Ibu adalah individu penting yang banyak mempengaruhi cara didikan anak-anak membesar. Kebanyakan anak lebih rapat dengan ibu berbanding ayah.

Bukan bermaksud ayah tiada peranan dalam mendidik anak tetapi sikap semulajadi ibu yang lebih prihatin, penyayang dan lemah lembut membuatkan anak lebih cepat mendengar kata jika ibu yang menasihatkan.

Jadi ibu-ibu perlu ada sisi garang yang mempengaruhi cara didikan anak supaya menjadi orang. Selain suka memanjakan anak, ibu kena bersikap tegas supaya anak tak naik lemak dan pijak kepala ibu.

Ibu Garang Pun Anak Tetap Manja Dengannya. Kena Tegas Baru Anak Jadi Orang

1) Kena sentiasa ingatkan anak untuk solat

Biarlah berbuih mulut ibu hari-hari bebelkan anak suruh solat kerana ingatan tersebut akhirnya akan menjadikan anak orang yang tidak meninggalkan solat. Mungkin pada awalnya dia bersolat kerana takut ibu marahkannya tapi bila sudah semakin matang, dia tahu itu tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.

2) Jaga adab

Kalau tengok anak orang yang beradab, kita mesti cakap ‘pandai mak ayah dia ajar’, jadi penting bagi ibu untuk sentiasa berpesan kepada anak bagaimana menjadi manusia yang beradab dan berakhlak mulia.

IKLAN

3) Kawal anak dari tengok TV dan gajet

Ibu yang tegas dan sayangkan anak pasti tidak akan membenarkan anaknya menonton TV dan melihat gajet melampaui batas. Biarlah orang kata kita ibu yang garang dan tak kasihan pada anak tapi sebenarnya itulah ibu yang mahu anaknya tidak rosak dan menjadi orang!

4) Paksa anak tidur awal

Disiplin kena diajar supaya anak tak mudah buat perangai. Antara disiplin yang perlu dibiasakan pada anak iaitu kena tidur awal. Kadang kala ibu kena paksa anak untuk tidur awal. Tujuannya sudah tentu tak mahu anak kurang tidur dan akhirnya ganggu kesihatan tumbesarannya.

IKLAN

5) Jangan beri anak jajan setiap hari

Mungkin bagi sesetengah orang, ibu yang mengawal anak makan jajan kelihatan tak sporting tapi hakikatnya dia adalah ibu yang penyayang dan prihatin pada kesihatan anaknya untuk jangka masa panjang.

6) Beri mereka jam

Ajar anak menghargai masa dan menepati masa. Ia boleh dilakukan dengan cara memberi mereka sebuah jam. Orang yang berjaya adalah orang yang tidak suka membuang masa dan selalu menepati masa.

IKLAN

Ibu Garang Pun Anak Tetap Manja Dengannya. Kena Tegas Baru Anak Jadi Orang

7) Jangan selalu belikan barang terbaru dan terbaik

Jangan manjakan anak dengan selalu membelikannya barangan terbaru dan terbaik. Memang kita sayangkan anak tapi sikap tersebut hanya akan membuatkan anak tidak menghargainya.

8) Mengaku salah bila buat silap

Jangan sekali-kali manjakan anak dengan cara melindungi kesalahan yang dia lakukan. Ajar anak untuk berani mengaku salah bila buat silap serta sedia terima hukuman atas kesilapan tersebut.

Ibu adalah orang yang paling rapat dengan anak. Biarkan mereka menjadikan ibu sebagai orang pertama yang menjadi rujukan dan tempat anak mengadu masalah dan berkongsi kegembiraan. Mainkan peranan penting dalam mendidik anak menjadi insan yang berakhlak dan berjaya di dunia dan akhirat.

Sumber: Tvceramah.com

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI