Kenapa jururawat datang melawat ke rumah ibu mengandung dan ibu lepas bersalin ya? Bagi ibu mengandung yang buat pemeriksaan kehamilan di klinik kesihatan tentu sudah biasa dengan situasi ini.
Untuk mengetahui apa sebabnya, cuba baca penjelasan daripada Jururawat Senior Bel Nawhen yang berkongsi maklumat tersebut di laman web The Malaysian Medical Gazette.
Jururawat takde kerja ke?
Cuti-cuti ni tak reti berehat?
Mengapa nak kacau orang dengan datang melawat?
Apa relevan Jururawat datang melawat masa anda hamil?
Mengapa datang melawat sewaktu berpantang pula?
Orang nak rehat lah!
Jururawat melawat anda semasa hamil bukan sahaja- sahaja nak menjengah aktiviti harian anda di rumah..
Mereka melawat selepas anda melahirkan pula untuk meninjau keadaan anda dan bayi. Sudahlah anda sedang berpantang, anda mesti memerlukan pemerhatian lengkap dari mereka yang terlatih berkaitan keadaan anda bukan?
Bukanlah Jururawat ni mahu menyibuk serta menganggu tugasan anda.
Apatah lagi nak mengganggu anda buat kerja. Rasanya Jururawat akan telefon dahulu sebelum datang; bukan main terjah begitu sahaja.
Kecuali jika panggilan tidak dijawab, maka mereka perlu melakukan lawatan bagi memastikan anda masuk ke wad, lebih-lebih lagi kes mereka yang sudah lebih tarikh (post date).
LAWATAN SEMASA ANDA HAMIL
Sumber gambar: facebook.com
Lawatan ke rumah memang wajib dilakukan oleh mereka yang bertugas di klinik kesihatan ataupun klinik desa. Memang ada termaktub dalam skop tugasan mereka bila mana lawatan rumah wajib dilakukan pada semua ibu mengandung tidak kira di mana ibu tersebut melakukan ‘booking’.
Ads
Lawatan rumah wajib dilakukan sekurang-kurangnya 3 kali pada kes ibu tiada masalah dan sekerap yang mungkin pada ibu hamil yang bermasalah atau berisiko terutama bagi ibu-ibu yang ada kemungkinan atau ada risiko diabetes serta darah tinggi.
(Bergantung kepada prosedur klinik sesebuah kawasan atau jumlah kakitangan yang boleh didapati)
Kali pertama Jururawat datang ke rumah adalah untuk memastikan persekitaran serta keadaan rumah anda bersesuaian dengan anda yang hamil selain memantau kesihatan ibu.
Yelah, ibu yang hamil seelok-eloknya duduk/berada dalam persekitaran yang bersih serta selamat. Selain itu tujuan lawatan ke rumah juga untuk mengeratkan silatuhrahim antara Jururawat dan Ibu/Keluarga sebab 1 Jururawat kena jaga satu keluarga seperti yang disebut-sebut ‘personal care’.
Bagi ibu yang kali pertama hamil pula; misi boleh memastikan ibu mengambil ubatan/vitamin yang diberikan dengan betul selain memeriksa ibu-ibu menanda Fetal Kick Chart dengan betul, bukannya ‘chartology’ iaitu, hari ni 8/11 tapi dah chart sampai 12/11.
Amboy, advance sungguh baby beliau!!
Jururawat perlu memberikan perhatian yang lebih kepada ibu-ibu yang hamil ekoran terdapat beberapa kes kelahiran yang bermasalah seperti Prenancy Induced Hypertension; Gestational Diabetes serta Twin Pregnancy.
Jururawat juga melawat dengan tujuan untuk memastikan ibu-ibu mendapat sokongan moral dari keluarga supaya ibu tidak stress sepanjang kehamilan. TIDAK ada ibu yang stress sepanjang hamil? Bagaimana dengan ibu yang hamil tidak bersuami?
Bukankah mereka juga perlu diberikan sokongan? Di sinilah Jururawat memainkan peranan; selain mengenalpasti sebarang ‘trigger factor’ yang boleh mewujudkan suasana tidak selesa kepada ibu yang hamil itu sendiri.
LAWATAN SELEPAS ANDA MELAHIRKAN
Bagi ibu selepas melahirkan pula, lawatan ke rumah dilakukan mengikut sela masa tertentu iaitu dari hari 1, 2, 3, 4, 5, 6, 8, 10, 15 dan 20 melahirkan. Bagi kes bayi mengalami jaundis pula, lawatan akan dilakukan pada hari pertama kelahiran sehingga hari ke 10. Di sini mereka akan melakukan pemeriksaan seperti;
Ads
– Tekanan darah
– Suhu badan
– Nadi
– Pemeriksaan payudara (bagi mengesan sebarang jangkitan yang berlaku selain memberi tunjuk ajar tentang perlekapan yang betul bagi menyusukan bayi)
– Lokia (iaitu nifas yang keluar dari segi warna, bau serta kuantiti yang keluar bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian seperti tumpah darah atau jangkitan kuman pada kemaluan)
– Pemeriksaan tinggi rahim (untuk nenilai tentang penurunan rahim adalah bersesuaian dengan jumlah hari melahirkan)
– Perineum (Bagi melihat kepada jahitan serta luka yang terhasil selepas melahirkan, dibimbangi belum sembuh dan boleh mengakibatkan jangkitan)
Dari pemerhatian di atas, mereka boleh menilai kepada sebarang tanda yang memerlukan ibu dirujuk ke hospital dengan kadar segera.
Selain itu, bayi juga dinilai keadaanya. Mereka akan memerhati kepada keadaan jaundis pada bayi. Mereka akan memerhati dari warna kulit serta mata bagi melihat tanda jaundis yang telah merebak. Mereka cukup terlatih dalam menilai keadaan bila waktu seharusnya bayi dibawa ke hospital bagi pemeriksaan darah berkaitan jaundis.
Ads
Mereka juga akan menimbang berat bayi, mengukur tinggi bayi serta mengira lilitan kepala bayi. Mereka akan menilai cara bayi menyusu badan sama ada betul atau tidak bagi membantu bayi merasa kenyang dan ibu merasa selesa.
Ada ibu yang tidak berak dan kencing selepas melahirkan ekoran trauma dengan proses kelahiran, di sinilah fungsi Jururawat bagi memberikan pendidikan kesihatan. Ada ibu yang segan mahu meluahkan perasaan yang mengganggu emosi mereka semasa berada di hospital atau lawatan di klinik. Tetapi dengan kehadiran jururawat ke rumah, sekurang-kurangnya emosi itu boleh diluahkan lalu risiko postpartum blues dapat dikurangkan.
Jururawat yang melawat kerumah juga dapat menilai keadaan berlakunya Deep Vein Thrombosis atau trombosis vena – keadaan apabila berlaku penggumpalan darah yang terjadi di dalam pembuluh darah yang besar yang terdapat di bahagian paha dan betis. Dibimbangi darah beku ini akan bergerak dalam saluran darah terus ke paru-paru yang boleh mengakibatkan sesak nafas dan kematian.
Kaedah perancangan keluarga juga akan diberitahu terutama bagi kes ibu yang melahirkan secara pembedahan Ceasarean dan ibu yang melahirkan ramai anak dengan jarak yang terlalu dekat. Di sini, ibu-ibu boleh secara langsung bertanya tentang beberapa perkara kepada Jururawat yang datang melawat supaya sebarang keraguan boleh dinyatakan secara verbal.
Sumber gambar: facebook.com
Sebenarnya lawatan ke rumah adalah memudahkan ibu hamil serta ibu yang melahirkan. Keutamaan adalah ibu yang telah melahirkan kerana pemerhatian yang sepenuhnya perlu dilakukan. Tambahan pula dibimbangi dengan keadaan ibu-ibu yang masih kepenatan selepas melalui proses kelahiran enggan hadir ke klinik ekoran keadaan mereka yang tidak membenarkan.
Jangan bimbang ibu-ibu, datang melawat tu pun kerja Jururawat juga. Bukan mereka membuang masa begitu sahaja dengan datang rumah ke rumah tidak kira panas dan hujan. Tidak kira waktu bekerja atau hujung minggu. Itu merupakan tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan mereka telah memilih melepaskan tanggungjawab di rumah demi bakti mereka yang tidak seberapa itu.
Jangan gusar, mereka tidak minta setitis air pun untuk menghilangkan dahaga mereka di panas terik atau tuala bagi mengelap basah baju dan tudung sewaktu hujan. Cukuplah sekadar dihargai serta kehadiran mereka diterima. Selagi mereka melihat ibu-ibu sihat dan melalui proses berpantang dengan jayanya tanpa ada apa-apa masalah, itu sudah memberikan rasa syukur di hati mereka.
Notakaki:
Mereka ini ada yang sudah bekeluarga. Tetapi mampu memberikan komitmen mereka kepada anda. Mengapa tidak anda berikan sedikit masa kepada mereka? Percuma sahaja bukan? Melainkan anda warganegara asinglah.
Susu tiada selepas bersalin adalah persoalan yang selalu bermain di fikiran mama selepas bersalin. Soalnya benarkah susu benar-benar tiada?
Semua wanita bergelar IBU yang normal pasti mempunyai impian untuk menyusukan sendiri bayi mereka. Kerana ia merupakan hadiah pertama paling berharga dan terbaik buat yang tersayang.
Menurut Kaunselor Laktasi, Noorfazila Abdul Rahman, susu ibu dicipta oleh Allah swt sebagai rezeki yang perlu disalurkan kepada anak melalui si ibu. Kebiasaannya ramai ibu terutama yang pertama kali melahirkan anak seakan hilang arah dan tiada panduan bagaimana dan apa yang perlu dilakukan sejurus selepas melahirkan bayi.
KURANG SOKONGAN & ILMU
Biasanya mereka memang bersungguh-sungguh untuk menyusukan anak sepenuhnya dengan susu ibu tetapi dek kerana kurang sokongan dan ilmu berkenaan ini membuatkan mereka keliru apa yang sepatutnya mereka lakukan.
Saya sungguh-sungguh tidak mahu perkara begini berlaku dan akhirnya membuatkan ibu dengan mudah percaya yang mereka TIADA SUSU dan tak mampu menyusukan anak sedangkan apa yang sepatutnya mereka lakukan tidak mereka lakukan.
SOKONGAN PADU DARI SUAMI DAN PERSEKITARAN
Ramai ibu beranggapan penyusuan merupakan suatu perkara yang mudah dan susu akan keluar dengan banyak sejurus selepas melahirkan sedangkan realitinya bukan lah seperti itu. Bukan mudah untuk menjayakannya jika tiada sokongan padu dari suami dan persekitaran. Kerana penyusuan bukan sahaja tanggungjawab seorang ibu malah tanggungjawab seorang ayah.
Saya terpanggil untuk menulis artikel ini, bila berdepan dengan situasi konflik seperti ini terutama bila melibatkan suatu tragedi sehingga meragut nyawa. Sebagai seorang ibu yang bersungguh-sungguh mahu menjayakan penyusuan susu ibu, ibu bapa seharusnya mula membuat persediaan awal sebelum kelahiran anak lagi.
MENCARI ILMU PENYUSUAN
Apa yang dimaksudkan dengan persediaan awal ini ialah mencari maklumat dan memenuhkan dada dengan ilmu penyusuan sebanyak yang boleh. Perkara utama yang perlu diketahui adalah bagaimana dan bila sebenarnya susu telah mula terhasil dan tersedia di dalam payudara ibu?
Susu tidak ada langsung selepas bersalin, apakah baby kelaparan?
Kolustrum, bilakah waktu yang boleh ibu berikan kepada bayi?
IA TERBENTUK SEJAK AWAL
Ramai ibu tidak menyedari dan tidak tahu yang sebenarnya badan ibu telah bersedia menghasilkan susu sejak dari peringkat awal kehamilan. Ianya dikenali sebagai Fasa Memogenesis yang berlaku sekitar minggu ke 7 atau ke 8 kehamilan. Seterusnya apabila kandungan masuk ke trimester kedua sekitar 16 – 24 minggu proses penghasilan susu (Laktogenesis 1) untuk menghasilkan kolostrum telah pun bermula.
Ini bermakna sejak dari kandungan lagi payudara ibu telah pun menghasilkan susu! Hebatnya ciptaan Allah swt ini kerana Dia sediakan susu seawal usia kandungan 24 minggu kerana pada waktu ini ada bayi yang dilahirkan pramatang. Jadi walaupun ibu bersalin pramatang, ibu tetap mampu menyusukan anak dan tetap ada rezeki susu ibu buat si bayi.
Kolostrum merupakan susu pertama yang sangat berharga dan perlu diperolehi oleh bayi sebanyak yang boleh kerana di dalamnya terkandung banyak manfaat di antaranya zat antibodi yang disebut immunoglobulin. Selain terdapat antibodi, di dalam kolostrum terdapat faktor-faktor pertumbuhan yang berfungsi untuk menyempurnakan pertumbuhan dan perkembangan manusia dari bayi hingga dewasa.
SUSU TIDAK ADA SELEPAS BERSALIN?
Benarkah susu tiada langsung selepas bersalin? Jawapannya tidak benar! Setiap ibu yang melahirkan anak sudah mempunyai susu di dalam payudaranya kerana penghasilan kolostrum sudah bermula sejak 16 minggu usia kandungan cuma paras hormon ibu yang berbeza membuatkan ada ibu yang sudah mula keluar susu sejak sebelum melahirkan dan ada ibu yang hanya keluar pada hari ke 2-3 anak dilahirkan.
Jadi, untuk meningkatkan paras hormon prolaktin ini, rangsangan dari hisapan bayi sangat diperlukan terutama pada jam-jam pertama kelahiran. Sebab itulah ibu perlu mendapatkan anak secepat yang boleh untuk disusukan supaya proses pengeluaran susu akan lebih cepat berlaku.
Jadi setiap ibu perlu bersedia dan susukanlah anak anda dengan yakin tanpa ragu-ragu sama ada anak mendapat susu yang cukup atau tidak. Sememangnya bila puting payudara dipicit ia seakan tiada susu, kerana fizikal kolostrum yang pekat dan sangat sedikit sesuai dengan keperluan dan saiz perut bayi yang tersangat kecil.
Selain itu, warna kolostrum yang jernih pada awalnya dan kekuningan menyebabkan ia tidak kelihatan dan ibu tidak sedar kehadirannya. Hanya rangsangan kerap pada payudara saja yang dapat membantu kolostrum tersebut diterima oleh bayi anda. Jadi ibu tak perlu panic jika anda melalui situasi seperti ini kerana ianya sesuatu yang normal dan apa yang perlu anda lakukan hanyalah menyusukan anak sekerapnya termasuk disebelah malam..
Lebih kerap payudara ibu mendapat rangsangan lebih cepat kolostrum akan mula keluar, lebih banyak kolostrum akan diterima oleh bayi dan lebih banyak susu bakal terhasil. Jangan risau kerana bayi mampu bertahan selama 6 jam walaupun tanpa makanan kerana bekalan makanan yang diterima dari plasenta mampu menampung keperluan jam-jam pertama kehidupannya. Bila bayi menangis bukan lah semata-mata kerana dia kelaparan tapi banyak lagi factor lain yang menyebabkan bayi menangis. Jadi susukan lah anak anda kerana hanya penyusuan saja yang dapat menenangkan anak dan memberi keselesaan kepadanya.
Selain itu, ibu perlu memastikan pelekapan (latch on) yang betul dan posisi penyusuan yang tepat untuk memudahkan proses kelahiran. Ikuti sambungannya nanti.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketika membeli barangan dapur, kita sering kali melihat label “Use By” dan “Best Before” pada bungkusan makanan. Namun, tidak semua orang benar-benar memahami maksud di sebalik istilah-istilah ini. Mengetahui perbezaannya bukan sahaja penting untuk keselamatan makanan, tetapi juga membantu mengurangkan pembaziran.
Apa Maksud “Use By” atau Guna Sebelum?
Label “Use By” merujuk kepada tarikh terakhir makanan itu selamat untuk dimakan. Ia biasanya digunakan untuk makanan yang mudah rosak seperti susu, daging segar, atau makanan yang perlu disimpan sejuk. Jika makanan telah melepasi tarikh ini, ia tidak lagi selamat dimakan walaupun kelihatan, berbau atau rasa masih baik. Makanan seperti ini boleh menyebabkan keracunan makanan.
Contoh makanan berlabel “Use By”:
Susu segar
Yogurt
Daging mentah
Makanan siap masak sejuk beku
Selepas tarikh ini, makanan tidak lagi selamat dimakan walaupun ia mungkin masih kelihatan baik atau tidak berbau.
Apa Itu “Best Before” atau Baik Sebelum?
Sementara itu, label ini merujuk kepada kualiti makanan, bukan keselamatannya. Tarikh ini menunjukkan sehingga bila makanan itu berada dalam keadaan terbaik dari segi rasa, tekstur dan nutrisi. Selepas tarikh ini, makanan masih boleh dimakan tetapi mungkin tidak lagi mempunyai kualiti terbaik.
Contoh makanan berlabel “Best Before”:
Biskut
Pasta kering
Bijirin sarapan
Coklat
Selepas tarikh ini, makanan masih boleh dimakan, selagi ia tidak berkulat, berbau pelik, atau berubah rasa drastik.
Gunakan akal dan deria: bau, rasa dan lihat.
Simpan makanan di tempat kering, sejuk dan gelap (pantry atau almari makanan).
Mengapa Perlu Ambil Tahu?
Tahukah anda? Sejuta tan makanan dibazirkan setiap tahun di seluruh dunia kerana salah faham tentang label ini. Dengan memahami perbezaan ini:
Anda boleh kurangkan pembaziran makanan.
Jimat wang dengan guna makanan secara bijak.
Elakkan keracunan makanan dengan ikuti panduan penyimpanan.
Tips Membeli & Menyimpan Makanan Secara Bijak
Semak tarikh sebelum beli, terutama untuk makanan segar.
Gunakan makanan yang berlabel “Guna Sebelum” dulu sebelum tarikh tamat.
Labelkan makanan dengan tarikh buka, jika tiada.
Bekukan makanan sebelum tarikh “Guna Sebelum” jika tak sempat guna.
Amalkan sistem FIFO (First In, First Out) di dapur, guna stok lama dahulu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seawal usia enam bulan bayi anda mungkin sudah ada yang tumbuh gigi. Selari dengan umur mereka yang kini sudah boleh diperkenalkan dengan makanan sebenar. Tapi ada juga sesetengah bayi yang sebaik sahaja dilahirkan sudah mempunyai gig, namun perkara itu jarang berlaku.
Setelah si kecil mempunyai gigi, pastinya rutin penjagaan gigi si kecil akan bermula. Bersama Dr. Ahmad Faizal Ismail, Penolong Professor Pergigian Kanak-kanak di Kuliah Pergigian UIAM dan Pakar Pergigian Kanak-kanak di Pusat Perubatan UIAM untuk mengulas lanjut mengenai pertumbuhan dan penjagaan gigi bayi.
Gigi desidus atau gigi susu adalah asset yang penting untuk bayi. Gigi susu adalah penting untuk fungsi pemakanan, pengunyahan dan juga estetik. Selain itu, gigi susu juga berfungsi mengekalkan ruang (space maintainer) untuk pertumbuhan gigi kekal kelak. Secara umumnya, jumlah gigi susu untuk seorang kanak-kanak adalah 20 batang. Ia terdiri daripada 8 batang gigi kacip, 4 batang gigi taring dan 8 batang gigi geraham. Gigi susu pertama akan mula tumbuh pada umur 6 bulan, iaitu gigi kacip bawah, diikuti gigi kacip atas. Gigi susu lain akan mula tumbuh mengikut umur bayi sehingga lengkap 20 gigi susu sekitar umur 3 tahun.
Gigi susu terbentuk semasa bayi masih di dalam kandungan ibu. Pada minggu ke 6 kehamilan, lamina germa gigi susu akan mula terbentuk. Proses pembentukan ini akan berterusan sehingga gigi susu tumbuh sepenuhnya pada umur 3 tahun. Amat penting untuk ibu mengandung mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengambil nutrien yang diperlukan seperti kalsium supaya pembentukan gigi bayi di dalam kandungan tidak terganggu. Jika terdapat gangguan sistemik seperti infeksi yang teruk, pengambilan alcohol, atau pengambilan sesetengah ubat oleh ibu mengandung, ia boleh menyebabkan gangguan terhadap pembentukan atau morfologi gigi bayi di dalam kandungan.
Penjagaan mulut dan gigi bayi amat penting kerana ianya bergantung sepenuhnya kepada ibubapa. Pemahaman ibubapa amat penting dalam memastikan gigi susu agar tidak rosak dan bayi mendapat penjagaan gigi yang sempurna.
Jika terdapat kerosakan atau karies pada gigi susu, ini boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada bayi. Memandangkan bayi belum dapat berkomunikasi, bayi akan meragam dan mengelak untuk minum susu jika bayi sakit gigi. Jika karies pada gigi susu ini tidak dirawat, kuman pada gigi tersebut boleh merebak ke bahagian pipi dan muka, menyebabkan kebengkakan muka (facial cellulitis).
Gigi natal dan neonatal
Gigi susu pertama akan mula tumbuh apabila bayi berumur 6 bulan Namun terdapat juga bayi yang dilahirkan mempunyai gigi. Gigi natal adalah gigi yang telah tumbuh semasa bayi lahir, manakala gigi neonatal adalah gigi yang tumbuh dalam sebulan pertama kelahiran (Gambar 1). Gigi natal dan neonatal adalah gigi susu yang tumbuh secara awal dan pra-matang. Gigi natal dan neonatal amat jarang berlaku. Jika bayi mempunyai gigi natal atau neonatal, rujukan kepada pakar pergigian kanak-kanak dan pakar kanak-kanak adalah perlu. Ini bagi mengelakkan komplikasi kepada ibu dan bayi yang menyusu. Pemeriksaan awal mulut bayi sejurus dilahirkan amat penting bagi memastikan rujukan awal dapat dilakukan.
Ciri-ciri gigi natal dan neonatal
Berbentuk kecil atau konikal
Merupakan gigi susu
Longgar dan mudah goyang
Akar gigi yang pendek dan tidak sempurna
Selalunya melekat pada gusi
Komplikasi gigi natal dan neonatal
Boleh menyebabkan ulser pada bahagian hujung atau bawah lidah bayi akibat bergesel dengan permukaan gigi yang tajam semasa menyusu. Keadaan ini disebut sebagai Sindrom Riga-Fede.
Bayi tertelan (aspiration) gigi natal dan neonatal. Jika gigi tersebut tersekat dalam saluran pernafasan, ia boleh mengakibatkan jangkitan kuman pada paru-paru bayi (pneumonia).
Kecederaan pada puting ibu yang menyusu akibat terkena permukaan gigi bayi.
Sakit dan tidak selesa semasa bayi menyusu
Bayi menolak untuk menyusu.
Penjagaan gusi dan gigi bayi
Sebelum gigi pertama bayi tumbuh, adalah digalakkan untuk ibubapa membersihkan mulut dan gusi bayi menggunakan kain tuala yang lembut yang dililit pada jari. Ia boleh dilakukan setiap kali selepas menyusu atau semasa memandikan bayi. Selain itu, lidah bayi juga perlulah dibersihkan dari sisa-sisa susu yang melekat pada permukaan lidah.
Selepas lahir sehingga umur bayi 6 bulan
Sentiasa membersihkan gusi bayi selepas menyusu. Dukung bayi dengan sebelah lengan, manakala sebelah tangan lagi memegang kain tuala yang dilembapkan. Bersihkan gusi bayi secara perlahan-lahan.
Jangan biarkan bayi tidur sambil menyusu. Setelah bayi tidur, alihkan puting/botol susu dari mulut bayi bagi mengelakkan susu bertakung di dalam mulut.
Bayi akan mula gatal gusi (teething) pada umur 4-6 bulan. Gusi bayi ditempat gigi yang akan tumbuh mungkin kemerahan dan air liur akan meleleh dari mulut bayi (drooling).
Elakkan merasa puting botol susu dengan mulut ibu atau berkongsi sudu bayi dengan ahli keluarga yang lain bagi mengelakkan pemindahan bakteria ke dalam mulut bayi.
Bayi berumur 6 bulan sehingga 12 bulan
Semasa fasa ini, bayi akan mula tumbuh gigi susu yang pertama.
Gusi bayi perlu sentiasa dibersihkan selepas makan atau menyusu.
Apabila gigi susu pertama telah tumbuh, mulakan memberus gigi bayi menggunakan berus gigi yang berbulu lembut (soft bristle atau silicon) tanpa ubat gigi
Apabila bayi mula minum menggunakan cawan dan makan makanan pejal (solid), ibubapa perlu mengurangkan penggunaan botol susu (wean off).
Galakkan bayi untuk minum menggunakan cawan. Pada umur 12 sehingga 14 bulan, bayi sudah mampu untuk minum menggunakan cawan dengan sendiri.
Apabila gigi susu atas telah tumbuh, amalkan pemeriksaan gigi bayi dirumah dengan mengangkat bibir atas bayi bagi memeriksa sebarang perubahan warna pada gigi (tompokan putih atau perang). Jika terdapat tanda-tanda ini, ia menunjukkan karies gigi peringkat awal dan dapatkan temujanji dengan doktor gigi.
Dapatkan pemeriksaan pergigian pada umur 1 tahun atau dalam masa 6 bulan selepas gigi susu pertamanya tumbuh.
Elakkan berkongsi sudu bayi dengan ahli keluarga yang lain bagi mengelakkan pemindahan bakteria ke dalam mulut bayi.
Tanda-tanda bayi gatal gusi (teething)
Air liur meleleh.
Gusi sedikit kemerahan dan sensitif.
Bayi suka menggigit dan memasukkan jari/objek ke dalam mulut.
Bonjolan gusi yang menampakkan sedikit gigi susu yang sedang tumbuh.
Menangis dan meragam. Ini kerana bagi kebanyakan bayi, keradangan gusi menyebabkan bayi tidak selesa.
Sesetengah bayi mungkin mengalami demam apabila gatal gusi. Ini disebabkan oleh bayi memasukkan objek Bayi kurang selera makan atau mengelak untuk makan.
Bayi menarik telinga atau menggosok pipi. Ini disebabkan saraf yang menghubungkan gigi juga turut menghubungkan pipi dan telinga. Oleh itu, bayi boleh merasa ‘gatal’ di telinga atau pipi.
Tips untuk ibubapa jika bayi gatal gusi
Berikan buah yang sejuk dan dipotong kepada bayi. Buah yang sejuk boleh mengurangkan gatal disamping memperkenalkan makan pejal kepada bayi.
Gunakan jari atau kain tuala lembut yang dilembapkan untuk menggosok gusi bayi
Bersihkan air liur yang meleleh bagi mengelakkan keradangan pada pipi.
Berikan mainan gigit (teething rings) yang telah disejukkan. Elakkan meletak didalam peti sejukbeku (freezer) kerana mainan gigit yang keras akan melukakan gusi bayi.
Akademi Pediatrik Amerika (AAP) tidak menggalakkan menyapu gel anaestetik (bius) pada gusi kerana boleh menyebabkan bayi tertelan gel tersebut. Gel anaestetik mengandungi bahan ‘Lidocaine’ yang boleh memudaratkan bayi jika tertelan secara berlebihan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.