Ibu dan ayah memainkan peranan penting menyediakan kehidupan yang baik buat si kecil. Namun lain jadinya pada kisah ini di mana bayi kecil ini meninggal dunia gara-gara ibu bapanya menolak suntikan vitamin K semasa kelahirannya.
Kisah ini disaksikan sendiri oleh Dr Ahmad Zakimi Abdullah ketika bertugas di sebuah pusat perubatan. Ibu bapa bayi berkenaan memberitahu untuk tidak menyuntik bayinya dengan suntikan vitamin K dan vaksin selepas dilahirkan.
Kesudahannya, keputusan ibu bapa berkenaan itu membawa padah apabila si kecil yang baru 2 minggu menjengah dunia maut kerana pendarahan dalam otak. Semoga kisah ini memberikan pengajaran.
Gambar hiasan.
Berikut ialah perkongsian beliau;
Ibu Ayah, Saya Mahu Hidup
“Hello doktor! Ada baby berusia 2 minggu tengah sawan. Dah biru ni, doktor,” jeritan seorang penolong pegawai perubatan di corong telefon dari unit kecemasan.
“Ahh! Kejap saya sampai.”
Aku oncall ketika itu terus buka langkah seribu tanpa toleh kiri kanan. Aku dari wad bersalin agak jauh untuk tiba.
Sesudah sampai di zon merah aku bersuara,”berapa lama dah sawan ni?”
SUDAH 2 HARI ALAMI SAWAN
“Dah 2 hari sawan tak baik-baik. Dah jumpa ustaz tapi ustaz suruh bawa ke hospital,” jawab ibu kepada bayi tersebut.
Kami semua agak cemas ketika itu. Kami mula lakukan resusitasi dan berjaya memasukan tuib pernafasan kerana sawan bayi tersebut terlalu lama. Bantuan pernafasan sudah diberikan. Keadaan susah stabil.
Apa masalah bayi ni agaknya? Ah, perlu CT brain ni – Aku hanya bermonolog.
IKLAN
Aku buat rujukan ke hospital besar untuk rawatan lanjut dan lakukan imbasan CT brain. Sambil menyiapkan segala surat rujukan aku disapa oleh ayah bayi tersebut.
“Doktor kenal kami?” Sapaan si ayah.
“Oh! Encik rupanya. Ya saya kenal. Saya yang sambut kelahiran anak ini. Baru saya ingat,” ujarku sambil cuba imbas kembali.
Gambar hiasan.
MENOLAK SUNTIKAN VITAMIN K DAN VAKSIN SELEPAS BAYI LAHIR
Imbas kembali 2 minggu lepas…
“Maaf doktor, kami tak mahu apa-apa ubat atau vaksin untuk anak kami termasuk injek vitamin K,” ujar seorang ayah sejurus kelahiran anak ke 2 mereka.
Aku dan seorang jururawat memberitahu tentang kepentingan vitamin K untuk bayi yang baru dilahirkan. Bayi baru lahir berisiko kekurangan vitamin K atas beberapa faktor termasuk: vitamin K tidak dipindahkan melalui placenta dari ibu ke janin dengan baik, kandungan vitamin K dalam susu ibu tak mencukupi untuk keperluan bayi dan beberapa faktor lain lagi.
Aku juga terangkan vitamin K adalah penting dalam pembekuan darah lebih-lebih lagi untuk bayi baru lahir. Komplikasi jika tak mengambil vitamin K adalah akan menyebabkan pendarahan.
Gambar hiasan.
SARANAN DOKTOR TIDAK DIENDAHKAN
IKLAN
Mereka tak mengendahkan saranan aku dan jururawat. Macam-macam alasan diberikan yang dikatakan ia adalah idea dari barat dan yahudi. Puas kami terangkan. Mereka tetap menolak.
“Kami tak mahu benda asing masuk kedalam badan bayi kami.”
“Kami tak mahu ikut yahudi macam doktor.”
“Apa-apa yang berlaku kepada bayi kami, kami tanggung.”
“Kalau doktor bagi juga saya saman doktor.”
Itu antara kata-kata yang aku terima dari ibubapa bayi tersebut. Ok, aku redha.
Gambar hiasan.
BAYI DIHANTAR KE HOSPITAL BESAR
Tanpa berkata apa-apa aku terus mengantar bayi yang tenat itu ke hospitar besar. Banyak benda dalam benakku. Cemas, sedih, kecewa, itu semua mainan aku sebagai doktor yang merawat.
IKLAN
Setelah kami tiba di hospital besar, bayi tenat tersebut kami serahkan kepada doktor-doktor di zon merah. kami hanya menunggu keputusan CT brain bayi ini. Aku tak mahu pulang lagi selagi tiada keputusan. Menunggu dengan penuh cemas.
KEPUTUSAN CT SCAN BAYI ALAMI PENDARAHAN OTAK
“Awak! Filem Ct Brain dah siap. Tengok tu, intracranial bleed bang,”ujar Dr Faizal di zon merah.
Allahu, sah apa yang aku fikirkan. Bayi ini mengalami pendarahan dalam otak akibat dari ‘hemorrhagic Disease of Newborn’. Asbabnya kekurangan vitamin K.
Aku dan jururawat pulang kembali ke hospital kami. Perasan sedih dan kesian dengan apa yang berlaku keatas bayi tersebut.
BAYI MENINGGAL DUNIA 3 HARI KEMUDIAN
Selang seminggu aku cuba membuat susulan tentang bayi tersebut. Aku diberitahu bahawa bayi tersebut sudah meninggal 3 hari lepas.
innalillahiwainnailaihirojiun…
Aku sedih. Aku sedih. Masih terbayang wajah bayi tersebut buat aku menangis. Satu jiwa sesuci kain putih yang tak berdosa telah hilang akibat kejahilan ibubapanya.
Sebagai seorang ibu, sudah pastinya badan selalu letih dan sakit-sakit. Tuntutan bekerja dan kemudian menguruskan hal rumah tangga, sememangnya memenatkan. Sebab itulah, para ibu perlu ada suplemen yang dapat membantu mengekalkan kecergasan anda.
Jika tidak berani untuk ambil suplemen yang dijual di pasaran, buatlah sendiri. Lebih banyak khasiatnya dan diyakini selamat kerana dihasilkan dari ramuan semula jadi.
Perkongsian resipi dari pengguna akaun Facebook, Suhanna Zakaria ini memang menarik. Dengan hanya menggunakan bahan asas yang boleh didapati dalam dapur, boleh menghasilkan jamu yang membantu para ibu menjaga kesihatan diri.
Bukan itu saja, jamu ini turut memberi kebaikan untuk membuang angin dalam badan, melawaskan perut, mengatasi keputihan, mengecutkan peranakan serta menaikkan seri wajah awet muda. Menarik kan?
Dah pepetang ni baru ada free sikit nak share something yang Kak Ana Gojes rasa korang patut buat sendiri je kat rumah.
Asek masak makanan pun boring juga kann. So lets masak jamu untuk diri sendiri pulak. Moga moga lepas amal jamu ni, tetap jadi kekasih awal dan akhir untuk hubby korang.
Sebenarnya jamu ni memang Kak Ana Gojes sendiri amalkan. Save banyak taw duit bila buat sendiri.
Badan pun lain macam bila kita jadikan amalan. Cargass walaupun dah umur macam sekarang ni. Korang yang muda muda tu elok amalkan segera. Untuk awet muda pun ya.
Sebelum ni Kak Ana Gojes beli yang ready made je, ada la dalam seratus ringgit sebulan. Better korang buat sendiri je. Duit seratus tu boleh juga simpan time emergency.
Kita guna barang barang kat dapur je. Cara masak pun senang yakmat. Korang minum ni tetiap hari. Sekali sehari pun dah okey.
Make sure air puteh kena minum banyak ya. Biar segala toksin dalam badan tu keluar semua. Bagus taw jamu ni untuk buang angin, senggugut dan kecutkan peranakan.
“Bila dah mendidih gini. Kecik kan api. Sambung masak kat rice cooker untuk renehkan dia.”
BAHAN-BAHAN: 1 1/2 ini kunyit hidup } hiris nipis 1 inci halia } hiris nipis 1 inci gula Melaka atau gula merah 1 sudu besar pes asam jawa 1/4 sudu teh serbuk manjakani (optional) 1 liter air
CARA MEMBUAT: 1. Didihkan air, kemudian masukkan semua bahan ke dalamnya. Reneh sehingga air tadi tinggal separuh (nak lebih mudah, gunakan rice cooker) 2. Apabila sudah siap, tapis dan sejukkan sebelum dimasukkan ke dalam botol. Simpan dalam peti ais, biasanya kuantiti sebanyak ini bertahan untuk seminggu.
KHASIAT: 1. Buang angin, lawas perut, kurangkan masalah keputihan, kecutkan peranakan dan menaikkan seri wajah. 2. Boleh jadi agen perapat. 3. Boleh diminum ketika datang haid untuk melawaskan darah haid.
“Minum sikit sahaja, dalam enam sudu besar. Selepas minum jamu, ambil segelas air suam.”
Antara perkara yang paling mengerikan seorang ibu yang bersalin secara caesarean adalah apabila luka pembedahan masih tak baik-baik walaupun dah lebih seulan atau ia terbuka. Seriau kan?
Walaupun jarang berlaku namun ada wanita yang melalui pengalaman ini. Biasanya luka pembedahan ini terbuka semula atas beberapa faktor. Mungkin aspek penjagaan yang kurang dititikberatkan atau ada sebab-sebab lain.
Faktor luka pembedahan terbuka semula
JANGKITAN KUMAN PADA LUKA
Punca utama luka terbuka ialah disebabkan jangkitan kuman pada kawasan pembedahan. Risikonya 1 peratus.
IBU OBESITI
Berlaku kepada ibu hamil yang obesiti kerana ketebalan tisu lemak dan kulit melambatkan proses penyembuhan. Lipatan kulit juga menyebabkan kawasan sentiasa lembap dan berpeluh yang menjadi punca pembiakan kuman.
IBU YANG MENGALAMI ANEMIA
Ibu hamil yang mengalami anemia berpotensi mengalami masalah luka pembedahan terbuka kerana kekurangan oksigen kepada tisu aktif yang melambatkan proses penyembuhan.
4. KURANG MENGAMALKAN KEBERSIHAN DIRI
Tidak mengamalkan kebersihan diri ketika berpantang juga boleh menjadi punca seperti tidak mandi atau tidak membersihkan kawasan luka hingga luka dicemari peluh dan daki.
KURANG MINUM AIR
Kurang air menyebabkan kita mengalami dehidrasi yang melambatkan proses penyembuhan.
PEMAKANAN BERPANTANG TAK SEIMBANG
Tidak mengamalkan makanan seimbang ketika berpantang boleh melambatkan proses penyembuhan. Jadi, makanlah sayur-sayuran dan buah-buahan.
BERGERAK TERLALU LASAK
Kurangkan gerakan yang melibatkan tekanan pada abdomen seperti menjemur kain, meneran, batuk dengan kuat dan mengangkat benda berat.
MENYAPU ATAU MELETAKKAN MINYAK ATAS LUKA
Perbuatan menyapu ubat-ubatan tadisional pada luka pembedahan boleh menyebabkan pembiakan bakteria. Jangan lakukan sembarangan.
TANDA-TANDA LUKA TERBUKA
SAKIT PADA BAHAGIAN LUKA
Kita mungkin akan mengalami rasa sakit pada bahagian luka selama 2-3 hari disebabkan jangkitan kuman pada luka.
DEMAM
Ada juga yang didahului dengan demam kuat disebabkan jangkitan pada luka pembedahan.
LUKA MERAH DAN BERNANAH
Perhatikan luka pembedahan sekiranya ada tanda-tanda ini. Segera ke klinik atau hospital terdekat.
KELUAR CECAIR
Ada sesetengah pesakit mendapati ada cecair keluar daripada luka pembedahan. Sekiranya cecair sentiasa mengalir (dan ia bukan peluh), itu salah satu tanda ada jangkitan pada luka. Segeralah ke klinik atau hospital berhampiran.
KOMPLIKASI LUKA TERBUKA
Menjadi punca jangkitan merebak dalam badan
Hubungan dengan anak terganggu kerana tidak mampu menyusukan kerana menahan sakit pada perut
Sukar buang air besar
Luka lambat sembuh
Luka akan dijahit semula tanpa bius
Tinggalkan parut yang tidak cantik
CARA PASTIKAN LUKA CEPAT BERCANTUM
-Selepas mandi, pastikan kita mencuci luka dengan betul.
-Bersihkan luka guna alkohol terlebih dahulu sehingga bersih. Boleh buat 2 hingga 3 kali.
-Selepas yakin bersih, sapu ubat kuning dan antibiotik pada luka guna putik kapas.
-Keringkan ubat dan kawasan luka.
-Tutup luka guna balutan dibekalkan hospital.
Mungkin sukar mahu bersihkan luka sendiri. Boleh minta bantuan suami atau ibu. Bersihkan luka dua kali sehari. Biasanya, dalam tempoh seminggu, cecair yang keluar daripada luka akan mula kering dan bercantum semula.
Sumber: cepatsihat.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pernahkah anda sebagai ibu bapa terfikir bahawa terdapat seribu satu makna yang tersirat di sebalik warna najis bayi? Jika tidak, teruskan membaca artikel ini kerana ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh ibu bapa ambil mudah!
Para ibu bapa terutamanya yang masih baharu dalam alam keibubapaan pasti akan teruja dan dalam masa yang sama keliru serta takut menerima kehadiran seorang bayi dalam hidup mereka.
Ini kerana anda sebagai ibu bapa perlu tahu serba-serbi mengenai keperluan atau kemahuan si comel mereka. Segala macam perkara mengenai bayi perlu anda tahu bagi memastikan mereka sentiasa kekal tenang dan ceria di samping anda. Antara yang paling perlu diberi perhatian adalah kesihatan, pemakanan, penghidratan, pemakaian, waktu tidur, waktu mandi, waktu bermain dan juga warna najis bayi.
Ya, warna najis bayi juga perlu ibu bapa perhatikan dengan baik kerana ia adalah salah satu daripada indikator yang paling penting dalam menentukan tahap kesihatan si comel anda. Mungkin bagi ibu bapa yang masih baharu, mereka akan sedikit keliru mengenai perkara ini lebih-lebih lagi jika mereka kurang membuat pembacaan mengenainya.
Mungkin selama ini mereka beranggapan bahawa warna najis bayi adalah serupa sahaja daripada segi bentuk, tekstur dan terutamanya warna dan tidak akan berubah-ubah. Ini adalah tidak benar. Bagi mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.
Najis bayi tidak normal
Antara soalan yang sering ditanya oleh para ibu bapa terutamanya yang masih baharu adalah mengapa warna najis bayi mereka adalah tidak normal? Ini akan menimbulkan tanda tanya yang lain iaitu apakah warna najis bayi yang normal? Sebenarnya, tidak ada warna najis bayi yang tetap untuk dianggap sebagai normal atau tidak normal. Ia akan berubah-ubah mengikut tahap kesihatan seseorang bayi itu sendiri.
Selain itu, terdapat juga beberapa soalan lain yang sering diutarakan berkaitan dengan najis bayi iaitu kekerapan dan konsistensi pembuangan najis kanak-kanak. Selain warna najis bayi, 2 perkara ini juga mampu memberikan indikasi terhadap tahap kesihatan seseorang bayi itu. Dalam pada itu lagi, ibu bapa perlu tahu bahawa ciri-ciri najis itu juga bergantung kepada pemakanan, penghidratan, emosi pengambilan ubat dan lain-lain punca yang wujud.
Ciri-ciri umum najis bayi
Secara umumnya, bayi yang baharu lahir akan membuang najis dengan kerap dan banyak. Ketika mereka sedang dalam beberapa hari yang pertama terutamanya, si comel anda mungkin akan membuang najis yang berwarna agak gelap sedikit.
Selepas bayi telah mula menyusu pula, ia akan memberi kesan terhadap ciri-ciri najis bayi. Bayi yang disusukan dengan susu badan secara ekslusif kebiasaannya akan membuang najis lebih kurang 5 ke 6 kali sehari. Selain itu, bayi yang menyusu susu ibu cenderung membuang najis yang lebih cair jika hendak dibandingkan dengan bayi yang menyusu susu formula.
Najis bayi yang berusia 6 bulan ke bawah adalah lebih cair ekoran pemakanan mereka yang hanya mengambil sumber susu sahaja. Konsistensi najis bayi yang disusukan dengan susu ibu adalah lebih berbentuk kepada ketul-ketulan kecil sementara najis bayi yang disusukan dengan susu formula pula adalah lebih pekat seperti campuran sos mustard atau sos keju.
Warna najis bayi dan puncanya
Pasangan ibu bapa sudah pasti sangat obses dengan setiap perkembangan baharu anak mereka. Perkara-perkara seperti berat badan, ketinggian, warna rambut, warna mata dan kesemua mengenai bayi pasti akan menarik perhatian ibu bapa. Namun begitu, apa kata anda jika pasangan ibu bapa itu obses dengan warna najis bayi mereka sendiri?
Sebenarnya, ia bukan perkara yang terlalu aneh atau pelik untuk difikirkan. Warna najis bayi sebenarnya adalah sangat penting untuk diperhatikan kerana selain warnanya, kekerapan, konsistensi, bentuk, tekstur dan bau najis juga akan berubah-ubah bergantung kepada beberapa punca yang tertentu.
Disebabkan itu, anda sebagai ibu bapa sedikit sebanyak boleh cuba untuk mengetahui mengenai kondisi anak anda dengan meneliti warna najis bayi. Persoalannya, bagaimana untuk ‘membaca’ warna najis bayi ini? Sila ikuti panduan yang berikut:
#1. Najis bayi berwarna hitam
Meskipun ia mungkin kelihatan agak menyeramkan, tiada apa yang perlu anda bimbangkan mengenainya. Warna hitam pada najis bayi ini adalah disebabkan oleh mekonium dan terdiri daripada perkara yang si comel anda telan semasa berada di dalam rahim seperti mukus, cecair amnion atau sel-sel kulit. Ia juga kebiasaannya akan terjadi kepada bayi yang baharu lahir sahaja.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang akan menyebabkan najis bayi berwarna hitam. Antaranya adalah kerana bayi anda menyalurkan darah di dalam najisnya. Tidak, anda tidak perlu panik kerana ia adalah darah yang mungkin ditelah dari puting anda yang merekah ketika penyusuan susu badan. Disebabkan itu, anda perlu pastikan bayi anda melekap dengan betul ketika menyusu untuk mengelakkan susu badan bercampur dengan darah anda.
Antara punca lain najis bayi kehitaman adalah disebabkan oleh zat besi. Jangan terkejut melihat najis anak anda berwarna hitam jika anda sendiri yang memberikan mereka supleman zat besi tambahan. Namun begitu, jika najis si comel anda berwarna hitam dan bukan disebabkan oleh perkara-perkara yang telah dinyatakan ini, segera berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
#2. Najis bayi berwarna kuning
Ini akan berlaku kepada bayi anda sekiranya mereka minum susu ibu secara eksklusif. Oleh itu, jangan terkejut jika najis bayi anda kelihatan seperti mustard atau keju yang dicampur sekali bersama. Ataupun, ia mungkin akan mengelirukan ibu bapa kerana ia tidak jauh berbeza dengan cirit-cirit. Akan tetapi, anda tidak perlu risau terlebih dahulu terutamanya jika si comel anda langsung tidak menunjukkan gejala ciri-birit yang lain seperti demam atau sakit perut.
Najis jenis ini juga adalah sangat cair dan busuk. Disebabkan itu, ia adalah sangat menjijikkan jika anda berada berhampiran dengannya. Selain itu, ia juga mungkin akan mempunyai sebahagian daripada makanan atau minuman yang si ibu ambil sebelum menyusukan bayi. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa najis yang kelihatan menjijikkan ini adalah menunjukkan bahawa bayi anda sedang dalam keadaan yang sihat.
#3. Najis bayi berwarna coklat cair
Najis ini pula lebih biasa ditemui dalam kalangan bayi yang menyusu susu formula. Ia mempunyai bentuk dan tekstur yang tidak terlalu keras atau lembut seakan-akan mentega kacang. Berbanding najis bayi yang menyusu susu ibu, najis bayi yang menyusu susu formula adalah jauh lebih busuk.
Selain itu, warnanya juga agak bervariasi tetapi tetap berkisar pada spektrum warna coklat. Ia mungkin akan berwarna coklat kehijauan atau coklat kekuningan bergantung kepada jenis susu formula yang digunakan. Ataupun, najis bayi yang menyusu susu formula juga mungkin akan kelihatan seperti coklat pekat seperti najis seorang kanak-kanak.
#4. Najis bayi berwarna merah
Ya, warna najis ini adalah sangat menakutkan kerana merah selalunya akan dikaitkan dengan darah. Sudah tentu, najis bayi berwarna merah mungkin disebabkan oleh darah. Pun begitu, anda tidak perlu panik kerana punca najis itu bercampur dengan darah adalah apabila bayi terambil darah ibu melalui penyusuan susu badan yang disebabkan oleh puting merekah atau isu-isu yang lain. Jika ia berlaku, segera berjumpa dengan doktor bersama bayi anda.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang boleh menyebabkan najis bayi berwarna kemerahan seperti alahan, jangkitan bakteria, pengambilan ubat bit ataupun disebabkan tebukan di kawasan dubur bayi akibat sembelit. Untuk lebih pasti, dapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar kanak-kanak.
#5. Najis bayi berwarna putih
Selain merah, najis bayi yang berwarna putih juga adalah luar biasa dan sangat jarang berlaku. Ada ibu bapa yang berjenaka bahawa bayi yang membuang najis berwarna putih adalah keturunan legenda Pulau Langkawi iaitu Mahsuri yang mempunyai darah berwarna putih. Itu bukan sama sekali halnya kerana najis akan mendapat warnanya daripada organ hempedu. Jadi, punca utama kepada najis yang berwarna keputihan seperti kapur adalah kerosakan atau ketiadaan hempedu.
Selain itu, najih putih juga mungkin disebabkan oleh masalah pada organ hati. Oleh itu, segera bawa si comel anda untuk berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak jika mereka membuang tahi tidak berwarna ini kerana sudah pasti ia adalah berpunca daripada masalah organ dalaman mereka.
#6. Najis bayi berbuih
Sekiranya bayi anda membuang najis yang berbuih seperti susu kocak dan berwarna seakan-akan kehijauan pula, apakah maksudnya? Ia mungkin kerana si comel anda mendapat terlalu banyak susu kolostrum dan kurang menerima susu matang atau susu akhir. Kolostrum terkenal sifatnya yang rendah kalori sementara susu yang keluar pada awal penyusuan susu matang adalah tinggi kalori.
Jadi, sekiranya najis anak anda berbuih dan berwarna kehijauan, ia mungkin bermakna dia tidak menyusu dengan tempoh yang lama sehingga susu matang mula terhasil dalam payudara si ibu. Untuk menyelesaikannya, si ibu perlu mula menyusukan bayi dengan belah payudara yang paling akhir anda gunakan sebelum ini.
#7. Najis bayi berair
Jika najis berair, sudah pasti akan dikaitkan dengan cirit-birit. Namun begitu cirit-birit yang berlaku pada bayi adalah berbeza dengan cirit-birit individu dewasa kerana ia akan terdiri daripada lebih banyak cecair berbanding pepejal. Selain itu, ia juga akan mempunyai warna hijau, coklat atau kuning cair dan sering bocor keluar daripada lampin si comel anda.
Cirit-birit dalam kalangan bayi biasanya adalah berpunca daripada alahan atau jangkitan bakteria. Ia sebenarnya perlu dipandang dengan lebih serius kerana boleh membawa kepada masalah dehidrasi jika tidak dirawat dengan kadar segera. Oleh itu, segera bawa bayi anda berjumpa doktor untuk mengelakkan sebarang masalah lain terhadap mereka.
#8. Najis bayi berwarna-warni
Pernahkah anda terbayang najis bayi yang berwarna-warni? Cuba anda bayangkan campuran sayur-sayuran yang dipotong kecil seperti lobak merah, lobak putih, kacang hijau, terung dan tomato digaul sekali di dalam satu bekas. Ya, ia mungkin kelihatan berwarna-warni dan meriah. Pun begitu, adakah ibu bapa perlu risau mengenainya?
Sekiranya anda mendapati bahawa najis bayi anda dipenuhi dengan tompokan berwarna-warni, anda tidak perlu risau sama sekali. Ini kerana ia mungkin berlaku akibat beberapa jenis makanan yang tidak dapat dicernakan atau dipecahkan sepenuhnya kerana bergerak terlalu pantas melalui sistem pencernaan bayi.
Ia akan terjadi jika si comel anda sangat menyukai makanannya sehingga mereka tidak langsung mengunyah lantas menelan makanan tersebut secara terus. Ini merupakan punca kepada pencernaan yang tidak sempurna lalu menyebabkan kepada masalah najis bayi yang berwarna-warni.
Sebaiknya, bawa anak anda berjumpa dengan doktor untuk mengetahui jika terdapat sebarang masalah terdapat sistem pencernaan bayi anda.
#9. Najis bayi berwarna coklat gelap
Ini mungkin merupakan tahap atau peringkat warna najis bayi yang paling normal. Jika bayi anda sudah mula membuang najis berwarna gelap, mereka sudah berjaya membesar menjadi seorang kanak-kanak yang berjaya.
Anda akan mendapati terdapat perubahan pada warna najis bayi yang berubah menjadi coklat gelap apabila mereka mula mengambil makanan pejal dan sudah mula beransur-ansur ke arah bercerai susu.
Najis bayi yang berwarna coklat gelap juga adalah serupa sahaja dengan warna biasa najis individu dewasa. Jangan risau mengenai perkara ini kerana ia adalah normal dan menunjukkan bahawa tumbesaran bayi anda adalah berada di landasan yang baik.
Jadi, apa yang boleh anda lakukan?
Warna najis bayi anda mungkin tidak mampu untuk anda ubah dalam tempoh sehari semalam. Jika anda bimbang dengan sesuatu keadaan pada bayi, ada perkara yang boleh anda lakukan iaitu menjaga dan mengawal sistem pencernaan si comel anda.
Ibu bapa perlu cuba untuk mengawal sistem pencernaan yang melibatkan usus dalam perut bayu untuk memberi kesan terhadap seluruh kesihatannya. Berikut adalah beberapa cara anda boleh membantu melindungi sistem pencernaan bayi anda:
Amalkan penyusuan susu ibu
Pertama sekali, anda perlu mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi anda. Ini kerana ia akan membantu di peringkat awal kehidupan bayi dengan meningkatkan perlindungan imunnya dan pada masa yang sama memastikan imbangan sihat bakteria baik dan bakteria jahat di dalam usus si comel anda.
Susu ibu mengandungi antibodi yang boleh membantu menyalut saluran usus bayi anda sekali gus melindunginya daripada antigen yang berbahaya yang terdapat di persekitaran mereka. Selain mampu meningkatkan imuniti bayi anda, susu ibu juga akan memberi bayi anda nutrien dan khasiat yang seimbang yang khusus untuk tumbesaran mereka.
Elakkan pengambilan antibiotik berlebihan
Selain itu, anda juga perlu mengelak daripada memberi bayi anda apa-apa jenis antibiotik kecuali doktor membenarkannya atas dasar perubatan. Ini kerana antibiotik akan mengganggu imbangan mikroflora dalam usus bayi anda. Jika ubat-ubatan diperlukan, sila rujuk dengan pihak doktor terlebih dahulu.
Anda perlu peka terhadap warna najis bayi anda kerana ia boleh menjadi indikator yang berguna kepada ibu bapa mengenai apa yang sedang berlaku di dalam sistem pencernaan bayi anda. Ketahuilah bahawa bayi yang sihat adalah sangat ceria dan perjalanannya ke arah tumbesaran dan perkembangan yang baik bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.
Konklusi
Konklusinya, warna najis bayi sememangnya adalah petunjuk kepada tahap sistem pencernaan bayi anda. Sama ada ia hitam, hijau, kuning, coklat, berwarna-warni, berbuih atau berair, anda tidak perlu terlalu risau akannya kerana ia adalah bergantung kepada pemakanan mereka sendiri.
Yang perlu anda risau adalah sekiranya bayi membuang najis yang berwarna putih atau merah kerana ia mungkin menunjukkan si comel anda sebenarnya mempunyai sesuatu kondisi kesihatan yang agak membimbangkan.
Jadi, anda sebagai ibu bapa perlu lebih teliti mengenai perkara ini dan jangan hanya mengambil mudah setiap perkara berkenaan warna najis bayi. Jika terdapat sebarang perubahan yang ketara seperti warna najis bayi kerap berubah-ubah atau apa-apa sahaja kebimbangan mengenai najis bayi, segera bawa si comel anda berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.