
Hati mana yang tak luluh bila insan kecil yang baru belajar mengenal dunia, pergi dalam sekelip mata. Kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun 9 bulan maut selepas dihempap tiang pagar konkrit rumah sewa keluarganya di Taman Bukti Kristal, Seremban.
Menerusi laporan Sinar Harian, ketika kejadian, si kecil sedang bermain riang bersama kakaknya seperti hari-hari biasa. Tapi siapa sangka, tiang pagar yang longgar itu tumbang lalu menghempap tubuh kecilnya.
Ibu panik, segera bergegas ke hospital. Namun, segalanya sudah terlambat. Doktor mengesahkan anak syurganya pergi buat selamanya pada jam 9.14 malam (4 Oktober)
Mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.14 malam ketika di zon kecemasan Hospital Tuanku Jaafar(HTJ)di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, pihaknya menerima maklumat kejadian itu berlaku jam 7.15 malam.
“Mangsa dikatakan bermain dengan kakaknya sebelum tiang pagar yang tidak kukuh itu tumbang lalu menghempap mangsa.
“Ibu mangsa segera membawa mangsa ke HTJ, namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.14 malam,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, bedah siasat dijalankan di Hospital Rembau mendapati punca kematian adalah kecederaan kepala akibat hentakan objek berat dan tiada kecederaan lain yang dikesan.
Bayangkan perasaan seorang ibu yang hanya mampu mendakap tubuh kaku anak yang baru beberapa jam tadi ketawa bermain.
Sebagai ibu ayah, kisah ini jadi peringatan besar buat kita semua keselamatan di rumah bukan perkara kecil.
Kadang kita rasa rumah tempat paling selamat, tapi tanpa sedar ada risiko yang kita terlepas pandang pagar, almari, tangga, wayar, perabot yang tak dipasang kemas.
Sayangnya, bila benda macam ni berlaku, yang tinggal cuma rasa kalau lah. Marilah sama-sama kita lebih peka. Pastikan setiap struktur di rumah terutama yang berat dan boleh tumbang benar-benar kukuh. Nyawa anak-anak terlalu berharga untuk dipertaruhkan.
Sumber: Sinar Harian