Tahniah diucapkan buat pelakon jelita, Datin Intan Najuwa yang mengumumkan dirinya kini sedang hamil anak kedua. Perkhabaran gembira itu dikongsikan sendiri oleh Intan menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, semalam.
Dalam perkongsian yang mencuri perhatian ramai itu, Intan memaklumkan bahawa puteri sulungnya, Imane Lunara bakal bergelar kakak tidak lama lagi. Berita tersebut sekali gus menandakan keluarga kecil mereka bakal bertambah ahli dan suasana rumah tangga pastinya akan lebih meriah dengan kehadiran cahaya mata baharu.
Ads
Lunara Akan Jadi Kakak
“Lunara akan jadi kakak. Keluarga kecil kami semakin membesar dan kami akan jadi berempat,” tulisnya ringkas namun penuh makna.
Menerusi hantaran sama, Intan turut memuat naik foto yang cukup menyentuh hati. Dalam gambar tersebut, Intan dilihat memegang imej imbasan kandungannya sambil tersenyum bahagia. Lebih mencuri perhatian, Lunara juga turut memegang gambar imbasan tersebut, seolah-olah sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang kakak.
Ads
Ads
Ruangan komen dihujani ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan peminat yang tidak sabar menantikan kehadiran ahli baharu dalam keluarga pasangan ini. Ramai yang mendoakan agar segala urusan kehamilan Intan dipermudahkan serta bayi dalam kandungan berada dalam keadaan sihat.
Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Datuk Ahmad Azraf Azman pada Ogos 2023 dalam sebuah majlis yang berlangsung meriah. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan cahaya mata pertama, Imane Lunara pada 15 Disember 2024.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kebanyakan ibu bapa yang ada anak kecil mesti banyak pengalaman sepanjang membesarkan anak-anak. Momen ini semua yang akan jadi kenangan bila semuanya dah besar nanti.
Sama jugalah situasi chef selebriti dan usahawan terkenal iaitu Datuk Fazley Yaakob yang telah memuat naik satu video di laman Instagram menunjukkan dia sedang mengemop lantai di sebuah kedai serbaneka.
Menerusi hantaran tersebut, kelihatan Datuk Fazley sedang mencuci lantai kedai dengan menggunakan mop disebabkan anak lelakinya, Fierudz Fazley muntah di kedai berkenaan.
Menurut Fazley, walaupun dalam keadaan kelam kabut, dia sempat meminjam baldi dan mop dari kedai berkenaan kerana enggan membiarkan pekerja kedai membersihkan muntah anaknya.
“Piyush termuntah di kedai? Hahaha, masih saya ingat masa ni piyush masih kecil lagi, Tak ingat apa yang dia makan, terus termuntah masa sampai kedai.
“Kelam kabut saya pinjam baldi and mop dari kedai tu. Nak marah kesian, dan dalam masa yang sama, yang muntah tu anak saya, takkan lah saya nak tinggal dan biar pekerja kedai yang bersih kan? Kalau korang , korang buat apa?,” tulisnya.
Meninjau di ruangan komen, hantaran video itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai yang rata-ratanya memuji tindakan Datuk Fazley dan akan buat yang sama jika berlaku situasi seperti sedemikian.
“Kejadian yang rare berlaku.. kalau orang lain dah keluar tinggal kan saja staff yang akan buat.. Respect Dato!”
“Alhamdulillah. Contoh a good Muslim dan tauladan yang bagus.. buat masyarakat dan anak-anak.. #salute #respect.”
“Terbaik betui juga tu. Kita akan rasa bersalah sebab anak kita yang muntah tak akan tinggal macam tu. Kalau saya pun saya akan buat macam Dato’ buat.”
“Saya pun akan buat benda yang sama. Jika anak tumpahkan makan atau air kat kedai pun saya minta tisu pada owner kedai bersihkan lantai dan meja sebelum balik. In shaa Allah jika kita sentiasa permudahkan urusan orang lain Allah akan permudahkan urusan kita ❤️”
Melangkah masuk ke kediaman wanita ini, aura tenangnya begitu terserlah. Suasana rumah yang lapang, putih bersih dan berbau harum bunga segar, menggambarkan personaliti tuan rumah yang cukup bersahaja, tersusun dan manis budi bahasanya.
Dialah Wan Khatijah, figura yang pernah mencuri perhatian ramai menerusi kemenangannya program Dewi Remaja satu ketika dahulu. Hari ini, walaupun sudah meniti usia dan membawa gelaran isteri serta ibu, pesona Wan Khatijah tetap tidak pudar. Malah, ramai menganggap dia seolah awet muda dengan wajah tetap jelita, tutur kata lembut, dan tetap mesra melayan sesiapa sahaja yang bertandang.
Bersama suaminya, Azlisham Ibrahim, bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor pasangan ini cukup serasi. Sama-sama kelakar, suka bergurau dan menyenangkan suasana. Kadang bila bercerita pun, mereka akan menyampuk antara satu sama lain bukan kerana tak sabar, tapi kerana terlalu selesa dan serasi. Ada momen kita rasa macam tengok pasangan baru bercinta, bukan pasangan yang sudah lebih 20 tahun hidup bersama.
Bila ditanya mengenai konsep dekorasi rumahnya, Wan Khatijah hanya ketawa kecil.
“Sejujurnya… rumah ni tak ada konsep pun. Masa buat dulu saya cuma nak rumah yang kosong, lapang dan selesa. Sebab keluarga kami besar. Kadang sebulan dua kali kami akan berkumpul. Bayangkan lebih 45 orang – adik-beradik, sepupu, anak-anak saudara semua datang. Jadi open space tu penting. Barang pun biar sikit tapi perlu.”
Dari ruang tamu ke dapur, semuanya terbuka luas. Tak banyak sekatan dinding. Hanya sebatang bunga besar diletakkan sebagai ‘penutup lembut’ supaya tak terus nampak dapur.
Dan menariknya, ruang makan sengaja diletakkan dekat dengan pintu utama. “Supaya lebih manis, orang datang terus nampak meja makan, nampak gambar suami,” katanya sambil tersenyum.
Siapa sangka, cinta mereka bermula ketika sesi fotografi. Wan Khatijah ketika itu menjalani sesi bergambar untuk Dewi Remaja dan suaminya pula untuk majalah bola sepak, kedua-duanya terbitan Karangkraf. Kebetulan sesi fotografi mereka diadakan pada hari yang sama. Dari sekadar berbual kosong, mereka akhirnya jadi mesra.
“Dia pelawa saya tengok wayang,” kata Wan Khatijah sambil ketawa kecil. “Kami anggap itu macam date pertama… ”
Suaminya pula menyampuk sambil tersipu, “Mula-mula saya segan… dia Dewi Remaja. Siapalah saya pemain bola je. Tapi lepas borak, dia boleh terima saya seadanya.”
Kini, lebih dua dekad berlalu, cinta mereka makin matang dan tetap penuh tawa bersama empat cahaya mata penyeri kehidupana mereka.
Sewaktu ditanya tentang rahsia rumahtangga bahagia, Wan Khatijah berkongsi satu pesan yang cukup bermakna dari arwah ibu mentuanya
“Kalau bercakap, mata kena tengok mata. Sebab dari mata tu boleh turun ke hati. Nak marah pun jadi reda. Nak merajuk pun cair.”
Dan mungkin itulah yang menjadi rahsia hubungan mereka. Mesra, saling menghormati, tak pernah rasa janggal walau sudah bertahun hidup bersama.
Antara perkara paling mencuri perhatian di rumah ini adalah bunga. “Dekat rumah ni, hampir setiap ruang ada bunga segar. Tapi bukan saya je suka bunga. Suami saya pun suka.”
Setiap minggu, suaminya akan beli bunga segar, pilih sendiri, dan hias sendiri di rumah.
“Sebab dia suka bau bunga segar dalam rumah. Katanya, itu terapi dia.”
Bagi Wan Khatijah pula, terapinya datang dalam bentuk travel, walaupun katanya bukanlah destinasi itu yang penting, tapi perasaan bila sampai di lapangan terbang.
“Saya suka sangat travel. Tak kisah ke mana. Janji sampai airport tu dah rasa tenang. Itu my therapy. Tapi dekat rumah, saya suka masak, suka kemas, dan saya suka buat table setting.”
Bila ditanya ruang kegemaran dalam rumah, dia terus jawab: “Meja makan.”
Di situlah banyak kenangan tercipta. Dari anak-anak kecil hingga dewasa, daripada juadah kampung ke western food — semuanya dikongsi di meja makan.
“Saya suka table setting. Biasanya dua kali seminggu saya akan susun ikut tema. Kadang ikut makanan – kalau western, saya ikut konsep botanical English. Tapi kalau masakan kampung, saya akan keluarkan tikar, pinggan mangkuk kampung.”
Anak-anak kadang suka, kadang komplen banyak pinggan nak basuh, tapi mereka tahu itulah cinta ibu mereka dalam bentuk yang paling cantik.
Wan Khatijah bukan sekadar bekas Dewi Remaja yang cantik. Dia adalah wanita, isteri, ibu dan sahabat yang membina hidupnya dengan nilai dan rasa. Dari rumah ke hati, semuanya dibuat dengan cinta.
Dia tak perlukan rumah besar penuh perabot mahal. Cukup ruang yang bersih, bunga segar dan gelak tawa suami. Dan itu mungkin satu pesan indah untuk kita semua kadang bahagia itu tak kompleks. Ia cuma perlukan kesederhanaan yang ikhlas.
NAK TAHU LANJUT JOM TENGOK VIDEO NI:
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka sama ada di dalam atau luar bangunan kawasan sekolah.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah pada ketika ini adalah mengikut pilihan masing-masing susulan pengumuman ketetapan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu.
“Ingin saya jelaskan bahawa pemakaian penutup muka dalam atau luar bangunan di kawasan sekolah adalah mengikut pilihan masing-masing. Tidak diwajibkan.
“Namun begitu, kita amat galakkan pemakaian penutup muka dalam kawasan sekolah khususnya di tempat-tempat yang ramai orang,” katanya dalam video perkongsiaan melalui Facebook rasminya pada Ahad.
Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup kini atas pilihan berkuat kuasa serta merta.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 dalam negara serta penilaian semasa yang dilakukan kementeriannya.
Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, bagi kanak-kanak yang menaiki pengangkutan awam ke sekolah seperti bas dan van diingatkan supaya memakai pelitup muka.
“Apa yang paling penting kita memastikan keadaan di sekolah ini selamat.
“Maklumat lanjut berkaitan dengan pemakaian penutup muka di sekolah ini akan dimaklumkan kemudian,” ujarnya.
Kegembiraan sebuah keluarga yang meluangkan masa di taman tema air bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kejadian pada Ahad lalu.