Isu Anak Conteng Dinding, Tak Ada ‘Common Sense’? – Ini Nasihat Coach Parenting

Share

Melihat anak kecil melukis dan mencoret dinding rumah bukan perkara asing dalam dunia keibubapaan. Ada ibu ayah yang tersenyum melihatnya sebagai tanda kreativiti, ada pula yang mengeluh memikirkan dinding yang perlu dicat semula. Namun di sebalik isu kecil ini, sebenarnya tersimpan persoalan besar tentang cara kita membimbing anak sejak awal.

Adakah membiarkan anak conteng dinding itu tanda sokongan terhadap kreativiti, atau petunjuk bahawa anak sedang membesar tanpa sempadan yang jelas?

Persoalan ini disentuh oleh Coach Parenting Mohd Fhais Salim menerusi satu perkongsian yang mengingatkan ibu bapa agar tidak terlalu longgar atas nama kebebasan.

Teguran Coach Parenting

Dalam perkongsiannya, Coach Parenting Mohd Fhais Salim menegaskan bahawa kebebasan tanpa panduan bukan satu bentuk pendidikan yang sihat.

“Tak elok sebenarnya biarkan anak berkembang dengan cara yang tak ada common sense.

Boleh salurkan kreativiti & seni anak tu pada saluran yang lebih molek.

Anak berkembang ke arah yang lebih disiplin & ada common sense.”

Perkongsian ini mengajak ibu ayah berfikir semula tentang peranan mereka dalam membentuk kreativiti anak  bukan dengan menyekat, tetapi dengan membimbing.

KOMEN IBU AYAH

Meninjau di ruangan komen pelbagai komen pro dan kontra mengenai pandangan coach parenting ini. Apa yang pasti, ibu ayah kena ambil peduli hal ini supaya memberi kesan positif bagi perkembangan anak untuk jangka masa panjang.

INFO PARENTING PA&MA

Apa Itu Common Sense Parenting?

Common Sense Parenting ialah pendekatan mendidik anak yang menekankan keseimbangan antara kasih sayang, kebebasan dan batas yang munasabah mengikut usia.

Ia membantu anak memahami:
• apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan,
• di mana sesuatu perbuatan sesuai dilakukan,
• serta bagaimana mengawal tingkah laku sendiri.

Dalam konteks kreativiti, common sense parenting bukan bermaksud melarang anak melukis atau berkarya, tetapi mengajar anak bahawa setiap kebebasan ada tempat dan caranya.

Mengapa Anak Suka Conteng Dinding?

Anak kecil belum mempunyai keupayaan untuk membezakan ruang dengan jelas. Bagi mereka, dinding, meja atau kertas kelihatan sama — semuanya ruang kosong untuk meluahkan imaginasi.

Masalah timbul apabila anak tidak diberi panduan yang konsisten tentang:
• di mana mereka boleh melukis,
• dan di mana mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.

Tanpa bimbingan, anak akan menganggap perbuatan itu sebagai sesuatu yang dibenarkan.

Untuk Elak Anak Conteng Dinding, Ini Peranan Ibu Ayah

1. Sediakan Saluran Kreativiti Yang Jelas
Sediakan kertas lukisan, papan putih, papan hitam atau sudut seni khas. Ulang arahan ringkas supaya anak faham tempat yang betul untuk melukis.

2. Tetapkan Peraturan Sejak Awal
Beritahu anak bahawa dinding bukan tempat melukis. Peraturan perlu konsisten dan tidak berubah ikut situasi.

3. Tegur Dengan Tenang, Bukan Emosi
Jika anak terconteng dinding, elakkan jeritan atau memalukan anak. Fokus pada perbuatan, bukan personaliti anak.

4. Ajar Tanggungjawab
Libatkan anak membersihkan contengan mengikut kemampuan usia. Ini membantu anak belajar tentang kesan perbuatan sendiri.

5. Jadi Contoh Yang Baik
Anak belajar melalui pemerhatian. Disiplin ibu ayah dalam perkara kecil akan membentuk disiplin anak secara semula jadi.

Isu anak conteng dinding bukan sekadar soal cat atau kekemasan rumah. Ia adalah cerminan awal tentang bagaimana anak memahami batas, peraturan dan tanggungjawab.

Kreativiti yang dibimbing akan membesar bersama disiplin dan common sense.
Kreativiti yang dibiarkan tanpa arah hanya akan mengelirukan anak tentang apa yang boleh dan tidak boleh.

Parenting bukan tentang membiarkan anak melakukan apa sahaja, tetapi tentang membimbing mereka menjadi insan yang tahu membawa diri.

Sumber: Mohd Fhais Salim

Published by
Nor Yusoff