
Jangan buat main anak demam lebih tiga hari, lebih-lebih lagi apabila sudah diberi ubat demam tetapi suhunya masih tidak kebah. Keadaan ini sering membuatkan ibu bapa risau, namun masih ada yang memilih untuk menunggu dan hanya bergantung kepada ubat semata-mata.
Hakikatnya, anak demam lebih tiga hari bukan sesuatu yang wajar dipandang ringan. Jalan terbaik adalah dengan segera membawa anak berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut dan rawatan yang sesuai.
Ikuti nasihat daripada Dr Ezairy M. Sallih, seorang Doktor Otorinolaringologi (ENT), yang berkongsi panduan penting agar ibu bapa lebih peka dalam memantau kesihatan anak-anak.
“Doktor, anak saya sudah tiga hari demam, sakit tekak dan hari ini tak boleh makan, bahaya tak doktor?”
“Ibu saya dah dua bulan ada ketulan kat leher dia, tekan tak sakit, kena buang tak, doktor?”
Soalan-soalan seperti ini bukanlah jarang saya terima. Setiap hari, puluhan mesej masuk melalui media sosial dan emel berkaitan kebimbangan kesihatan seperti ini. Namun, jawapan yang diberikan secara umum tidak mampu menggantikan pemeriksaan sebenar oleh doktor.
Perlu difahami bahawa untuk mengenal pasti punca sebenar anak demam lebih tiga hari atau sebarang simptom lain, diagnosis yang tepat memerlukan beberapa langkah penting.
Sejarah kesihatan lampau pesakit perlu diketahui dengan jelas. Antaranya termasuk penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sejarah strok atau penyakit kronik lain. Maklumat ini sangat penting bagi memastikan rawatan yang diberikan selamat dan sesuai.
Selain itu, gejala dan simptom terkini pesakit juga perlu diterangkan secara terperinci. Tanpa maklumat lengkap, diagnosis tepat sukar diperoleh walaupun pesakit hanya mengadu demam yang berpanjangan.
Doktor perlu melihat sendiri keadaan keseluruhan pesakit. Ini termasuk cara pesakit berjalan, pernafasan, penggunaan alat bantuan seperti kerusi roda dan tahap kesedaran pesakit.
Semua pemerhatian ini tidak boleh dilakukan melalui perbualan atas talian sahaja. Inilah sebab utama mengapa anak demam lebih tiga hari perlu diperiksa secara fizikal oleh doktor.
Jika pesakit mengadu masalah pada telinga, hidung atau tekak, doktor akan melakukan pemeriksaan lebih terperinci di kawasan tersebut. Pemeriksaan ini dilakukan selepas pemeriksaan umum.
Contohnya, doktor akan menilai warna tekak, kehadiran bengkak, keadaan gigi, struktur tonsil dan kawasan sekelilingnya. Pemeriksaan sentuhan atau palpation juga dilakukan bagi mengenal pasti ciri pembengkakan dengan lebih tepat.
Pembengkakan pada leher boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti jangkitan kuman, ketumbuhan benign atau kemungkinan kanser. Semua ini memerlukan pemeriksaan secara dekat oleh doktor.
Selepas pemeriksaan fizikal, doktor akan mendapat gambaran awal tentang penyakit yang dialami. Seterusnya, ujian tambahan seperti ujian darah, x-ray atau imbasan akan dilakukan jika perlu.
Walau bagaimanapun, ada juga kes di mana diagnosis klinikal sahaja sudah mencukupi tanpa memerlukan ujian lanjut.
Oleh itu, jika anak demam lebih tiga hari atau anda mengalami sebarang simptom yang merisaukan, jangan berlengah untuk mendapatkan pemeriksaan doktor. Tidak semua persoalan boleh dijawab secara terperinci melalui media sosial.
Menjadi satu kesalahan bagi mana-mana petugas kesihatan untuk memberi diagnosis tanpa pemeriksaan fizikal. Kesihatan bukan perkara untuk dibuat percubaan.
Moga perkongsian ini bermanfaat dan dapat membuka mata lebih ramai ibu bapa agar tidak memandang ringan isu kesihatan anak-anak. Sebarkan maklumat ini supaya lebih ramai yang kita sayang mendapat rawatan tepat pada masanya.
Sumber:Dr Ezairy M.Sallih