
Insiden yang menimpa pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah yang meninggal dunia baru-baru ini dikatakan dibuli di sekolahnya membuatkan ramai ibu ayah mula goyah.
Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, beliau mendakwa ramai ibu bapa di Sabah kini semakin gusar dan fobia untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama susulan insiden berkenaan.
Ramai gusar hantar anak sekolah asrama
Datuk Seri Bung Moktar yang membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat semalam, berkata kes-kes seperti itu membangkitkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa sehingga ada yang enggan lagi menghantar anak ke sekolah berasrama.
“Di Sabah, banyak ibu bapa sudah fobia mahu menghantar anak-anak ke sekolah berasrama ini, sebab mereka kata kami hantar anak kami untuk dibunuh.
“Mereka (pelajar) datang (ke sekolah) untuk mendapatkan ilmu pengajaran, tetapi anak mereka dibunuh, anak mereka dibuat macam-macam… ini tidak betul,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan baharu dalam menangani isu buli terutamanya di sekolah asrama, tanpa mengira jenis institusi sama ada sekolah kebangsaan, vokasional mahupun agama.
Terdahulu, pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, pada keesokan harinya.