Orang kata kalau bersalin secara pembedahan caesarean susah nak jaga. Banyak sangat pantang larang yang kena ikut. Maklumlah perut sudah kena belah berlapis-lapis jadi proses penyembuhan mengambil masa yang lama berbanding bersalin normal yang tidak mengambil masa lama untuk sembuh.
Orang tua-tua juga sering berpesan supaya ibu yang bersalin secara pembedahan lebih ekstra penjagaan diri semasa berpantang. Dikatakan luka pembedahan mengambil masa yang lama untuk sembuh walaupun luka luaran kelihatan sudah sembuh.
Bermacam-macam tip dan petua yang dikongsi tentang penjagaan ibu bersalin caesarean. Tak salah untuk mencuba salah satu daripadanya. Mana tahu ia paling serasi dengan anda.
Ads
Pastikan tempat jahitan cepat kering terutama selepas mandi. Boleh guna pengering rambut untuk cepatkan ia kering.
Jaga pemakanan semasa berpantang. Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Amal makanan sunnah seperti madu, minyak zaitun, cuka kurma atau delima, badam, kurma. Luka cepat sembuh dan bahagian dalaman juga cantik.
Amalkan makan banyak sayur sawi dan minum jus oren sunkist untuk luka cepat sembuh.
Semasa pantang banyak makan sup ikan haruan.
Elakkan mengangkat objek berat dalam jangka masa yang lama.
Ads
Menurut doktor, amalan minum air gamat dan pati ikan haruan yang dipercayai oleh orang tua-tua boleh mempercepatkan luka hanya boleh diminum oleh ibu selepas tempoh sebulan dan ke atas lepas bersalin itu pun dalam kuantiti yang sederhana bagi mengelakkan sebarang risiko adhesion colic.
Ads
Adhesion colic ialah keadaan di mana usus-usus melekat antara satu sama lain akibat daripada pembedahan. Tidak terkecuali bahagian rahim yang melekat dengan organ-organ dalaman.
Kepada ibu-ibu yang sedang hamil dan dijangka melahirkan bayi secara pembedahan caesarean, bolehlah gunakan tip ini. Semoga luka bersalin anda cepat sembuh.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap kali melakukan kerja-kerja berat, mulalah rasa sakit belakang, rasa tidak selesa di bahagian bawah dan tubuh mula rasa tidak selesa. Hati-hati, jangan dibiarkan hal ini berterusan. Berkemungkinan anda mengalami masalah tombong, atau rahim jatuh.
Menurut Dr Erna Nadia, tombong atau rahim jatuh ini jika dibiarkan boleh membahayakan wanita. Sebaiknya cegah dan usahakan untuk pulih secepat yang mungkin.
Ini yang dikongsikan oleh beliau.
TOMBONG RAHIM JATUH
Ramai yang PM tanya pasal tombong. Maaf kalau saya tak reply sebab saya fikir baik saya buat satu artikel tentang tombong sebab ramai yang takut sangat. Asalnya saya tak faham apa itu tombong. Jadi, saya google.
Bila google tombong, yang keluar semua blog atau page dari penjual produk. Semuanya menggunakan ayat untuk menakut nakutkan wanita. Dan memang itu sahaja modal mereka untuk berniaga.
Buat cerita atau ayat, nanti orang mesti takut lepas tu mesti orang akan beli. Ok,jom kita ambil tahu apakah tombong.
Tombong atau bahasa lainnya adalah rahim jatuh. Dalam bahasa perubatan pula adalah uterine prolapse. Uterine prolapse ini terjadi apabila otot otot dan ligamen ligamen yang menyokong dan memegang rahim menjadi lemah. Apabila telah lemah, rahim akan terkeluar atau ‘jatuh ‘ dari kedudukan asalnya.
Lelaki juga boleh mengalami masalah ini. Tapi depa tak ada rahim, jadi ada bahagian lain yang akan terlibat. Masalah ini secara keseluruhannya kita sebut sebagai pelvic organ prolapse ( masalah jatuh bahagian pinggul).
Kenapa berlaku tombong kita dah tahu. Tapi siapa yang berisiko?
1. Wanita yang melahirkan anak.
Hal ini adalah normal kepada semua wanita terutamanya yang melahirkan secara normal kerana semasa proses kelahiran, banyak tenaga dan trauma telah berlaku di kawasan sekitar rahim. Ada juga yang mengalami masalah salah teran. Ada yang melahirkan anak yang besar secara normal.
2. Faktor usia
Semakin meningkat usia kita, otot dan ligamen kita menjadi sedikit lemah jika kita tak lakukan senaman dan tak kawal pemakanan. Ingat, masa adalah otot.
Selepas menopos, hormon estrogen di dalam badan kita berkurang menyebabkan rahim kita juga sedikit lemah.
3. Obesiti dan lebih berat badan
Sebab tu elok kekalkan berat badan kita dalam lingkungan normal.
BMI yang normal adalah 18-24
Cara kita BMI adalah berat(dalam kg) bahagi dengan (tinggixtinggi) ,tinggi dalam meter.
Contoh : 50 kg / (1.6×1.6) = 19.53 ( normal)
Jika BMI 25-29 : lebih berat badan
BMI lebih dari 30 adalah obesiti.
Hati hati dengan obesiti, kerana banyak penyakit yang boleh diundang tanpa dijemput.
4. Batuk berpanjangan
Sebab itu jika batuk, dapatkan rawatan yang betul. Jangan malas ke klinik.
5. Sembelit
Masalah tombong meningkat risikonya bila kita selalu meneran sewaktu membuang air besar. Kerana kita paksa otot dan ligamen di kawasan pinggul untuk kerja lebih dari biasa dan menggunakan tenaga yang banyak. Lama lama otot dan ligamen kat situ jadi haus.
6. Selalu mengangkat barang yang berat
Bila kita angkat barang berat, bahagian pinggul kita akan kerja lebih. Ditambah pula jika posisi dan cara angkat barang kita tak betul.
7. Merokok
Jangan ingat lelaki sahaja merokok. Perempuan pun ada. Merokok, vape, shisha sama sahaja. Semuanya membawa peluang untuk batuk.
8. Pernah ada sejarah pembedahan di kawasan pinggul.
9. Masalah genetik yang menyebabkan fungsi connective tissue ( tisu penghubung) menjadi lemah.
Adakah tombong merbahaya?
Ya jika tidak dikawal dari awal.
Bagaimana hendak kekalkan otot dan ligamen jadi kuat?
1. Senamam Kegel
Paling senang dilakukan oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja dan pada bila bila masa. Kemutkan bahagian dalam rahim ( seperti nak menahan kencing), buat dalam 5 saat, 3 kali setiap sesi, dan 10 kali setiap hari atau selang sehari.
Sambil tengok tv ke fb ke kat office ke pun boleh buat.Jangan buat time kencing atau tengah angkat berat ya.
2. Amalkan gaya hidup sihat.
3. Pastikan berat badan anda normal
4. Berhenti merokok
5. Dapatkan rawatan yang betul sewaktu mengandung. Jangan terpedaya untuk lakukan home birth. Kalau bayi anda besar, macam mana? Fikir masa depan.
Bagaimana doktor nak diagnos penyakit ini?
Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal yang sewajarnya untuk anda. Jangan risau, jika anda masih dara, doktor tak lakukan vaginal examination pun. Dan anak dara muda tak ada masalah ini biasanya.
Selain itu, doktor boleh lakukan ultrasound atau MRI juga.
Apakah simptom simptom untuk tombong?
1. Sakit ari ari
2. Sakit atau tak selesa sewaktu hubungan kelamin
3. Terasa seperti duduk di atas bola atau ada sesuatu yang terkeluar dari vagina
4. Sukar mengawal kencing
5. Kencing tidak lawas
6. Tidak dapat menahan kencing dalam jangka masa lama
7. Selalu sembelit
8. Pendarahan vagina ( bukan semasa haid)
9. Pendarahan sewaktu hubungan kelamin
10. Keputihan melampau atau lain dari biasa
11. Sakit bahagian pinggul atau belakang ( bawah)
Jika ada simptom seperti di atas dan anda ada risiko seperti yang saya sebut di atas, berjumpalah doktor. Jangan beli jamu atau produk untuk masalah ini.
Tidak ada jamu atau produk yang boleh kuatkan otot dan ligamen. Fikir logik, masukkan sesuatu dalam rahim, bagaimana ia berfungsi untum ketatkan otot?
Makan jamu atau produk, bagaimana ia boleh ketatkan otot? Otot bersifat elastik. Ianya boleh kembali ke bentuk asal dengan senaman yang betul. Logik logik logik. Hidup bukan magik.
Jadi, apakah rawatan untuk tombong?
1. Jika di tahap 1&2, amalkanlah senaman Kegel setiap hari. Kawal pemakanan. Insha Allah ianya boleh sembuh.
2. Jika di tahap 3&4, biasanya akan diberi vaginal pessary untuk menyokong rahim dari terjatuh atau perlukan pembedahan.
Saya senaraikan tahap tahap tombong di dalam gambar di bawah. Untuk penjual dan penyebar mitos, berhenti menakutkan wanita wanita. Berhenti burukkan lagi kesihatan mereka dengan ilmu yang tidak sahih.
Betulkah ada bidan yang boleh naikkkan rahim?
Guna akal yang waras. Bagaimana bidan boleh tolak rahim anda dari luar atau urut dari luar? Bahagian rahim dan faraj semuanya adalah otot, kalau urut otot, kesan selesanya cuma sementara.
Ingat,
– Jaga pemakanan
– Amalkan senaman Kegel
– Rawat masalah sembelit dan batuk
– Jangan angkat benda yang berat berat
– Jangan masukkan sesuatu ke dalam vagina tanpa nasihat doktor
Insha Allah, anda akan sihat sahaja. Betullah badan nak pakai lama. Sebab tu kena jaga dari usia muda. Bagaimana nak jaga? Pelihara yang asas dahulu dan kekalkan hidup sihat sampai bila bila.
Susah nak kawal makan dan amalkan senaman? Malas itulah penghubung antara permulaan dan kekalahan.
Nota kaki : Hidup bukan fantasi atau magika. Kalau kita malas, bukan rahim saja jatuh, kesihatan pun merudum. Ingat, jangan menyerah sebelum keringat dikerah.
Paracetamol adalah ubat yang dapat menurunkan suhu badan ketika demam dengan selamat. Ia boleh diambil oleh kanak-kanak, orang dewasa, ibu yang hamil dan ibu yang menyusukan anak, mengikut dos yang diberikan.
BOLEHKAH SAYA MENGAMBIL PARACETAMOL SEMASA MENYUSUKAN ANAK?
“Adakah ibu demam yang menyusu anak mengambil paracetamol untuk redakan demam? Berapa biji yang selamat diambil ya doktor. Mohon pencerahan doktor sebab penerangan sebelum ini tidak cukup meyakinkan?”
Nasihat saya adalah ambil paracetamol bila perlu, mengikut dos yang ditetapkan dan untuk jangka masa yang pendek saja. Dos yang biasa diberikan untuk orang dewasa sama ada hamil, menyusukan anak atau tidak ialah satu atau dua biji tablet 500mg, setiap 4-6 jam.
Dos maksima yang dibenarkan untuk orang dewasa adalah 8 biji tablet 500mg (jadi jumlah dos 6 g) dalam 24 jam. Dos yang berlebihan memberikan kesan buruk pada hati dan ginjal.
Walau bagaimana pun sedikit dos yang diambil oleh ibu yang menyusukan anak akan masuk ke dalam air susu ibu, tetapi masih dalam kuantiti yang selamat.
Walau bagaimana pun, saya menasihatkan agar lebih berhati jika:
1. bayi lahir secara pramatang 2. bayi lahir tidak cukup berat (kurang 2.5kg) 3. bayi lahir dengan masalah kesihatan yang serius 4. Mengambil paracetamol bersama ubat lain kerana gabungan ubat-ubatan ini masuk ke dalam susu ibu dan memberikan kesan pada bayi yang menyusu.
Boleh rujuk pada doctor atau farmasis bagi mengetahui dos yang lebih tepat, jika ada masalah kesihatan yang menghalang pengambilan ubat.
Camping | Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara (Promo Ep.11) 9 Ogos
Sekali sekala bawa anak pergi camping, dedahkan mereka dengan dunia kehijauan pun menarik juga kan? Bukan je boleh jadikan mereka aktif, macam-macam skill juga mereka boleh pelajari!
Saksikan topik “Camping” dalam Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, Rabu ini, 9 Ogos, jam 9 malam di Astro Ria saluran 104.
#PaMaJourneyBersamaSchAwaLara #AstroRia
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kita dah mula berpuasa hari ini. Berpuasa bukan sahaja dapat menjana keperibadian seseorang, malah amalan tersebut banyak memberi kebaikkan dari sudut kesihatan seseorang. Puasa adalah satu rukun islam yang menjadi kewajipan oleh setiap muslim namun, ada beberapa golongan yang telah diberi keringanan oleh agama untuk tidak berpuasa.
Salah satu golongan yang dikecualikan berpuasa adalah wanita hamil. Ini adalah kerana fasa kehamilan ialah fasa yang mana terlalu banyak perubahan pada fisiologi badan sesorang itu seperti contoh hormon, paras gula, tekanan darah dan sebagainya. Perubahan ini sedikit sebanyak memberi kesan pada si ibu dan bayi yang sedang dikandung.
Oleh itu, Pn. Laila Fadhilah Omar yang merupakan Pegawai Dietetik di SALAM Shah Alam Specialist Hospital kongsikan beberapa tip pemakanan untuk wanita hamil yang berhajat untuk berpuasa pada tahun ini:
Perkara pertama yang perlu diambil berat adalah keadaan kesihatan si ibu. Rujuk kepada pakar yang merawat tentang status kesihatan si ibu terutamanya paras gula. Ini adalah kerana semasa tempoh kehamilan, si ibu sangat berisiko untuk mempunyai paras gula yang tidak stabil dan boleh didiagnos penyakit kencing manis semasa hamil.
Kena Pantau Paras Gula
Kencing manis semasa hamil sangat berkait rapat dengan pengambilan pemakanan yang betul dan tersusun. Mereka juga hendaklah sentiasa memantau paras gula dalam bacaan yang stabil. Jika penghidap kencing manis semasa hamil yang mempunyai paras gula yang tidak stabil dan berkeras untuk berpuasa, dikuatiri akan memberi kesan buruk untuk si ibu dan bayi.
Wanita hamil yang ingin berpuasa dinasihatkan untuk tidak meninggalkan sahur. Selain dari hadis nabi yang menggalakkan untuk melewatkan sahur, wanita hamil juga digalakkan untuk mengambil pemakanan yang sihat dan seimbang ketika sahur.
Amalkan Suku-Suku Separuh
Sentiasa mengamalkan amalan pinggan suku-suku separuh yang mana porsi suku dari pinggan adalah makanan dari sumber karbohidrat seperti nasi, mee, bihun dan sebagainya, suku adalah lauk dari sumber protein seperti ayam, ikan dan telur manakala separuh pinggan adalah makanan dari sumber serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
Selain itu, makanan tambahan (supplemen) yang dibekalkan oleh doktor juga mesti diambil bagi penambahan nutrisi dalam badan. Mengamalkan pemakanan seimbang ini boleh membantu memberi tenaga yang cukup selain membekalkan nutrisi yang diperlukan untuk si ibu dan bayi sepanjang berpuasa.
Berbuka Dengan Buah Terlebih Dulu
Selain dari bersahur, wanita hamil juga perlu cakna tentang pengambilan pemakanan semasa berbuka. Antara tips semasa berbuka adalah tidak melewatkan berbuka dan berbuka dengan buah-buahan terlebih dahulu seperti mengambil 3 biji kurma, 1 biji buah epal, 1 potong betik atau buah-buah lain mengikut porsi yang ditetapkan.
Buah-buahan mengandungi karbohidrat ringkas yang mana boleh memberi tenaga secara cepat setelah seharian tenaga dibakar semasa berpuasa. Pengambilan kuih-muih adalah tidak digalakkan kerana bimbang dengan kandungan gula dalam kuih tersebut boleh menyebabkan paras gula naik dengan cepat dan mendadak. Selain itu, kenaikan berat badan yang tidak terkawal ketika hamil juga boleh terjadi jika pemakanan ketika hamil diambil ringan.
Digalakkan juga untuk mengambil makanan berat seperti nasi dan lauk-lauk selepas solat maghrib. Sekurang-kurangnya tidaklah terlalu banyak makanan yang dimakan dalam satu masa kerana rahim yang semakin membesar akan menolak perut ibu dan akan menyebabkan ibu merasa pedih ulu dan berpotensi memuntahkan semula makanan yang dimakan. Amalan pinggan suku-suku separuh juga jangan dilupakan.
Risau Puasa & Kena Pedih Ulu Hati
Menyentuh mengenai pedih ulu hati, kebanyakan ibu hamil berisiko mengalami gejala ini terutamanya sewaktu trimester ketiga. Jika serangan ini berlaku ketika berpuasa dan menyebabkan si ibu muntah, lemah dan sebagainya, dinasihatkan untuk berbuka puasa sebelum kesan itu memudaratkan diri. Untuk mengelakkan serangan ini berterusan, wanita hamil dinasihatkan untuk mengelakkan mengambil makanan yang terlalu pedas.
Ini adalah kerana makanan terlalu pedas adalah antara faktor yang menyebabkan pedih ulu hati. Selain dari makanan pedas, kafein juga perlu dihadkan kerana kafein adalah bersifat asid dan boleh memburukkan lagi pedih ulu hati yang dialami. Saranan pengambilan kafein semasa hamil adalah 200mg sehari.
Secara keseluruhnya, tidak dinafikan bahawa puasa Ramadhan mempunyai banyak kebaikan untuk semua muslim namun Allah tidak akan memberi bebanan luar dari kemampuan hamba-Nya.
Oleh itu, wanita hamil tidak perlu memaksa diri untuk berpuasa jika merasakan kebimbangan pada diri dan bayi. Sila dapatkan nasihat dari pakar terlebih dahulu sekiranya ingin berpuasa. Sama ada berpuasa atau tidak berpuasa, wanita hamil tetap perlu sentiasa mengambil berat tentang kesihatan diri dan kandungan.
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...