
Memang ibu luar biasa! Demi memastikan kedua anaknya dapat merasai nikmat beraya serta kasih kepada kedua orang tua di kampung, seorang ibu sanggup meredah perjalanan sejauh hampir 140km dengan hanya menaiki motosikal.
Ibu yang hanya dikenali sebagai Nadhira, 40, memulakan perjalanan dari Hulu Langat, Selangor ke Teluk Intan, Perak dengan menaiki motosikal jenis Honda Vario 125. Kisah ibu naik motosikal balik kampung ini nyata menyentuh hati ramai kerana pengorbanan yang dilakukan bukanlah sesuatu yang mudah.

Keputusan Terbaik Atas Sebab Faktor Kewangan
Menurut Nadhira, keputusan menggunakan motosikal bukanlah pilihan terbaik buat dirinya memandangkan dia mempunyai anak yang masih kecil. Namun faktor kewangan serta kemudahan untuk bergerak membuatkan dia tekad.
Katanya, kos menaiki pengangkutan awam iaitu bas untuk tiga orang boleh mencecah RM150 hingga RM170 termasuk perbelanjaan tambahan, berbanding kurang daripada RM50 jika menggunakan motosikal.
“Dengan motosikal, saya boleh jimat banyak dan lebih mudah untuk bergerak terutama ke kawasan kampung yang agak pedalaman,” jelasnya.
Utamakan Keselamatan Anak
Pun begitu kata ibu cekal ini dia amat menitik beratkan keselamatan dua anaknya. Sepanjang perjalanan, Nadhira akan memastikan anak-anaknya sentiasa dalam keadaan selesa dengan berhenti berehat serta berinteraksi agar mereka tidak keletihan atau tertekan.
“Keselamatan anak-anak paling utama. Selain itu, mental dan fizikal juga perlu kuat kerana perjalanan jauh perlukan fokus yang tinggi,” katanya lagi.
Bagi memastikan perjalanan berjalan lancar, Nadhira biasanya menyediakan bekalan makanan dari rumah serta membawa minuman untuk anak-anak. Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah memastikan anak-anak sentiasa mendapat makanan yang sesuai sepanjang perjalanan.

Cabaran Sepanjang Perjalanan
Perjalanan sejauh itu biasanya mengambil masa antara empat setengah hingga tujuh jam bergantung kepada keadaan trafik dan kekerapan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).
Antara yang paling mencabar katanya ialah keadaan cuaca yang tidak menentu, terutama apabila hujan turun ketika berada di lebuh raya tanpa tempat berteduh. Situasi seperti ini memerlukan tahap kesabaran dan kewaspadaan yang tinggi, lebih-lebih lagi apabila membawa anak kecil bersama.
Pengalaman Mencemaskan Jadi Pengajaran
Malah, Nadhira pernah melalui pengalaman mencemaskan apabila motosikalnya rosak di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) tahun lalu.
“Saya pernah menangis di tepi jalan sebab buntu dan duit pun tak banyak masa itu. Tapi pengalaman itu banyak mengajar saya untuk lebih bersedia tahun ini,” kongsinya.
Pengalaman tersebut menjadikan Nadhira lebih berhati-hati dan membuat persediaan rapi sebelum memulakan perjalanan jauh. Dia kini memastikan motosikal berada dalam keadaan baik, membawa sedikit wang kecemasan serta merancang perjalanan dengan lebih teliti.
Pengorbanan Seorang Ibu Yang Menginspirasikan
Kisah ibu naik motosikal balik kampung ini jelas menunjukkan betapa besarnya pengorbanan seorang ibu demi kebahagiaan anak-anak. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Nadhira tetap kuat dan tabah demi memastikan anak-anaknya dapat merasai suasana beraya di kampung.
Pengalaman ini juga menjadi inspirasi kepada ramai ibu bapa lain bahawa kasih sayang tidak mengenal penat lelah. Apa yang penting adalah usaha dan keikhlasan dalam memberikan yang terbaik untuk keluarga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





