Dalam Negara

Ibu Tunggal Tekad Tinggal Dalam Kereta Demi Anak-Anak, Tak Sanggup Berpisah!

Share

Pengakuan seorang ibu tunggal yang tinggal di dalam kereta bersama dua anaknya yang berusia dua tahun dan 11 tahun menyentuh hati ramai pihak.

Menurut Nur Syuhada Naquiyyah, 33, sebelum ini dia tinggal bersama keluarganya. Bagaimanapun, dia membuat keputusan untuk keluar dari rumah tersebut atas pilihan sendiri dan bukannya dihalau.

Dia hanya membawa pakaian, dokumen penting anak-anak, barangan mandian serta wang simpanan sebanyak RM500 sebagai bekalan untuk memulakan kehidupan baharu.

Jadikan Kereta Sebagai Tempat Berteduh

Sejak meninggalkan rumah keluarganya, ruang kecil dalam kereta Perodua Viva miliknya menjadi tempat berteduh daripada hujan dan panas selain dijadikan lokasi berehat setiap malam bersama dua anaknya.

“Tak pernah terlintas di fikiran saya akan sampai ke tahap ini. Namun, sebagai ibu, saya akan usaha bawa anak keluar daripada kesusahan ini,” katanya.

Walaupun keadaan amat mencabar, beliau tetap berusaha memastikan anak-anak sentiasa berada di sisinya dan tidak terpisah walau dalam apa juga keadaan.

Kehilangan Pekerjaan Tetap Menambah Cabaran

Nur Syuhada Naquiyyah sebelum ini bertugas sebagai pembantu pembedahan pergigian di sebuah klinik kesihatan sebelum mengambil keputusan berhenti pada Julai 2024.

Kini beliau tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya memperoleh pendapatan melalui upah menyunting video bagi menampung keperluan harian.

“Memang sukar dan memenatkan tidur di dalam kereta, malah anak pun mengadu tak selesa kerana sakit badan.

“Tapi saya tak boleh tinggalkan mereka jadi kena bawa bersama. Anak ikut saja walaupun tak faham apa sebenarnya yang berlaku. Saya juga tiada perancangan dan tak tahu nak ke mana,” katanya.

Berjimat Demi Kelangsungan Hidup

Menurut Nur Syuhada Naquiyyah, wang simpanan yang ada digunakan sebaik mungkin untuk membeli makanan dan minuman.

“Buat masa ini, saya bertahan dengan wang yang ada untuk makan dan minum. Tapi dalam keadaan begini, saya hanya bawa anak makan apabila benar-benar lapar.

“Kami bersihkan diri di tandas stesen minyak atau tandas awam di kawasan pantai kerana bukan semua tempat dibenarkan untuk mandi.

“Pada sebelah malam, saya akan cari tempat selamat untuk parkir kereta, kebiasaannya kawasan tidak ramai orang dan dekat dengan sekolah.

“Ia kerana anak masih bersekolah dan saya tak nak dia ketinggalan dalam pelajaran hanya sebab kami tiada tempat tinggal,” katanya.

Demi Masa Depan Anak-Anak

Sejak hari pertama kehilangan tempat tinggal, Nur Syuhada Naquiyyah dan dua anaknya hanya tidur di dalam kereta. Namun, kelmarin mereka berpeluang bermalam di sebuah hotel bajet hasil bantuan daripada salah seorang sepupunya.

Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, beliau tidak pernah berputus asa. Pun begitu, ibu cekal ini sedang berusaha mengumpulkan wang bagi membolehkan beliau menyewa sebuah rumah agar dua anaknya dapat membesar dalam persekitaran yang lebih selesa dan selamat.

Baca lagi: MamaKerja 2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Harian Metro

Published by
SRM