 2025, jumlah caruman i-Saraan mencecah RM2.8 bilion daripada 487,375 ahli — peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.
Manakala bagi i-Suri, kerajaan masih mengekalkan kadar padanan 50% daripada caruman tahunan, sebagai tanda penghargaan kepada suri rumah yang berdaftar dalam sistem e-Kasih. Dengan insentif maksimum RM300 setahun (sehingga RM3,000 seumur hidup), ia sedikit sebanyak membantu mereka membina simpanan hari tua.
Ramai lupa tanpa isteri, rumah tangga boleh jadi sekadar “tempat tinggal”. Isteri bukan hanya melahirkan anak, tapi mendidik, mengurus, menenangkan hati suami, dan sering kali menjadi tulang belakang saat diuji. Maka bila suami ambil langkah kecil menghargai, ia boleh mengubah banyak perkara.
Bayangkan wajah isteri yang penat, tapi tersenyum bila tahu suaminya buat caruman untuk masa depannya. Ia bukan tentang jumlah duitnya tapi tentang rasa “aku dihargai”.
“Terima kasih sebab masak hari ni” mungkin nampak remeh, tapi ia boleh buat hati isteri cair.
Sentuhan lembut atau pandangan mata yang jujur mampu menyembuhkan banyak luka kecil dalam hubungan.
Isteri juga manusia. Kadang dia perlukan masa sendiri. Bantu dia, bukan bebankan.
Suami yang tolong jaga anak atau basuh pinggan, bukan “queen control”. Itu tanda tanggungjawab.
Sama-sama berbincang tentang kewangan, anak, dan impian. Bila isteri tahu dia dilibatkan, dia akan rasa lebih dihargai.
Program seperti i-Sayang KWSP, i-Saraan, dan i-Suri bukan sekadar polisi ekonomi — ia simbol kasih, penghargaan, dan kesedaran bahawa setiap wanita yang membesarkan anak adalah wira tanpa jubah.
Bila suami mula menghargai, isteri pun akan rasa lebih kuat untuk terus memberi. Dan di situlah bermulanya rumah tangga yang benar-benar bahagia — bukan sempurna, tapi saling menghargai.