
Janna Nick TTC menjadi antara perkongsian yang mendapat perhatian apabila pelakon dan penyanyi itu meminta orang ramai supaya tidak terlalu bersimpati dengan perjalanan mendapatkan cahaya mata atau trying to conceive (TTC) yang sedang dilaluinya.
Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 31, berkata dia menerima ketentuan Allah SWT dengan hati terbuka dan percaya setiap yang berlaku mempunyai perancangan tersendiri.
Menerusi perkongsian di Threads, Janna meminta orang ramai supaya tidak terlalu bersimpati terhadap individu yang sedang melalui perjalanan TTC sepertinya.
“Korang janganlah simpati sangat dengan takdir orang TTC macam I ni.
“I okay je. I reda dengan ketentuan Allah SWT, dan I yakin dengan perancangan-Nya. He knows what’s best for us.”
Menurut Janna, perasaan sedih tetap ada sekali-sekala dan perkara itu dianggap normal dalam melalui perjalanan tersebut.
“Sedih sikit-sikit tu biasalah. Ada moment-moment macam tu yang datang dan pergi. Kadang-kadang memang tak boleh nak control.”
Bagaimanapun, Janna berkata kehidupan berdua bersama suaminya tetap mempunyai sisi yang menggembirakan.
Malah, dia sempat berseloroh bahawa mereka masih boleh menikmati masa bersama dan melancong tanpa perlu memikirkan jadual cuti sekolah anak.
“Hidup berdua je pun takdelah sendu sangat. Bosan-bosan, boleh travel tanpa fikir cuti sekolah anak.
“But seriously, I’m okay.”
Perkongsian mengenai Janna Nick TTC itu memperlihatkan bagaimana dia memilih untuk menerima perjalanan tersebut dengan reda, meskipun mengakui ada waktunya perasaan sedih tetap hadir.
Artikel Berkaitan: Tanda-Tanda Awal Kanser Darah Pada Kanak-Kanak Yang Mengejutkan, Panduan Penting Ibu Bapa
Artikel Trending: Nahas Helikopter FDS: Luahan Pilu Isteri Juruterbang, “Doakan Saya Dan Anak-Anak”
Artikel trending:Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!

Janna Nick TTC, Isteri Achey Beri Kata-Kata Semangat

Perkongsian Janna turut mendapat perhatian isteri kepada pelawak Achey, Anne, yang berkongsi bahawa dia dan suaminya sendiri sudah melalui perjalanan TTC selama 15 tahun.
Anne turut mendedahkan bahawa mereka bakal menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) buat kali kedua tahun ini.
“U jangan putus asa k… kita dengan Achey dah TTC 15 tahun. Tahun ni IVF kali ke-2. I doakan u jugak semoga dipermudahkan semuanya. Amin.”
Kata-kata tersebut kemudian dibalas Janna yang berterima kasih atas sokongan diberikan.
“Anne! Thanks bagi semangat. Semoga kita kuat macam awak.”
Sokongan tersebut turut menunjukkan bahawa perjalanan Janna Nick TTC bukanlah pengalaman yang asing bagi pasangan lain yang sudah lama menantikan rezeki cahaya mata.
Ramai Pejuang TTC Turut Kongsi Pengalaman

Dalam ruangan komen, beberapa wanita lain turut berkongsi pengalaman mereka menjalani perjalanan TTC.
Ada yang mengakui mereka sebenarnya sudah menerima keadaan tersebut dengan baik, namun kadangkala pertanyaan orang sekeliling mengenai soal anak membuatkan mereka kembali berasa sedih.
Seorang pengguna berkongsi bahawa dia sudah melalui perjalanan TTC selama empat tahun dan kini memilih untuk menikmati kehidupan bersama pasangan sementara menunggu rezeki cahaya mata.
Baginya, mempunyai anak atau sebaliknya bukan sesuatu yang boleh ditentukan oleh manusia.
Seorang lagi wanita turut berkongsi kisah lebih panjang apabila melalui TTC selama 10 tahun.
Menurutnya, dia pernah mengalami kehamilan ektopik sebanyak dua kali sehingga terpaksa menjalani pembedahan membuang tiub fallopio.
Dia memilih untuk tidak berkongsi keadaan tersebut dengan ramai orang kerana tidak mahu menerima layanan berbeza atau simpati berlebihan.
Selepas menjalani rawatan IVF pada tahun 2024, penantiannya akhirnya berakhir apabila dia dikurniakan pasangan kembar pada tahun berikutnya, bertepatan dengan ulang tahun perkahwinannya yang ke-10.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Setiap Pejuang TTC Melalui Cabaran Berbeza
Perkongsian mengenai Janna Nick TTC dan pengalaman wanita lain menggambarkan bahawa setiap pasangan yang melalui perjalanan TTC mempunyai pengalaman dan cabaran tersendiri.
Ada kalanya mereka memerlukan sokongan, namun dalam masa sama tidak semua individu selesa apabila terlalu dikasihani.
Apa yang paling penting, elakkan bertanyakan soalan sensitif seperti “Bila nak ada anak?” kerana kita tidak pernah tahu perjuangan yang sedang dilalui seseorang di sebalik senyuman mereka.
Dalam situasi Janna Nick TTC sendiri, penyanyi dan pelakon itu menjelaskan bahawa dia tetap baik-baik sahaja serta reda dengan ketentuan Allah SWT, walaupun ada kalanya melalui saat-saat sedih sepanjang perjalanan berkenaan.
Untuk rekod, Janna Nick dan Dini Schatzmann mendirikan rumah tangga pada Jun 2023.
Sumber: Threads Jannanick
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

