Ada sesetengah ibu mengandung yang tidak boleh minum susu yang diformulasi khas untuk wanita hamil. Mungkin kerana rasanya yang berlemak atau perisanya yang tidak kena dengan selera, membuatkan mereka merasa muak ketika meminumnya. Bolehkah sekiranya ibu mengadung minum susu UHT yang dipasteur bagi menggantikan susu khas wanita hamil?
Ibu hamil amat memerlukan nutrisi seimbang demi memastikan tahap kesihatan diri dan pertumbuhan bayi berada pada tahap optimum selaras dengan umur kehamilan. Keperluan nutrien semasa hamil meningkat, terutamanya semasa trimester kedua dan ketiga. Selain karbohidrat, puan juga memerlukan protein, lemak, kalsium, asid folik, zink, Vitamin B, C, D, E dan pelbagai mikronutrien lain.
Semasa hamil, ibu memerlukan lebih kurang 1,000mg kalsium setiap hari. Menurut laporan USDA, ibu hamil disyorkan untuk mengambil tiga cawan susu atau produk tenusu setiap hari. Secawan susu mengandungi kira-kira 305mg kalsium. Maka, tiga cawan susu dapat membantu ibu hamil memenuhi keperluan kalsium harian yang diperlukan.
Susu merupakan sumber kalsium yang penting. Kalsium yang terkandung dalam susu penting untuk pembentukan gigi dan tulang bayi dalam kandungan. Selain itu, kalsium juga memiliki peranan penting dalam membantu melancarkan rangsangan pada saraf dan otot bayi. Selain kalsium, susu juga mengandungi vitamin D, nutrisi penting untuk mencegah masalah bayi kurang berat dan pertumbuhan bayi terbantut (IUGR) dan mengurangkan risiko ibu hamil mendapat penyakit praeklampsia.
Di samping itu, susu juga mengandung asid folik dan DHA yang berperanan dalam pembentukan saraf serta otak bayi. Perubahan fisiologi ketika hamil juga menyebabkan puan cenderung untuk mengalami masalah pedih ulu hati dan gastrik. Pengambilan susu dapat melegakan simptom ini kerana susu adalah sejenis antacid.
Umum mengetahui akan kepentingan pengambilan susu ketika hamil. Tetapi persoalan yang sering diajukan oleh ibu hamil adalah susu yang mana lebih baik?
Susu penuh krim
Ia memiliki kandungan lemak hampir 3.5 % lebih banyak dan 149 kalori secawan. Ia juga mengandungi sekitar 5 gram lemak tepu untuk satu cawan penyajian.
Susu lembu yang dipasteur
Pasteurisasi adalah satu proses pemanasan makanan atau minuman dengan tujuan membunuh organisma seperti bakteria dan suatu proses untuk memperlambatkan pertumbuhan mikrob pada makanan. Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC), menyarankan agar semua wanita hamil menghindari makanan yang diperbuat daripada susu yang tidak melalui proses pasteurisasi.
Susu rendah lemak
Susu rendah lemak adalah pilihan yang tepat bagi ibu hamil. Di samping mengandungi nutrien dan zat yang mencukupi, ia juga rendah kalori. Ia amat baik untuk ibu hamil yang menghidap penyakit kencing manis ketika mengandung (GDM).
Pengambilan susu rendah lemak yang dipasteur adalah disarankan untuk ibu hamil supaya kenaikan berat badan tidak berlebihan daripada skala normal. Walau bagaimanapun pengambilan susu yang diformulasikan khas untuk ibu hamil secawan sehari adalah tidak memudaratkan bagi ibu hamil yang tidak mempunyai apa-apa masalah perubatan.
Bagi ibu yang menghidap kencing manis ketika hamil (GDM) pengambilan susu formulasi adalah tidak digalakkan kerana ia mengandungi sukros yang boleh menyebabkan kawalan gula dalam badan ibu GDM menjadi tidak terkawal dan menyebabkan hyperglisemia.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu hamil yang bakal menempuhi bulan Ramadan perlu tahu mereka tidak perlu memaksa diri untuk meneruskan puasa. Ada kelonggaran untuk berbuka dalam Islam.
Beberapa hari lagi umat Islam akan mengerjakan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Mungkin bagi ibu hamil ada yang terfikir ini adalah peluang untuk berpuasa sebulan penuh memandangkan tiada haid.
Namun sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan dan kemudaratan untuk meneruskan berpuasa, ada kelonggarannya. Pa&Ma mendapatkan informasi daripada Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin mengenai topik ini.
Wanita hamil mempunyai kelonggaran dalam ibadah puasa
Para ahli fiqih (pakar hukum) sepakat bahawa menjadi hak wanita yang hamil untuk berbuka. Dalilnya cukup jelas. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mencabut puasa dan separuh solat daripada musafir, dan mencabut puasa daripada perempuan hamil dan menyusui.” (HR Nasa’i dan Ibnu Majah).
Mengapa wanita hamil diberikan kelonggaran dalam ibadah puasa?
Menurut ahli tafsir, wanita yang hamil termasuk dalam kategori “orang yang berat menjalankannya (puasa),” sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah: ayat 184.
Islam memahami beban kehidupan yang memberat di bahu wanita hamil. Wanita hamil biasanya muntah-muntah, loya, pening dan kembung perut. Wanita hamil juga biasanya mengalami kekejangan apabila kurang kalsium, pedih ulu hati dan sebagainya.
Islam mengiktiraf dan menghargai pengorbanan ini dengan merakam kesusahan wanita hamil di dalam al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT, “Ibunya mengandungnya dengan susah-payah, dan melahirkannya dengan susah-payah (pula).” (Al-Ahqaf: 15).
Islam sangat berperi kemanusiaan terhadap kesusahan umatnya. Ia termasuklah kepada wanita hamil bahkan kepada musafir meskipun dia bermusafir dengan kenderaan moden, dan kepada ramai lagi golongan lain. Oleh sebab itulah ada konsep ‘rukhsah’ (kelonggaran/keringanan) dalam Islam.
Keadaan yang membolehkan wanita hamil berbuka puasa
Ada pelbagai keadaan wanita hamil. Wanita hamil kadang kala risaukan keadaan dirinya disebabkan payahnya berpuasa. Wanita hamil juga kadang kala risaukan bayi dalam kandungannya. Bayi itu dikesani oleh sumber makanan ibunya. Lebih kerap, wanita hamil risaukan kedua-duanya secara bersama, dirinya dan bayinya.
Dalil hadis di atas yang memberi kelonggaran kepada wanita hamil untuk berbuka, merujuk kepada keadaan wanita itu yang ‘hamil’ secara umum. Ia tidak merujuk kepada keadaan-keadaan khusus bagi wanita hamil itu.
Maka, apabila hamil sahaja seorang wanita, dan dia berasa berat untuk berpuasa, maka boleh baginya mengambil ‘rukhsah’ (kelonggaran) untuk berbuka puasa pada bulan Ramadhan. Jika dia berasakan tidak berat baginya untuk berpuasa, maka dia boleh meneruskan puasa.
Apakah hukumnya jika wanita hamil itu sihat dan tidak mengalami komplikasi tetapi tetap tidak berpuasa?
‘Harus’ baginya berbuka. Hukum ‘harus’ (mubah) bukan bererti ‘mesti’ berbuka. Hukum ‘harus’ bererti ‘boleh’. Mahu meneruskan puasa, boleh. Mahu berbuka pun, boleh. Dia lebih arif tentang kemampuannya saat itu.
Sesihat manapun wanita hamil, keadaan hamilnya itu menggolongkan dirinya berada dalam keadaan yang lemah. Firman Allah SWT, “Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah.” (Luqman: 14).
Orang yang lemah kadang kala berat untuk mengerjakan puasa. Allah memberikannya kelonggaran.
Firman Allah SWT, “Dan bagi orang yang berat menjalankannya (orang sakit berat, orang yang sangat tua, wanita hamil, wanita menyusui), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi sesiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (memberi makan kepada lebih seorang miskin dalam satu hari), maka itu lebih baik baginya. Dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184).
Fidyah adalah sebanyak secupak beras (anggaran 600 gram) untuk setiap satu hari yang ditinggalkannya, diberikan kepada fakir dan miskin. Fidyah wajib dibayar sebelum datangnya Ramadahan seterusnya. Menurut mazhab Syafie, fidyah bertambah, dengan bertambahnya tahun.
Kaedah untuk menggantikan puasa yang telah ditinggalkan
Masalah wanita hamil ‘unik’ berbanding masalah lain. Setelah 9 bulan 10 hari hamil, dia perlu menyusui pula selama 2 tahun. Disebabkan keadaan ‘susah’ yang panjang ini, maka kaedah ‘menggantikan puasa’ yang telah ditinggalkan bagi wanita hamil mempunyai banyak pandangan ulama.
Antara perbahasan mereka ialah:
Adakah wanita hamil diperlakukan seperti orang sakit biasa yang dimestikan mengganti sebanyak puasa yang ditinggalkan?
Atau mereka diperlakukan seperti orang tua renta, baik lelaki mahupun perempuan?
Atau seperti orang sakit yang tiada harapan sembuh?
Adakah mereka harus membayar fidyah setiap hari atau dibebaskan daripada fidyah?
Bukan itu sahaja, para ulama juga membahaskan:
Adakah berbeza hukumnya, antara orang hamil dengan orang menyusui?
Adakah berbeza orang yang khuatir terhadap dirinya, dengan orang yang khuatir terhadap bayinya?
Dengan membahaskan semua kemungkinan ini, maka keluarlah konklusi yang pelbagai di kalangan para ulama berkaitan kaedah menggantikan puasa yang ditinggalkan. Semuanya merujuk al-Quran dan as-Sunnah yang sama, namun cara tafsir dan sudut pandang mereka berbeza. Inilah antara faktor, isu fiqah mempunyai banyak pendapat.
Pendapat Majoriti
Majoriti ahli fiqih memperlakukan wanita hamil dan wanita menyusui seperti orang sakit. Mereka berkata, “Keduanya berbuka dan mengganti.”
Mazhab Syafie yang biasa diamalkan di Malaysia memperincikan:
1. Ibu yang bimbangkan dirinya, tidak mampu dan tidak berdaya, maka dia boleh berbuka. Kemudian mengganti pada hari lain.
2. Ibu yang bimbangkan dirinya dan anaknya, maka dia boleh berbuka. Kemudian, mengganti dan membayar fidyah pada hari lain.
Masa yang diwajibkan adalah 11 bulan mulai Syawal hingga Syaaban. Jika seseorang telah meninggalkan puasa, kemudian tidak menggantinya dalam tempoh itu dengan sengaja, maka dia berdosa, wajib ganti dan bayar fidyah.
Pendapat Kuat dan Praktikal
Ibnu Umar dan Ibnu Abbas (dari kalangan sahabat), juga Ibnu Sirin (dari kalangan Tabiin), berpendapat, “Mereka hanya perlu membayar fidyah (memberi makan orang miskin) dan tidak perlu mengganti.” Ibnu Abbas menyamakan wanita hamil seperti orang tua renta dalam isu ini.
Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqih Puasa membuat kesimpulan:
1. Yang paling kuat ialah pendapat Ibnu Umar dan Ibnu Abbas. Wanita hamil dan menyusui hanya perlu membayar fidyah dan tidak perlu mengganti. Itu yang banyak diamalkan oleh kaum wanita pada masa lalu. Ia suatu rahmat apabila mereka tidak perlu mengganti, cukup dengan membayar fidyah.
2. Ada wanita yang tempoh kehamilannya berjauhan dan anaknya tidak ramai. Dia kurang berasa susahnya kehamilan dan menyusui, kecuali dua atau tiga kali sahaja, maka yang paling tepat baginya ialah mengganti, sebagaimana pendapat jumhur.
Kesimpulan ini dibuat kerana hukum dibangun atas prinsip ‘keringanan’ dan ‘menghilangkan kesulitan yang berlebihan’. Apabila kesulitan tidak ada, maka hukumpun tiada. Apabila kesulitan ada, maka hukumpun ada. Kaedah menyebut, “Hukum bergerak bersama alasannya, ada atau tiada.”
Bila seelok-eloknya proses penggantian puasa ini dijalankan sedangkan selepas hamil sudah tentu si ibu tersebut akan menyusukan anak pula?
Sesiapa yang memiliki hutang puasa Ramadhan, tidak kira kerana uzur seperti sakit, musafir, haid, nifas, atau yang merasakan sangat berat mengerjakannya, juga wanita hamil dan menyusui, bagi mazhab yang mengharuskannya qadha’ (ganti), maka hendaklah dia bersegera sebaik sahaja uzurnya hilang. Bersegera untuk mengganti hari-hari yang dia berbuka, dalam rangka melepaskan diri daripada hutangnya dan bersegera untuk menunaikan kewajipan
Tidaklah berdosa orang yang mengakhirkan pelaksanaan ganti puasa sepanjang pada hatinya tetap berniat untuk mengganti, kerana kewajipan ganti bersifat ‘luas’ masanya.
Adakah penggantian puasa boleh dilewatkan atas sebab menyusukan anak? Misalnya selepas anak berusia dua tahun.
Soalan ini timbul bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil hanya perlu membayar fidyah, maka soalan ini tidak timbul. Lainlah, jika dia memang berasakan menggantikan puasa tidak berat dalam situasi hidupnya. Islam meraikan kondisi individu yang berbeza-beza.
Huraian seterusnya ini bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Barangsiapa kedatangan Ramadhan yang baru, sedangkan hutang Ramadhan sebelumnya belum dibayar, jika hal itu terjadi kerana uzur (menyusukan anak) maka ianya tidaklah mengapa. Itu pendapat ijma’.
Dia wajib menggantinya selepas dia mampu berpuasa semula.
Puasa sunat 6 hari bulan Syawal & puasa ganti, mana perlu didahulukan?
Keutamaan puasa 6 hari di bulan Syawal bersandar kepada hadis yang kuat.
“Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian dia iringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.” (HR Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah).
Realitinya, cuti Hari Raya membuka peluang besar untuk kita beramah mesra dan menjamu selera dengan sanak saudara. Tidak seperti hari-hari lain. Maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunah pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Menjaga hubungan silaturrahim amat penting. Ini selaras dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu.” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Kita dalam dilema;
1. Jika mendahulukan yang wajib, bimbang tidak berkesempatan berpuasa enam.
2. Jika mendahulukan yang wajib kemudian terus berpuasa enam, bimbang tidak sempat meraikan majlis menjamu selera bersama sanak-saudara.
3. Jika mendahulukan yang sunah, bimbang puasa wajib terus terhutang dan tidak sempat dilakukan pada masa-masa depan.
Pandangan yang sahih berkenaan isu ini, menurut Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, boleh saja melaksanakan puasa sunah sebelum mengganti. Buat puasa sunah enam hari dahulu pada bulan Syawal. Kemudian, melakukan puasa ganti pada hari-hari lain sebelum masuk Ramadhan berikutnya.
Kesimpulan ini diambil daripada ucapan Aisyah r.ha., “Ketika itu saya memiliki hutang puasa Ramadhan. Saya tidak mampu menggantinya kecuali di bulan Sya’ban.” (Muttafaq a’laih).
Tidak boleh disekalikan niat antara yang wajib dan sunat bagi mereka yang mahu menyelesaikan gantian Ramadhan dahulu. Tapi mereka boleh berdoa kepada Allah mudah-mudahan sempat mendapat kelebihan puasa enam.
Apabila kita disahkan hamil, sudah tentulah gembira. Kita pun teruja berkongsi berita kehamilan ini dengan teman-teman rapat. Tup-tup seminggu dua selepas itu, kita pula dikejutkan dengan berita kehamilannya! Pernahkah anda mengalami situasi begini? Mengandung sama waktu dengan teman baik, jarak kehamilan pun tak jauh.
Minggu ni kita bersalin, esok lusa dia pula. Sebenarnya, mengikut sebuah kajian yang dijalankan oleh National Longitudinal Study of Adolescent health (ADD Health) di Amerika Syarikat sekitar tahun 1990-2000 menemui bukti kebanyakan responden mereka hamil pada waktu yang sama seperti teman-teman baik mereka.
Satu lagi hasil kajian dari sebuah jurnal oleh American Sociological Association, seorang wanita hamil mempunyai aura kehamilan yang boleh berjangkit kepada teman-teman rapat mereka. Namun dalam kajian ini, menegaskan bahawa aura kehamilan ini bukan sahaja merebak melalui psikologi tetapi juga bulan persenyawaan (dari sudut bilogi).
Sesuatu kehamilan ini boleh mempengaruhi teman-teman rapat wanita hamil tersebut untuk memiliki anak walaupun mereka tidak merancang untuk mempunyai cahaya mata ketika itu.
BAGAIMANA BOLEH BERJANGKIT?
Apabila melihat teman rapat sudah hamil, sudah tentu wanita ini teruja dan bersemangat untuk mengandung juga.
Pada awalnya mungkin tidak merancang untuk hamil, tetapi selepas ada teman terdekat yang mengandung terus terasa mahu hamil. Hamil pada waktu yang sama, membolehkan ibu hamil boleh berkongsi dengan pengalaman dan sama-sama membuat pemeriksaan kandungan. Seronoknya!
Kebanyakan wanita mungkin bertambah teruja untuk hamil apabila melihat teman-teman rapat sudah mempunyai anak. Tambah pula apabila ada teman yang sama-sama hamil terutamanya jika mereka hamil anak kedua atau seterusnya, mungkin sudah ada pengalaman dan akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka.
Bukan waktu hamil sahaja yang dipengaruhi, tetapi jumlah anak! Sebuah laporan kajian pada tahun 2014 oleh Demographic Research mendapati kaitan antara hubungan dengan teman baik bukan sahaja mempengaruhi waktu kehamilan, tetapi jumlah anak. Memandangkan kebanyakan wanita sekarang mempunyai ramai teman baik, mungkin lebih rapat dari keluarga yang boleh mempengaruhi seseorang wanita itu untuk hamil pada waktu yang sama seperti temannya.
Sejauh mana pun kita buat perancangan, jika Allah berkehendak atas sesuatu perkara, ia tetap akan berlaku dengan izinNya. Sebab itu ada pepatah menyatakan kita hanya merancang Allah jua yang menentukannya.
Situasi ini sama berlaku pada seorang ibu yang dapat tahu dirinya hamil ketika usia kandungan 22 minggu sedangkan dah buat “Bilateral Tubal Ligation” (BTL) atau mengikat tiub fallopio yang merupakan kaedah perancangan keluarga secara kekal.
Berikut perkongsian Puan Nur Zarra:
Ini kandungan yang ketujuh dan anak yang keenam. Anak saya yang keempat meninggal masa 32 minggu. Ada simptom of sndromic baby. Tapi tak dapat kesan awal. Anak nombor lima bersalin normal.
Kandungan 22 minggu baru tahu hamil
Anak yang keenam saya terpaksa czer sebab saya positif Covid masa 3 hari sebelum due date. Jadi terpaksa emergency czer. Sebab tu saya buat keputusan untuk BTL terus. Tak sangka saya boleh mengandung lagi dan masa tahu tu kandungan dah 22 minggu.
Bismillah…fuhhh.. First sekali.. SORRY DAYYAN.
Macam yang semua tahu, Zara dah BTL masa lahirkan Dayyan. Erti kata lain dah ‘ikat’ tahun lepas, 30/8/2021. Tapi dalam sebulan dua ni selalu rasa sakit perut.
Jadi kita buat tak kisah sangat je. Mungkin sebab lasak sangat. Tapi dalam seminggu sebelum tahu hal sebenar, ada rasa benda bergerak-gerak dalam perut makin lama makin kuat dan rasa kick.
Dalam hati ni langsung la tak terfikir pasal pregnant sebabnya dah ikat kan. Tapi hati ni tak sedap, takut benda yang tidak-tidak je. Sampai dah mula fikir unsur-unsur mistik.
Ada tanya doktor dan doktor cakap mungkin masalah usus dan mungkin juga mengandung luar rahim tapi sangat ‘rare’ la jadi benda tu. Memandangkan kita ni memang kerja kat postnatal wad, jadi Zara cerita kat daktor dan doktor decide nak buat 1 scan. Sekali Nahhhhhh…Hambik kau kepala budak.
Tak tau nak rasa apa. Dayyan baru nak masuk 11 bulan. Jalan pun belum dengan luka czer tu fresh lagi..Allahhh…meraung kat wad..drama kat wad tadi. Tak tau sedih sebab ape..terkejut? Trauma czer? Teruja? Tak tauuuu..
Jadi lepas ni berhati-hati la dengan kaedah apa pun korang guna. Bila Allah dah berkehendak. Maka tak ada siapa boleh persoalkan macam mana ia terjadi. Cuma harap semua dipermudahkan.
8 November (Selasa) kena masuk wad dah, 9 November (Rabu) insyaallah akan lahirlah penghuni rahim yang ketujuh. Doakan moga kelahiran ini berjalan lancar dan dipermudahkan segalanya.
Lepas bersalin nanti baru doktor akan buat pemeriksaan terperinci dan akan tahu apa punca sebenarnya. Sama ada berlaku kecuaian atau sebaliknya.
INFO MENGENAI BTL:
Apakah itu BTL ?
BTL ialah “Bilateral Tubal Ligation” atau mengikat tiub fallopio yang merupakan kedah perancangan keluarga secara kekal. Prosedur ini hanya boleh dilakukan secara pembedahan. Langkah prosedur ini melibatkan dengan mengikat kedua-dua tiub fallopio di tengah-tengah. Ini bagi mengelakkan sperma bertemu dengan ovum untuk persenyawaan.
Pembedahan boleh dilakukan sewaktu pembedahan Cesarean atau secara laparoskopik. Risiko kegagalan adalah nisbah 1 dikalangan 200 wanita. Terdapat kes BTL dibuka semula tetapi peratusan berjaya adalah sangat rendah.
Komplikasi BTL hanya berlaku ketika proses pembedahan seperti :
1) Pendarahan
2) Cedera Usus Besar / Ureter
3) Komplikasi Bius
Prosedur BTL itu sendiri tiada komplikasi pada kitaran haid, kuantiti haid, atau ketika melakukan hubungan kelamin. Risiko kandungan luar rahim adalah sangat rendah iaitu nisbah 1 dikalangan 1,000 wanita.
Sekiranya anda berminat untuk merancang keluarga secara kekal, anda boleh merujuk kaedah ini dengan Doktor anda.