
Seorang ibu yang baru bersalin meluahkan rasa risau apabila memikirkan hari untuk membawa bayinya pulang ke rumah. Bukan sebab rumah tak siap, tapi kerana satu perkara yang sangat dekat di hati dia sejak awal perkahwinan iaitu kucing-kucing kesayangannya.
Kucing-kucing itu sebelum ini sudah dianggap seperti anak sendiri dan kini bila sudah ada bayi, tiba-tiba timbul rasa takut yang mengganggu fikiran.
“Risaunya habis pantang nanti nak bawa bayi balik rumah. Rumah ada kucing. Takut sangat-sangat baby ada masalah kesihatan dengan kucing-kucing ini.”
Bila jadi ibu, memang macam tu. Semua benda nampak bahaya. Semua benda rasa boleh mengancam keselamatan anak.

Fakta Penting Tentang Bayi dan Kucing Yang Ramai Tak Tahu
Fakta penting yang ramai ibu bapa tak sedar ialah bayi yang terdedah kepada kucing dari awal mungkin mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami alahan.
Ada kajian menunjukkan bayi yang membesar dalam persekitaran yang ada haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing berkemungkinan kurang mengalami masalah seperti semput, asma, atau eczema apabila meningkat usia.
Ini berkait dengan konsep pendedahan awal yang membantu sistem imun bayi menyesuaikan diri dengan persekitaran.
Maksudnya, bukan semua pendedahan bayi dan kucing itu bahaya. Yang bahaya ialah apabila kebersihan dan langkah keselamatan diabaikan.
Adakah Bayi Sesuai Tinggal Serumah Dengan Kucing?
Jawapannya, tidak semestinya bahaya. Tetapi ibu bapa perlu tahu cara yang betul.
Setiap bayi berbeza. Ada yang lebih sensitif, ada juga yang langsung tiada masalah walaupun membesar dengan haiwan peliharaan sejak lahir.
Apa yang penting ialah ibu bapa faham risiko sebenar dan cara menguruskannya.

Risiko Yang Sering Dibimbangkan Bila Ada Kucing Dalam Rumah
1. Alergi Bulu dan Habuk
Kadang-kadang bukan bulu kucing itu sendiri yang menjadi punca, tetapi dander iaitu sel kulit mati dan habuk yang melekat pada bulu.
Antara tanda bayi mungkin sensitif termasuk:
– kerap bersin
– hidung berair
– mata merah atau gatal
– ruam kulit
– batuk tanpa sebab
2. Parasit Seperti Kutu dan Cacing
Kucing yang keluar masuk rumah atau tidak lengkap rawatan lebih berisiko membawa parasit.
Sebab itu penting untuk pastikan kucing:
– bebas kutu
– diberi ubat cacing mengikut jadual
– divaksin dan sihat
3. Toksoplasmosis
Isu toksoplasmosis lebih berisiko kepada ibu hamil, bukan bayi yang sudah lahir. Untuk bayi, fokus utama ialah kebersihan dan memastikan mereka tidak terdedah kepada najis kucing.

Langkah Praktikal Supaya Bayi dan Kucing Selamat Bersama
1. Grooming Sebelum Bayi Balik Rumah
Hantar kucing ke pusat grooming beberapa hari sebelum ibu bersalin atau sebelum bayi pulang ke rumah. Ini membantu mengurangkan bulu gugur dan memastikan kebersihan kucing terjaga.
2. Pastikan Kucing Sihat dan Lengkap Rawatan
Semak status ubat kutu, ubat cacing dan vaksin. Jika kucing menunjukkan tanda gatal melampau atau bulu gugur luar biasa, sebaiknya rujuk vet terlebih dahulu.
3. Elakkan Kucing Masuk Tempat Tidur Bayi
Walaupun kucing nampak manja, jangan benarkan kucing tidur di baby cot atau bantal bayi. Sistem pernafasan bayi masih lemah dan perlukan perlindungan.
4. Asingkan Litter Box Dari Ruang Bayi
Pastikan litter box sentiasa bersih, jauh dari bilik bayi dan gunakan pasir yang kurang berhabuk.
5. Biasakan Kucing Dengan Bau Bayi
Berikan kain atau selimut bayi kepada kucing untuk dihidu supaya kucing boleh menyesuaikan diri dengan kehadiran ahli keluarga baru.
6. Sentiasa Pantau Interaksi
Jangan biarkan bayi bersama kucing tanpa pengawasan orang dewasa walaupun kucing kelihatan pasif.
Ibu Tak Perlu Pilih Antara Bayi Atau Kucing
Dalam banyak keluarga, kucing adalah anak pertama sebelum hadirnya bayi. Perasaan serba salah itu normal.
Dengan penjagaan yang betul, bayi dan kucing boleh hidup bersama dengan selamat dan harmoni. Bila ibu tenang, bayi juga akan rasa lebih tenang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


