
Setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik buat anak sejak hari pertama kelahiran. Selain menyediakan keperluan fizikal seperti susu, pakaian dan tempat tidur yang selesa, ada juga amalan sunnah yang boleh dilakukan sebagai tanda syukur atas kehadiran cahaya mata.
Antara amalan yang sering dilakukan ialah mencukur rambut bayi, namun ramai ibu bapa muda mungkin tidak tahu bahawa selepas proses tersebut, ada satu lagi amalan yang boleh diteruskan iaitu sedekah rambut bayi mengikut nilai berat rambut yang telah dicukur.
Seorang ibu, Natasha Azam, berkongsi pengalaman menjalankan amalan ini pada hari ke-14 kelahiran anaknya. Perkongsiannya bukan sahaja memberi ilmu baharu kepada ramai ibu bapa, malah membuka mata tentang cara mudah mendidik keluarga dengan nilai memberi sejak awal kelahiran anak.
Menurut Natasha, selepas rambut anaknya dicukur, dia terus menimbang rambut tersebut untuk mengira anggaran nilai yang boleh disedekahkan kepada golongan memerlukan.
Menerusi perkongsian Natasha, dia membawa anaknya, Alayya untuk menjalani proses mencukur rambut pada hari ke-14 selepas kelahiran, satu amalan yang sering dilakukan oleh ibu bapa Muslim.
Namun, apa yang menarik perhatian ramai ialah langkah seterusnya selepas rambut bayi selesai dicukur.
“Hari ke-14 haritu mommy bawa Alayya cukur rambut, lepas cukur terus ke kedai dan timbang berat rambut. Selesai timbang baru tahu harga untuk disedekahkan,” kongsinya.
Melalui kaedah itu, rambut yang telah dicukur akan ditimbang terlebih dahulu sebelum ibu bapa menganggarkan nilainya berdasarkan harga semasa emas atau perak, kemudian jumlah tersebut disedekahkan dalam bentuk wang.
Amalan sedekah rambut bayi ini sebenarnya memberi peluang kepada ibu bapa untuk berkongsi rezeki sempena kelahiran anak, selain menjadikan momen tersebut lebih bermakna dan penuh keberkatan.
Secara umum, berat rambut bayi yang telah dicukur akan ditimbang menggunakan penimbang sensitif. Kemudian, ibu bapa boleh merujuk harga semasa emas atau perak sebagai panduan untuk menentukan nilai sedekah.
Walaupun jumlahnya mungkin kecil, niat dan keikhlasan dalam melakukan sedekah rambut bayi itulah yang menjadi keutamaan.
Natasha turut berkongsi bahawa wang sedekah tersebut boleh diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti:
Walaupun nilainya mungkin tidak terlalu besar, amalan ini membawa simbolik yang cukup indah iaitu tanda kesyukuran ibu bapa atas anugerah zuriat.
Perkongsian Natasha menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen, terutamanya ibu bapa muda yang mengakui baru mengetahui tentang amalan tersebut.
Ada yang menyifatkan cara ini lebih praktikal dan mudah dilakukan kerana ibu bapa hanya perlu menimbang rambut bayi, mengetahui anggaran nilainya dan terus menyalurkan sedekah kepada penerima yang sesuai.
Malah, ada juga yang mula merancang untuk mengamalkan sedekah rambut bayi ini bagi kelahiran anak mereka yang seterusnya.
Secara tidak langsung, ia turut mengingatkan ibu bapa bahawa membesarkan anak bukan sekadar memenuhi keperluan duniawi, tetapi juga menerapkan elemen keberkatan dan amalan baik sejak awal kehidupan mereka.
Amalan kecil seperti ini mungkin nampak sederhana, namun besar nilainya dari sudut didikan keluarga. Ia bukan sahaja menghidupkan sunnah, malah mengajar erti syukur, berkongsi rezeki dan mendidik anak dalam suasana penuh kasih sayang serta keberkatan sejak lahir.
Dengan memahami dan mengamalkan sedekah rambut bayi, ibu bapa bukan sahaja mengikuti sunnah, tetapi turut membina asas nilai murni dalam institusi keluarga yang akan memberi kesan jangka panjang kepada anak-anak.
Sumber: Threads Natasha Azam