Influenza: Kes Kanak-Kanak Meningkat Di Hospital, Ini Pesanan Penting Pegawai Farmasi

Share

Sejak beberapa hari lalu, suasana di Jabatan Kecemasan (ED) hospital awam di seluruh negara dilaporkan penuh sesak — bukan dengan pesakit biasa, tetapi kanak-kanak kecil yang diserang influenza. Ramai ibu bapa datang dalam keadaan cemas, risau melihat anak mereka demam tinggi, batuk dan tidak bermaya.

Menurut laporan Sinar Harian, dalam situasi yang semakin membimbangkan ini, seorang pegawai farmasi hospital awam, Fatin Nasuha Azizi, berkongsi pengalaman sebenar yang membuka mata ramai. Melalui video yang dimuat naik di TikTok, beliau menggambarkan betapa kritikalnya keadaan di jabatan kecemasan ketika ini.

Pegawai farmasi di sebuah hospital awam, Fatin Nasuha berkata, lonjakan kes yang mendadak memaksa pihak farmasi hospital menambah stok ubat antivirus Tamiflu secara besar-besaran.

“Hari ini kami ‘top up’ Tamiflu banyak sangat. Semua pesakit datang bawa anak ke ED. Hampir semua kena influenza,” katanya.

Menurut Fatin, peningkatan mendadak kes influenza membuatkan pihak farmasi terpaksa menambah stok ubat antivirus Tamiflu dalam jumlah besar untuk memastikan semua pesakit mendapat rawatan. Katanya, setiap hari semakin ramai ibu bapa hadir bersama anak yang menunjukkan simptom sama — demam, batuk, selesema, dan hilang selera makan.

Influenza Bukan Selsema Biasa

Ramai menganggap influenza sekadar “selesema kuat”, tetapi menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit ini sebenarnya boleh membawa komplikasi serius seperti radang paru-paru, sawan dan dalam kes tertentu, kematian — terutamanya bagi kanak-kanak kecil, warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Virus ini juga sangat mudah menular melalui titisan pernafasan apabila seseorang yang dijangkiti bersin atau batuk. Tempat awam seperti sekolah, pusat beli-belah dan pengangkutan awam menjadi lokasi berisiko tinggi untuk jangkitan berlaku dengan cepat. Inilah sebabnya kes influenza

meningkat mendadak di Malaysia ketika ini.
Gambar Hiasan

Langkah Pencegahan Influenza: Lindungi Anak Sebelum Terlambat

Fatin Nasuha menegaskan bahawa langkah pencegahan adalah kunci utama untuk membendung penularan virus ini. Antara saranannya:

  • Pakai pelitup muka di tempat awam.
  • Kerap mencuci tangan dengan sabun atau bahan pembasmi kuman.
  • Amalkan penjarakan fizikal terutama jika berada di kawasan sesak.
  • Tutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin menggunakan tisu atau sapu tangan.

Selain itu, beliau juga menekankan pentingnya vaksinasi influenza, terutamanya menjelang musim penularan. Vaksin ini perlu diambil setiap tahun kerana virus influenza sering berubah dan vaksin lama mungkin tidak lagi berkesan untuk varian baharu.

“Vaksin mengambil masa kira-kira dua minggu untuk membina imuniti. Ia tidak menjamin perlindungan penuh, tetapi mampu mengurangkan risiko jangkitan teruk dan kemasukan ke hospital,” jelasnya.

“Jangan Tunggu Anak Masuk Hospital Baru Mahu Bertindak”

Dalam pesannya yang terakhir, Fatin menasihatkan para ibu bapa agar tidak menunggu sehingga anak dimasukkan ke hospital baru mahu mengambil langkah pencegahan.

“Lindungi yang tersayang. Jangan tunggu sehingga anak dimasukkan ke ED baru mahu bertindak,” tegasnya. Nasihat ini penting bagi semua keluarga terutama ketika peningkatan kes influenza di Malaysia.

Pesanan Pa&Ma Buat Semua Ibu Bapa

Musim influenza kali ini nyata lebih mencabar. Setiap ibu bapa perlu lebih peka dengan tanda-tanda awal jangkitan, pastikan anak-anak cukup rehat, minum air mencukupi dan elakkan membawa mereka ke tempat sesak tanpa keperluan.

Ingatlah, pencegahan lebih baik daripada rawatan. Sedikit langkah berjaga-jaga hari ini mungkin menyelamatkan nyawa kecil yang kita sayangi esok.

Published by
Nana