Siapa ada anak umur 2 tahun tentu mengalami perasaan rasa nak cepat marah pada mereka. Kadang-kadang kita pun tak faham dengan perangai anak umur 2 tahun. Suka hati dia sahaja nak meraung atau mengamuk kalau ada sesuatu yang tak kena di hatinya.

Jom semak perangai anak anda yang berusia 2 tahun ni. Ada yang sama tak?

Setiap anak adalah berbeza. Ada kanak-kanak agak sensitif, ada pula yang sangat periang. Begitu juga halnya dengan perkembangan mereka. Ada yang cepat belajar ada yang agak perlahan.

Tetapi secara amnya, jika anak anda berusia 2 tahun, anda boleh jangkakan beberapa kelakuan ini:

* Tantrum.

* Cepat mengamuk.

* Mengakui semua barang adalah miliknya (walaupun kepunyaan orang lain).

* Semua benda “dia nak buat sendiri”.

* Masih lagi mahu dimanjakan seperti ‘baby’.

* Merasakan diri sudah besar, rasa sedih dan kecewa bila menyedari yang dia belum pun besar.

* Sukar untuk berkongsi, menunggu, mengambil giliran.

* Sukar dengan perubahan.

* Menukar tabiat makan dan tidur.

Bila sudah kenal pasti perangai si kecil maka mudahlah sedikit hendak membuat tindakan jika dia ‘buat perangai’.

IKLAN

Apa nak buat?

Memang tak mudah untuk menahan sabar bila berhadapan dengan kerenah si kecil yang serba tak kena. Tangan rasa cepat sahaja hendak memukul dan menghukumnya atau membuat tindakan tidak menghiraukannya. Mana satu cara yang betul untuk mengajar mereka?

Sebenarnya anak memerlukan bantuan papa dan mama untuk mengawal emosi dirinya. Mereka masih belum faham banyak perkara termasuk penerangan kita kenapa tak boleh buat perangai. Untuk melakukannya, anda memerlukan beberapa strategi, tip dan ‘tricks’ yang betul.

10 tip berikut boleh diamalkan oleh anda berdua semasa berhadapan dengan situasi si kecil 2 tahun yang sukar dijangka.

1. Empati

Kita mungkin tak peduli dengan warna cawan yang hendak digunakan untuk minum air tetapi tidak bagi si kecil! Jika cawan warna hijau itu adalah kegemarannya dan anda bagi dia minum air menggunakan cawan lain maka si kecil akan marah dan mengamuk. Cuba letakkan diri anda ke dalam dirinya.

2. Hadkan kata-kata “jangan”

Mungkin perkataan itu hanya sesuai untuk situasi yang benar-benar berbahaya dan serius sahaja. Sebaliknya gunakan ayat arahan. “Ini pen mama, jom cari pensel warna Aina punya.” atau tukarkan perkataan “jangan” kepada “ya” dengan satu syarat. Contohnya, “Aina boleh pergi main kat taman kalau tukar pampers dulu!”

Jangan Cepat Marah Pada Anak 2 Tahun. Amal 10 Tip Ini Bila Membesarkan Mereka

IKLAN

3. Buat pemerhatian

Kanak-kanak belajar melalui perbuatan. Daripada anda penat menyuruhnya buat sesuatu tapi tak dipedulikan, lebih baik anda cakap tentang perkara yang dah berlaku. Contohnya, “Kesiannya buku-buku ni terjatuh daripada rak…mesti sakit dia. Jom kita susun buku ni semula. Mesti dia seronok.” Ia sesuai bila si kecil menyepahkan buku-buku di rak rumah anda.

4. Mengajar

Bertindaklah sebagai guru kepada anak. Sentiasa penuhkan masa lapang mereka dengan meneroka perkara baru atau berlatih buat sesuatu yang menggembirakan.

5. Bergurau-senda

Kadang-kala anda perlu mengikut rentak si kecil. Jangan terlalu serius sangat. Sesekali apa salahnya gembirakan hati si kecil. Mungkin anda boleh berlakon menjadi ‘raksasa’ dan mengejarnya atau pakai seluar anak di kepala dan berlakon watak yang lucu. Anak akan rasa gembira dan tak sempat hendak buat perangai.

Jangan Cepat Marah Pada Anak 2 Tahun. Amal 10 Tip Ini Bila Membesarkan Mereka

 

IKLAN

6. Bantu mereka suarakan perasaan

Anak anda mungkin tak pandai lagi memberitahu perasaannya dalam cara yang rasional dan logik tentang sesuatu hal. Contohnya bila dia meragam tak nak pakai kasut mungkin dia rasa tak selesa jadi cuba anda bantu dia suarakan perasaannya, “Kasut adik dah ketat ya.”

7. Tetapkan had berserta penjelasan

Bantu anak anda untuk merasa selamat dengan menjelaskan beberapa had dalam kehidupannya seperti “tak boleh pegang air panas nanti tangan luka. cuba tengok budak ini” (sambil tunjuk video budak melecur kena air panas).

8. Buat perancangan

Kanak-kanak bergerak dalam rentak mereka sendiri. Kadangkala ia memerlukan kesabaran yang tinggi daripada anda. Daripada anda asyik memaksa mereka bergerak cepat, lebih baik anda sendiri yang merancang masa tambahan bila hendak keluar. Ini dapat mengelakkan anda merasa marah kerana anak lambat dan anak juga tidak cepat mengamuk bila anda asyik menggesanya.

9. Ubah persekitaran

Kadangkala kita yang dewasa perlu menyesuaikan diri dengan si kecil yang sukar faham kehendak orang dewasa. Daripada anda asyik menghalang dan marahkan anak menyentuh barangan berbahaya dalam rumah lebih baik anda gunakan kreativiti menyembunyikan atau menjauhkan barangan tersebut dari jangkauan mereka.

Jangan Cepat Marah Pada Anak 2 Tahun. Amal 10 Tip Ini Bila Membesarkan Mereka

10. Galakkan berdikari

Anak anda mungkin berkebolehan berbanding apa yang anda jangkakan. Kanak-kanak belajar banyak daripada kesukaran dan cabaran. Berikan mereka peluang dan dalam masa yang sama pantau keselamatan si kecil. Mereka akan lebih berdikari dan bijak berfikir.

Masa akan mengubah tingkah laku anak anda. Semakin dia membesar, si kecil akan berhenti memanggil keretapi “choo-choo” dan kucing “meow”. Mereka akan berhenti meminta anda menyuapkan anak patung mereka makan!

Nanti anda yang akan rindukan kelakuan si kecil ini. Jadi, jangan cepat marah, bersabarlah melayan kerenah si budak 2 tahun.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI