
Tiada siapa menyangka demam yang disangka ringan akhirnya meragut nyawa seorang kanak-kanak. Menurut laporan Sinar Harian, seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mas, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dilaporkan meninggal dunia awal pagi Rabu selepas dipercayai akibat jangkitan influenza di Terengganu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Mangsa, Muhammad Amsyar Farhan Mohd Noor, anak bongsu daripada dua beradik, disahkan meninggal dunia pada jam 1.40 pagi di Klinik Kesihatan Al-Muktafi Billah Shah (AMBS).
Menurut ibunya, Normala Mohd Nor, 42, anaknya mula menunjukkan tanda tidak sihat pada pagi Selasa, namun tidak menyangka keadaan akan menjadi seteruk itu.
“PAGI SELASA LALU ANAK SAYA DEMAM TAPI SUHU BADANNYA TIDAK TERLALU TINGGI. SAYA BAWA KE KLINIK SWASTA DI PAKA KIRA-KIRA JAM 12.30 TENGAH HARI,” katanya sebak.
“DOKTOR BUAT UJIAN SWAB DAN BERITAHU DIA DIJANGKITI INFLUENZA SEBELUM BERI UBAT ANTIVIRAL.”
Namun, keadaan Amsyar mula merosot menjelang malam. Walaupun masih boleh bercakap seperti biasa, ibunya perasan ada perubahan pelik pada anak kecilnya itu.
“Malam tu dia muntah banyak kali tapi masih boleh makan. Lepas muntah kali ketiga, badannya tiba-tiba kejang dan saya terus bawa ke Klinik Kesihatan AMBS sekitar jam 11 malam.
“Masa tu suhu badannya tidak begitu panas dan dia masih boleh bercakap seperti biasa dengan ayahnya. Tapi, sekitar jam 1.40 pagi, doktor maklumkan anak saya sudah meninggal dunia,” katanya sebak.
Normala berkata, anaknya sebelum ini tidak pernah menghidap sebarang penyakit kronik dan merupakan anak yang ceria serta aktif di sekolah. Katanya lagi, keluarga mereka kini hanya menunggu hasil siasatan lanjut daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung punca sebenar kematian.
“Jenazah pada awalnya dijangka dikebumikan jam 10 pagi, tapi ditangguhkan sebab kena rujuk kepada KKM untuk bedah siasat. Sekarang saya hanya tunggu untuk kebumikan selepas Maghrib di Tanah Perkuburan Islam AMBS,” katanya.
Kes kematian ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa di Terengganu, selepas beberapa laporan jangkitan influenza di Terengganu meningkat sejak kebelakangan ini.
Rata-rata ibu ayah di media sosial turut meluahkan rasa takut dan risau, terutama apabila simptom awal influenza sering disangka cuma “demam biasa”.
Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Pn. Farah menulis,
“ANAK SAYA PUN BARU BAIK DARI INFLUENZA. MUJUR CEPAT BAWA KE KLINIK. KENA HATI-HATI, JANGAN AMBIL RINGAN BILA ANAK DEMAM LAMA DAN TAK AKTIF.”
Sinar Harian difahamkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) masih mendapatkan pengesahan lanjut berhubung kes berkenaan.
Dalam pada itu, masyarakat disaran untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya anak menunjukkan tanda seperti demam berpanjangan, batuk, selesema teruk, muntah atau kejang. Kes tragis ini menjadi peringatan besar buat semua ibu ayah — bahawa “demam biasa” kadang-kadang bukanlah biasa.
Kesedaran mengenai influenza di Terengganu perlu dipertingkat supaya ibu bapa lebih peka terhadap gejala awal dan tidak menunggu lama sebelum mendapatkan rawatan perubatan.
Sumber: Sinar Harian