Ibu & Anak 9 Tahun Maut, Dipercayai Keracunan Makan Lauk Kenduri!

Share

Seorang ibu dan anak lelakinya meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di sebuah kampung di Tawau, Sabah pada Sabtu lalu.

Mangsa, Nazuah Pili, 36, dan anak sulungnya, Mohd Amran, 9, dilaporkan mengalami muntah serta cirit-birit teruk beberapa jam selepas pulang dari kenduri kira-kira jam 11 pagi, sebelum tidak sedarkan diri.

Suami mangsa, Masran Mohd Amin, 43, berkata beliau menemui isteri dan anaknya terbaring di atas tilam di ruang tamu rumah mereka kira-kira jam 3 petang, sebaik pulang dari tempat kerja.

“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa, namun melihat isteri kerap berulang-alik ke tandas, muntah-muntah dan baring semula dalam keadaan lemah.

“Saya cuba bangunkan isteri kerana ada kesan najis pada kain sarung yang dipakainya, sebelum dia masuk semula ke tandas.

“Ketika itu, saya lihat si abang (Mohd Amran) masih terbaring di ruang tamu dan tidak bergerak,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Tambahnya lagi, beliau turut mengalami muntah dan sakit perut selepas menjamah lauk kenduri yang dibawa pulang isterinya pada hari kejadian.

Dua anak lagi sempat dibawa ke klinik

Dua lagi anak mereka, Naziah Insyirah, 6, dan Mohd Azran, 18 bulan bagaimanapun sempat dibawa ahli keluarga lain ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan.

“Jenazah isteri dan anak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu 4 kira-kira jam 10 malam tadi selepas selesai bedah siasat,” katanya yang reda dengan kehilangan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, mengesahkan menerima laporan dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan.

Sumber: TV3

Published by
SRM