“Hari ni buat apa? Ke tidur je?”… “Anak dah tidur tu, pergi la buat apa yang patut. Kemas dapur ke, sapu rumah ke”.

Ini antara dialog yang biasa tapi jika selalu sangat keluar dari mulut pasangan, kadang terguris juga hati.

Menjadi suri rumah sepenuh masa ini adalah keputusan dari persetujuan suami dan isteri. Apabila seorang suami sudah membenarkan isteri menjadi suri rumah sepenuh masa yang sebelum itu mempunyai kerjaya, si suami perlu redha dengan kelebihan serta kekurangan yang terhasil dari keputusan itu.

Isteri Suri Rumah Tetap Tinggi Darjatnya. Walaupun Tak Bekerja, Suami Perlu Ucap Terima Kasih! 

Ramai yang tidak faham apa yang dilalui oleh seorang suri rumah. Dari permulaan menjadi suri rumah dengan kehilangan punca pendapatan sendiri, sehinggalah waktu mempunyai anak yang ramai. Suri rumah ini tidak sama dengan orang bekerja. Kita bekerja dengan gaji beribu, mereka bekerja tanpa gaji sebanyak itu.

Jangan kira penat anda seorang sahaja. Celik sahaja mata isteri tu, dia sudah mula bekerja. Malah, tengah tidur pun anak masih ganggu nak menyusu bagai. Isteri suri rumah ni menyediakan semua benda yang anda terlepas pandang.

IKLAN

Bilik tidur siap teratur, cadar bantal semua. Baju kerja siap bergosok. Seluar dalam siap bersih. Kasut siap tersusun. Rumah siap kemas. Lauk siap masak. Dapur siap bersih. Anak siap bersih mandi dan pakai baju, yang pergi sekolah dah ke sekolah, yang di rumah sudah siap berpakaian. Semuanya siap makan dan tidak kelaparan. Baju kotor siap berbasuh dan tandas siap bercuci bersih.

Yang kita nampak itu hanya yang “siap”. Kita buta akan prosesnya. Itu sebab ramai yang masih tak berpuas hati dengan isteri suri rumah. Masih ada yang rasa tidak adil. Kerana kita tak buka mata. Semua yang dah siap itu ada orang siapkan, iaitu isteri kita. Ada beberapa kerja yang perlu dilakukan sebelum siapnya semua benda itu.

Isteri Suri Rumah Tetap Tinggi Darjatnya. Walaupun Tak Bekerja, Suami Perlu Ucap Terima Kasih! 

IKLAN

Anak yang siap makan prosesnya bermula dari menyediakan bahan mentah untuk masak lagi. Kemudian baru proses masak tu, menghidang, memberi makan, mengemas dan membasuh. Itu baru satu benda pun dah banyak prosesnya. Kalau dicampur dengan benda lain, memang tersangat sibuk. Siapa yang buat semua tu? Isteri la.

Jadi, tolong buang segala tanggapan negatif mengenai isteri sendiri. Jangan ada perasaan tidak puas hati apabila anda perlu bangun pagi dan isteri masih lagi tidur. Kerana apabila anda tidur tadi, dia berjaga menguruskan anak tanpa anda sedar. Dan apabila anda ke tempat kerja, dia juga bekerja di rumah, bukan hanya tidur sahaja seharian.

Tanggapan yang tidak baik ini bukan hanya hadir dari suami sendiri, tetapi mentua juga. Ada juga mentua yang merasakan menantunya pemalas hanya kerana melihat menantunya tidur tengahari atau pada petang hari. Sedangkan mentua juga sepatutnya tahu yang sebelum dia tidur, banyak urusan telah dia selesaikan dahulu.

IKLAN

Akhir sekali, bayangkan anda berada di satu tempat dan sibuk buat kerja dan terperap sahaja di rumah. Boleh jadi gila tahu tak? Hati isteri itu akan mati dengan kepenatan, kebosanan dan rutin harian. Itu sebabnya penting untuk suami menjaga emosi isteri dan membawa isteri keluar dari rumah untuk menyegarkan semula fizikal dan mental mereka.

Mula ubah mentaliti kita, mula cakna akan keperluan serta kesihatan emosi isteri. Tanya bagaimana keadaannya, tanya apa yang diperlukannya dan bukannya mempertikaikan apa yang dibuatnya di rumah. Kenapa? Kerana orang di hadapan kita itu ialah isteri kita dan bukannya orang suruhan atau orang gaji.

Kepada para isteri yang dilayan sebegini, anda perlu cakap dengan suami apa yang anda rasa. Suami perlu tahu. Kadang kala, mereka bukan semuanya kejam, ada yang terlepas pandang walaupun bertahun-tahun lamanya terlepas itu. Jangan berdiam diri. Anda bukan orang gaji, anda adalah isteri.

Sumber: Akhtar Syamir

Kredit Gambar Hiasan (Top Image) : Islam Itu Indah

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI