Sesetengah ibu hamil akan mengalami masalah gigi semasa mengandung. Ketika ini ibu membuat andaian yang bayinya ‘menyedut’ kalsium dari giginya menjadi rapuh dan terpaksa dicabut.
Adakah kenyataan ini sebuah mitos atau kebenaran? Benarkah bayi dalam kandungan mengambil kalsium dari gigi ibunya sehingga ia menjadi rosak? Inilah penerangan dari Dr Mazwin Mazlan, Pegawai Pergigian berkenaan hal ini.
“Doktor saya tak larat nak cabut gigi dah doktor. Setiap kali saya mengandung sebatang gigi saya jadi korban kena cabut.”
“Ini anak saya yang ke 6, habis semua gigi geraham belakang dah tak ada. Dah kena cabut”
“Itulah bila mengandung ni habis kalsium gigi saya anak dalam perut saya ni serap, pasal itulah gigi saya semua rosak.”
Begitulah Kakak ini mengomel, bila berjumpa dengan doktor giginya.
1️⃣ Adakah benar kehilangan gigi akan terjadi pada setiap kehamilan?
Mitos mengatakan bahawa wanita akan kehilangan gigi pada setiap kehamilan. Tetapi dengan kebersihan mulut yang baik dan penjagaan berterusan kesihatan mulut profesional, gigi wanita hamil boleh kekal sihat.
2️⃣ Adakah bayi yang belum lahir benar-benar mencuri kalsium ibunya?
Satu lagi kepercayaan mengarut yang salah adalah bayi yang didalam kandungan mengambil kalsium dari gigi ibunya, yang menyebabkan kerosakan gigi. Ini tidak benar.
Ads
Semasa mengandung, wanita mungkin berisiko tinggi untuk merosakkan gigi kerana mereka makan lebih kerap untuk mengelakkan mual. Kerosakan gigi adalah 100% dicegah. Tetapi, jika tidak dirawat, kerosakan gigi boleh menyebabkan kesakitan dan boleh mengakibatkan kehilangan gigi.
Keadaan akan bertambah buruk kerana rata-rata ibu hamil 70-80% sedia ada mempunyai masalah gigi sebelum kehamilan lagi.
3️⃣ Adakah wanita hamil benar-benar mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk gingivitis?
Apabila wanita hamil, tubuh badan mereka melalui perubahan ketara. Ramai akan mengalami keadaan gusi mereka sakit, bengkak, dan terdedah kepada pendarahan. Ini adalah gejala gingivitis, sejenis jangkitan tisu gusi. Sesiapa sahaja boleh mengalami gingivitis.
Ads
Tetapi wanita hamil berisiko tinggi untuk gingivitis kerana perubahan hormon. Sekiranya gingivitis tidak dirawat, ia boleh menyebabkan penyakit gusi yang lebih serius yang boleh menyebabkan kehilangan gigi.
4️⃣ Bagaimana wanita hamil boleh mencegah kerosakan gigi dan gingivitis?
Cara terbaik untuk wanita hamil mencegah kerosakan gigi dan gingivitis adalah dengan penjagaan gigi dan gusi mereka supaya sentiasa bersih dan sihat. Pembersihan dengan menggunakan ubat gigi berflourida sekurang-kurangnya dua kali sehari, membersihkan celahan gigi dengan penggunaan floss (bebenang) atau interdental brush (sejenis berus gigi halus), dan mendapatkan pemeriksaan pergigian profesional adalah cara terbaik untuk mengekalkan gigi dan gusi wanita hamil. Mengelakkan makanan yang tinggi gula juga sangat membantu.
Jika kerosakan gigi terjadi, rawatan di klinik pergigian adalah satu-satunya cara ia boleh diberhentikan. Jika kerosakan gigi dan gingivitis dicegah atau dirawat, tidak ada sebab wanita hamil kehilangan gigi.
Soalan saya, kenapa baby boleh besar dalam kandungan? Bahaya ke baby besar? Ibu dari Moms To Be Club
Jawapan daripada Dr.Izzat, Doktor O&G
Macrosomia bayi terjadi disebakan si ibu ada kencing manis atau nama lain Gestational diabetes mellitus (GDM) yang tak terkawal.
Kalau ibu tu ada kencing manis dan kawalan gulanya tak bagus – tak patuh pada arahan diet atau permakanan pegawai pemakanan dan tak patuh pada insulin ( kalau ada ), gula dalam badan ibu akan sentiasa tinggi. Gula dalam darah yang tinggi ini akan dipindahkan kepada bayi melalui tali pusat dan menyebabkan tumbesaran bayi lebih besar dari perkadaran normal ( large for gestational age). Pembesaran bayi di mana beratnya lebih 4kg dipanggil macrosomia.
Kalau permakanan sahaja bukan penyebab langsung bayi besar. Tapi jika permakanan tak dijaga dan ibu ada kencing manis itu penyebabnya. Apa-apa pun permakanan seimbang diperlukan walaupun ibu tiada kencing manis.
Info tambahan
Kencing manis, jika dahulu merupakan satu penyakit yang hanya akan dihidapi oleh individu dewasa lebih berusia, namun, kini penyakit kencing manis boleh dialami oleh mana-mana individu tanpa mengira faktor usia, sama ada dewasa, kanak-kanak malahan ibu mengandung juga turut boleh mendapat kencing manis.
Adakah terdapat petua hilangkan kencing manis ketika mengandung? Ikuti artikel ini untuk mendapatkan lebih info.
Apa itu Kencing Manis?
Kencing manis atau turut dikenali sebagai Diabetes Mellitus (DM) secara ringkasnya merupakan satu masalah kesihatan yang berkaitan dengan kadar gula dalam darah yang tinggi.
Ia adalah satu keadaan yang mengganggu dan merosakkan keupayaan badan untuk memproses glukosa darah atau dikenali sebagai gula dalam darah.
Di Malaysia juga, kencing manis adalah penyakit yang sangat popular di negara ini. Jika ia dibiarkan secara berterusan, tanpa sebarang kawalan dan penjagaan yang lebih baik, kencing manis berisiko untuk menyebabkan pembentukan gula dalam darah, yang cenderung untuk meningkatkan risiko komplikasi penyakit kronik dan berbahaya seperti strok (angin ahmar) dan penyakit jantung.
Secara umumnya, seperti apa yang sering menjadi kepercayaan umum, penyakit kencing manis sering dianggap sebagai penyakit yang akan menyerang individu dewasa yang lebih berusia. Tapi hakikatnya, penyakit kencing manis ini juga boleh berlaku dan bermula dari zaman kanak-kanak.
Penyakit berkaitan gula dalam darah ini boleh dibahagikan kepada dua subkategori utama; Diabetes Jenis 1 dan Diabetes Jenis 2.
#Diabetes Jenis 1
-Biasanya didiagnosis dalam zaman kanak-kanak
-Tidak semestinya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
-Biasanya dikaitkan dengan kadar keton yang tinggi
-Dirawat dengan suntikan atau pam insulin
-Tidak dapat dikawal tanpa pengambilan insulin
-Diabetes jenis 1 merupakan suatu penyakit autoimun, yang mana sistem imun merosakkan sel-sel yang sihat dalam badan. Dalam kes ini, sistem imun merosakkan sel beta dalam pankreas sehingga pankreas tidak dapat menghasilkan insulin sendiri.
Walau bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang menjelaskan kenyataan tersebut. Diabetes jenis 1 memerlukan suntikan insulin secara kerap untuk mengimbangi kematian sel beta, jadi semua pesakit diabetes jenis 1 adalah bergantung pada insulin.
#Diabetes Jenis 2
-Biasanya didiagnosis pada umur 30 tahun ke atas
-Biasanya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
-Biasanya dikaitkan dengan tekanan darah dan/ atau tahap kolesterol yang tinggi
-Rawatan awal adalah tanpa perubatan atau pil sebagai ubat kencing manis
-Berkemungkinan dirawat tanpa perubatan diabetes
Dalam kes diabetes jenis 2, sistem imun tidak merosakkan sel beta. Sebaliknya, diabetes jenis 2 dikategorikan sebagai ketidakupayaan badan untuk bertindak kepada insulin, yang juga dikenali kerintangan insulin dan insulin malsecretion.
Berbeza dengan diabetes jenis 1, diabetes kategori ini berlaku disebabkan oleh kerintangan insulin dan boleh juga ada kekurangan penghasilan insulin. Kerintangan insulin ini menyebabkan penghasilan glukosa daripada hati meningkat, pengurangan penggunaan glukosa oleh pelbagai organ-organ penting, peningkatan penyerapan semula glukosa oleh buah pinggang dan juga pengurangan penghasilan hormon incretin.
Namun, apakah pula kategori bagi kencing manis yang dihidapi oleh individu wanita mengandung? Ikuti penjelasan selanjutnya.
Punca Kencing Manis ketika Mengandung
Kenapa GDM ini berlaku secara spesifik pada tempoh kehamilan, di mana ibu hamil berisiko mendapat masalah paras gula yang tidak terkawal? Dan kenapa ia tidak boleh dirawat seperti diabetes jenis 1 atau jenis 2? Ia adalah disebabkan patofisiologi GDM.
1. Patofisiologi.
Kehamilan diiringi oleh ketahanan insulin, diselia terutamanya oleh rembesan plasenta hormon diabetogenik termasuk hormon pertumbuhan, hormon pelepasan kortikotropin, laktogen plasenta (somatomammotropin chorionic), prolaktin, dan progesteron. Perubahan-perubahan metabolik ini dan lain-lain memastikan bahawa janin mempunyai bekalan nutrien yang mencukupi.
Gestational diabetes mellitus berkembang semasa kehamilan pada wanita yang fungsi pankreas tidak mencukupi untuk mengatasi rintangan insulin yang berkaitan dengan keadaan hamil.
2. Rintangan Insulin.
Kesan insulin terganggu disebabkan oleh pelbagai hormon (seperti estrogen, kortisol dan human placental lactogen) dihasilkan oleh uri atau plasenta. Semakin plasenta membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi.
3. Kandungan glukosa yang berlebihan dalam darah.
Proses pencernaan glukosa di dalam aliran darah dikawal atur oleh insulin. Kekurangan insulin menyebabkan glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan diabetes mellitus.
Faktor-faktor Risiko
Setiap individu wanita yang sedang hamil, mempunyai risiko untuk mendapat diabetes gestasi ini. Tetapi terdapat beberapa faktor yang menjadikan sesetengah individu wanita berdepan risiko yang lebih tinggi. Antara faktor-faktornya adalah seperti:
Petua Hilangkan Kencing Manis ketika Mengandung – bmi
-Individu yang berusia lebih daripada 25 tahun
-Mempunyai sejarah keluarga atau peribadi. Risiko untuk anda menghadapi GDM akan meningkat jika anda mempunyai prediabetes, iaitu keadaan di mana kandungan gula dalam darah yang sedikit tinggi dan menjadi penanda kepada diabetes jenis 2. Sekiranya pada kehamilan sebelum ini anda mendapat GDM, maka risiko untuk mendapat kembali masalah ini adalah tinggi.
-Berat badan yang berlebihan. Masalah obesiti adalah sangat berkaitan dengan diabetes. Jadi kecenderungan untuk mendapat GDM adalah tinggi jika BMI anda 30 atau lebih daripada itu.
-Etnik. Ia adalah satu faktor yang sukar untuk diperjelaskan. Tetapi sekiranya anda adalah wanita berkulit hitam, Hispanik, Indian Amerika atau Asia, risiko untuk mendapat GDM adalah tinggi.
Bahaya Kencing Manis ketika Mengandung
Seperti yang dimaklumkan di atas, masalah kesihatan ini bukanlah satu masalah yang boleh dipandang ringan dan dibiarkan tanpa sebarang rawatan. Ini kerana terdapat beberapa risiko pada kesihatan yang mungkin boleh berlaku kepada ibu hamil.
Antaranya seperti pendarahan, pitam, risiko melahirkan anda bersaiz besar. Antara risiko lain yang mungkin terjadi adalah seperti:
1.Makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih). Bayi berkemungkinan akan menghadapi kecederaan di bahu semasa kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean.
2.Bayi anda mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia).
3.Bayi juga mudah terdedah kepada jaundis atau demam kuning yang berpanjangan.
4.Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.
5.Ibu berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, diabetik ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit.
6.Mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.
7.Ibu berisiko tinggi mendapat preeklampsia (darah tinggi) dan tumpah darah.
Petua Hilangkan Kencing Manis ketika Mengandung
Setiap penyakit atau masalah kesihatan pasti akan ada cara untuk mengatasinya atau paling tidak kaedah yang boleh diikuti untuk mengawal sesuatu permasalahan penyakit. Berikut adalah antara beberapa petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh anda cuba dan ikuti.
1. Ubah diet pengambilan makanan seharian
Petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang paling utama adalah dengan melakukan perubahan dalam pemakanan yang anda makan. Diet yang penuh nutrisi adalah salah satu cara terbaik untuk mengawal gula darah. Wanita hamil perlu mengehadkan makanan yang mempunyai kadar gula dan karbohidrat yang tinggi.
Sebaliknya, ibu perlu makan pelbagai jenis makanan seperti kanji, zat besi, vitamin, dan makanan rendah lemak. Makan tiga hidangan kecil dan satu hingga tiga makanan ringan setiap hari. Wanita yang mengandung juga harus makan banyak makanan kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, beras bijirin penuh, roti. Ibu hamil obes yang didiagnosis dengan diabetes gestasi harus bermula dengan diet 30 kcal/kg hari.
Doktor mungkin mencadangkan anda bertemu pakar diet berdaftar untuk membantu anda membuat pelan diet yang boleh anda ikut. Ia perlu bagi menangani kencing manis ketika mengandung, tetapi masih membekalkan kalori dan nutrien yang cukup untuk bayi anda.
Di bawah adalah beberapa tip memilih makanan baik yang boleh anda ikuti:
-Makanan bijirin penuh seperti roti gandum penuh
-Pilih makanan rendah GI, Indeks Glisemik- adalah bagaimana mengukur makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan glukosa darah, seperti pasta yang diperbuat daripada tepung gandum, epal, oren, kekacang, jagung manis dan bubur.
-Henti minum minuman manis
-Pilih makanan yang dipanggang, bukannya digoreng
-Amalkan makanan berserat seperti perbanyakan pengambilan sayuran berdaun hijau dan buah-buahan
2. Makan secara tetap
Apabila sudah mengetahui pelan pemakanan yang baik untuk anda ikuti ketika sedang hamil, anda juga perlu memastikan anda mempunyai jadual pemakanan secara tetap dan elakkan daripada melangkau sebarang waktu hidangan makanan walau sesibuk mana anda dalam melaksanakan pekerjaan harian anda.
Maka petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang harus diamalkan adalah untuk makan 3 kali hidangan makanan yang bersaiz kecil atau sederhana. Jangan mengambil sesuatu hidangan makanan dalam kuantiti yang besar dan banyak. Jika perlu, anda juga boleh untuk menambah waktu pengambilan snek dalam pemakanan harian anda.
Berikut adalah panduan waktu pemakanan yang dicadangkan untuk diikuti:
Disarankan makan pada 3 waktu makan utama iaitu :
-Sarapan pagi antara jam 6.30 pagi hingga 8.00 pagi
-Makan tengah hari antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 petang
-Makan malam antara jam 6.30 petang hingga 7.00 malam
Waktu untuk mengambil makanan snek, ambilnya di antara waktu makan utama:
-Minum pagi antara jam 10.30 pagi hingga 11.00 pagi
-Minum petang antara jam 4.00 petang hingga 4.30 petang
-Minum malam antara jam 10.00 malam hingga 10.30 malam
Cuba makan pada masa yang sama setiap hari dan pada jumlah yang sama setiap kali. Ini dapat membantu tahap gula dalam darah anda kekal stabil. Cara ini boleh dianggap sebagai petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh diamalkan.
Berikut adalah beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan, seperti semua jenis gula, minuman berkarbonat, kordial, sirap, jem, kaya,kuih manis, aiskrim, susu pekat manis, yogurt manis, buah dalam tin, jeli dan lain-lain.
Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh diambil tetapi perlu dikawal kuantiti pengambilannya seperti bijirin, nasi, roti, biskut, kuih yang tidak manis, semua jenis pasta dan mi, capati, roti canai, tosai, semua jenis ubi, kekacang, susu dan buah-buahan.
3. Aktiviti fizikal
Siapa kata wanita mengandung tidak perlu melakukan sebarang aktiviti fizikal atau bersenam? Risau senaman akan mendatangkan mudarat kepada kandungan? Itu pastinya mitos yang terlalu karut untuk dipercayai.
Ini kerana individu wanita yang hamil juga perlu untuk melakukan aktiviti fizikal untuk mengekalkan tahap kesihatan pada paras yang terbaik. Doktor mungkin mengggalakkan supaya anda menambah senaman kepada rutin mingguan anda, kerana ia adalah baik untuk anda dan bayi.
Senaman pastinya merupakan satu aktiviti fizikal yang dapat membantu menurunkan tahap gula dalam darah dengan berfungsi mengangkut gula ke sel untuk digunakan sebagai sumber tenaga. Mengamalkan senaman juga dapat meningkatkan kepekaan terhadap insulin, yang bermakna badan tidak memerlukan insulin untuk membantu membawa gula ke sel-sel badan.
Senaman juga pastinya dapat membantu mengurangkan rasa ketidakselesaan semasa kehamilan seperti sakit belakang, kekejangan dan lain-lain.
Bersenam semasa hamil adalah tidak salah, tetapi apa yang perlu diutamakan adalah ibu yang mengandung perlu memilih senaman yang bersesuaian dengan keadaan fizikal semasa. Senaman ringan dan mudah seperti berjalan kaki, aerobik, berbasikal dan berenang adalah antara aktiviti fizikal yang digalakkan untuk dicuba.
Lakukan aktiviti fizikal ini secara tetap dan teratur selama 15 sehingga 30 minit setiap hari. Ini bukan sahaja petua hilangkan kencing manis ketika mengandung, sebaliknya ia juga dalam masa yang sama membantu menjaga tahap kesihatan anda.
Ini akan membantu badan anda menggunakan insulin dengan lebih baik, dan membantu mengawal paras gula darah. Anda juga boleh bertanya kepada doktor anda mengenai senaman yang bersesuaian untuk dicuba serta dan kekerapan senaman yang boleh dilakukan oleh wanita hamil.
4. Pantau tahap gula dalam darah
Selain petua hilangkan kencing manis ketika mengandung dengan mengubah diet pengambilan makanan seharian, antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang perlu untuk dilakukan setiap hari adalah untuk memeriksa dan memantau paras gula dalam darah sentiasa dalam keadaan terkawal. Anda perlu menguji tahap gula dalam darah anda secara teratur, sebelum makan dan antara 1 atau 2 jam selepas pengambilan sebarang hidangan makanan utama.
Anda boleh melakukan pemeriksaan tahap gula dalam darah di rumah dengan mendapatkan alat pengukur meter glukosa darah yang boleh digunakan di rumah dan pastinya ia akan membantu anda untuk memudahkan kerja pemantauan paras gula dalam darah anda. Namun, sekiranya anda tidak mempunyai alat pengukur meter glukosa darah, doktor mungkin akan mencadangkan anda untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik.
Terdapat juga sesetengah individu wanita hamil memerlukan rawatan insulin. Kira-kira 15% wanita mengandung yang menghidap kencing manis memerlukan insulin untuk mencapai tahap glukosa darah secara berterusan.
Insulin adalah hormon yang digunakan untuk merawat diabetes dengan mengawal gula dalam darah. Jika diet dan senaman tidak cukup untuk mengimbangi gula dalam darah, wanita hamil akan disuntik dengan insulin supaya jumlah glukosa dalam darah kembali ke tahap yang selamat.
Bagi sesetengah wanita, jenis ubat-ubatan seperti glyburide juga merupakan pilihan.
5. Pengambilan vitamin C dan D
Antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung adalah dengan memperbanyakkan pengambilan vitamin C dan D. Kekurangan vitamin C dikatakan mempunyai hubungan kait secara langsung dengan masalah kesihatan kencing manis semasa hamil.
Terdapat kajian yang dilakukan kepada wanita yang hamil, menunjukkan bahawa individu wanita yang menghidap penyakit kencing manis semasa tempoh kehamilan dan memperbanyakkan pengambilan vitamin C secara tetap akan kurang untuk berdepan risiko mengalami diabetes jenis 2.
Vitamin D pula merupakan nutrien penting yang diperlukan dalam beberapa proses dan fungsi dalam badan kita. Penyerapan vitamin dan nutrien yang penting seperti kalsium, besi, magnesium, dan fosfat dapat dilakukan dengan memaksimumkan penyerapan nutrien makanan yang kaya dengan vitamin D.
Hamil bermakna bahawa ia bukan mengenai anda sahaja lagi. Mulai sekarang, keselamatan bayi dalam kandungan anda harus diberi keutamaan dari apa jua keputusan yang anda buat. Oleh itu, ikuti gaya hidup yang sihat, lakukan senaman dan pantau paras glukosa darah anda adalah apa yang harus anda tumpukan semasa anda mengandung.
Mengalami GDM ketika hamil membuatkan anda cenderung untuk mengembangkan diabetes jenis 2, tetapi ia tidak semestinya akan berlaku. Apa yang penting anda perlu menjaga tahap kesihatan anda dengan lebih baik sekiranya anda dikesan mengalami masalah kencing manis ketika sedang hamil. Jangan lupa untuk mengamalkan dan mengikuti petua hilangkan kencing manis ketika mengandung!
Dalam video yang dikongsi di TikTok, pempengaruh media sosial Nilam Ortiz dilihat memanggil suaminya, pelakon Azlan Komeng, untuk naik ke bilik. Pada waktu itu, Azlan langsung tidak mengetahui bahawa Nilam sedang merancang kejutan dan secara diam-diam merakam detik istimewa itu.
Hadiah Istimewa Dalam Kotak Hitam Sebaik saja Azlan masuk ke bilik, Nilam memberitahu dia ada belikan hadiah. Azlan yang terpinga-pinga sempat bertanya, “Hadiah apa?” sebelum Nilam meminta suaminya untuk membuka kotak berwarna hitam di atas katil.
Apa yang tersimpan dalam kotak itu ternyata membuatkan Azlan terdiam sejenak, namun sempat melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Rupa-rupanya di dalam kotak tersebut ada alat ujian kehamilan (UPT) yang menunjukkan keputusan positif.
Reaksi Azlan: Terkejut, Syukur & Penuh Kasih Sayang Melihat keputusan itu, Azlan terkejut dan terus bertanya sama ada berita itu benar. Nilam hanya mengangguk dengan senyuman yang penuh makna. Dalam suasana yang penuh emosi itu, Azlan terus mengucapkan rasa syukur dan memeluk isterinya dengan erat. Momen manis ini sememangnya buat ramai yang menonton sebak dan tersentuh.
“Sekarang, aku hadiahkan tangisan bahagia, Kita pernah hampir putus asa, pernah rasa, mungkin kita bukan orang yang dipilih. Tapi Tuhan tahu, sabar kita itu layak diberi hadiah dari syurga..”
Sinar Baharu Selepas Kehilangan Lama Apa yang membuatkan momen ini lebih menyentuh hati ialah latar belakang pasangan ini yang pernah berdepan dengan kisah duka, kehilangan anak mereka dua tahun lalu. Kehamilan ini hadir sebagai satu anugerah terindah selepas pelbagai ujian dan kesedihan yang mereka lalui bersama dalam perkahwinan mereka berdua.
Hamil Pada Usia 45 Tahun, Bukti Tiada Yang Mustahil Kini, pada usia 45 tahun, Nilam menerima rezeki yang sangat didambakan. Kisah pasangan ini menjadi sumber inspirasi buat ramai wanita di luar sana, terutama yang masih berjuang untuk mendapatkan zuriat.
Ia mengingatkan kita bahawa walaupun perjalanan itu panjang dan penuh air mata, rezeki tetap akan hadir, tepat pada waktu yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa.
Tonton video ini;
Tahniah kepada Nilam dan Azlan, semoga perjalanan kehamilan kalian berdua sentiasa dalam lindungan-Nya dan dipermudahkan selalu!
Merasa pergerakan bayi dalam kandungan untuk kali yang pertama adalah detik yang sangat mengujakan dan memang sangat istimewa buat ibu.
Macam mana pergerakan bayi yang dikatakan normal ?
Kebanyakan wanita hamil akan pertama kali merasakan pergerakan bayi mereka ketika 18 hingga 20 minggu usia kandungan. Walau bagaimanapun, jika ini adalah kandungan yang pertama, ibu mungkin akan mula menyedarinya dalam kira-kira minggu ke-18 hingga minggu ke-20, atau lebih lewat. Sebaliknya jika anda pernah hamil sebelum ini, pergerakan bayi boleh dirasai daripada kira-kira minggu ke-15 dan minggu ke-18.
Gerakan menendang, atau perasaan ketukan lembut pada perut anda, tanpa anda sedari sebenarnya adalah sebenarnya pergerakan bayi itu.
Dengan perkembangan bayi, kebiasaannya pergerakan bayi juga akan turut berubah. Bayi anda akan bergerak lebih agresif sewaktu tengah hari dan petang. Manakala pada awal pagi dan malam, bayi anda akan mempunyai masa ‘tidur’ yang kebiasaannya dalam jangka masa 20 hingga 40 minit dan tidak melebihi 90 minit. Pada ketika ini bayi anda tidak akan bergerak. Bayi juga macam kita, perlukan masa berehat sebentar.
Pergerakan bayi akan meningkat sehingga 32 minggu kandungan dan kadar pergerakan akan menjadi statik sehingga saat dijangka bersalin. Menjelang penghujung kehamilan, bayi anda akan berehat selama kira-kira 45 minit sekali. Waktu rehatnya ini mungkin bagi anda terasa lebih panjang kerana anda tidak akan dapat merasa setiap pergerakan yang dilakukannya.
Lazimnya, jika anda terlalu sibuk dengan kerja seharian, ibu mungkin terlepas mengira atau merasakan pergerakan bayi anda. Walau bagaimanapun, apa yang paling penting adalah ibu perlu merasa pergerakan bayi sehingga saat kelahirannya.
Apakah kepentingan pergerakan bayi?
Semasa kehamilan, pergerakan bayi yang baik memberikan isyarat kepada ibu bahawa bayi berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan. Jika berlaku perubahan pada pergerakan bayi, ianya mungkin tanda-tanda awal bayi anda tidak sihat dan memerlukan perhatian doktor. Maka bersegeralah ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Jangan tunggu esok lusa atau minggu depan.
Berapakah tendangan yang patut ibu rasakan dalam satu hari?
Tidak ada jumlah tendangan yang tetap yang perlu anda rasa. Sebenarnya tak perlu pun untuk tulis rekod tentang carta pergerakan bayi, asalkan ibu rasa pergerakan bayi pada setiap hari adalah sama seperti hari-hari kebiasaanya. Ada ibu terlupa nak catat carta pergerakan, sebab terlalu sibuk dengan kerja seharian. Tak mengapa persepsi ibu yg penting. Ibu lebih tahu bayinya bergerak ok atau tak.
Ibu digalakkan untuk memahami corak pergerakan bayi anda. Semakin lanjut kehamilan anda, semakin mudah untuk anda mengenal pasti corak pergerakan bayi. Setiap bayi mempunyai corak tidur dan jaga (awake) yang berlainan; lambat laun anda dapat mengenal pasti apa yang normal bagi bayi anda. Jika anda mengesan sebarang ketaknormalan pada coraknya, sila dapatkan perhatian doktor dengan segera.
Apakah yang perlu saya lakukan jika pergerakan bayi kurang atau tidak memuaskan?
Sentiasa dapatkan perhatian doktor dengan segera. Jangan abaikan pula masalah ini dengan mengambil keputusan untuk menyambung tidur. Bayi mungkin dalam bahaya.
Pemeriksaan serta bentuk rawatan yang akan diberikan kepada anda bergantung kepada usia kandungan anda.
Usia kandungan kurang 24 minggu
Kebanyakan wanita hamil hanya menyedari pergerakan bayi mereka dalam usia kandungan 18 hingga 20 minggu. Jika pada 24 minggu, anda masih tidak merasai pergerakan bayi, anda seharusnya menghubungi kakitangan perbidanan (doktor atau jururawat) dan mereka akan memeriksa degupan jantung bayi dan akan menjalankan ujian ultrasound untuk memastikan bayi dalam keadaan yang baik.
Usia kandungan berusia 24 hingga 28 minggu
Kakitangan perbidanan akan memeriksa degupan jantung bayi anda. Anda akan menjalani pemeriksaan keseluruhan antenatal, tekanan darah ibu dan kehadiran albumin dalam air kencing akan turut diperiksa. Ketinggian rahim juga akan diukur; jika tinggi rahim ini lebih kecil daripada usia kandungan anda, ujian ultrasound akan dilakukan untuk mengetahui kadar perkembangan bayi, dan seterusnya akan ditandakan ke atas graf tumbesaran bayi.
Usia kandungan melebihi 28 minggu
Anda seharusnya menghubungi kakitangan perbidanan terdekat anda secepat mungkin. Jangan berlengah lagi, mahupun menunggu hari esoknya untuk mengambil tindakan. Anda akan ditanya sekali lagi mengenai pergerakan bayi anda. Degupan jantung bayi akan diperiksa menggunakan mesin CTG selama 20 minit. Sekiranya keputusan pemeriksaan CTG adalah normal, bayi anda berada dalam keadaan yang baik dan ada akan dibenarkan pulang selepas pemeriksaan ultrasound menunjukkan kuantiti air mentuban mencukupi dan kadar pembesaran bayi anda normal.
Jika terdapat masalah pada CTG ataupun ujian ultrasound, doktor akan berbincang dengan ibu mengenai rawatan susulan yang diperlukan. Jika bayi berada dalam keadaan bahaya, bayi anda mungkin perlu dilahirkan dengan kadar segera. Ini semua bergantung pada usia kandungan serta tahap perkembangan bayi tersebut.
Bagaimana jika setelah saya dibenarkan pulang, pergerakan bayi kembali mengurang?
Jika anda dibenarkan pulang, anda seharusnya mengambil tahu pergerakan bayi anda dari masa ke semasa. Jika berulangnya masalah pergerakan bayi kurang, jangan berasa ragu-ragu untuk ke hospital dengan SEGERA, biarpun masalah anda ini berulang-ulang untuk yang ke sekian kalinya. Kami sedia membantu anda.
Ingat, jangan tunggu esok, lusa, tulat, minggu depan kalau baby kurang gerak. Jumpa Dr segera. Terima kasih Ibu atas keprihatinan anda !
Tragedi kanak-kanak maut dirempuh kereta di Kota Kuala Muda menyentuh hati ramai apabila mangsa berusia 7 tahun maut ketika melintas jalan menuju ke gerai.