Ads

Jaundis Pada Bayi Jangan Dipandang Ringan, Bahaya Bilirubin Tinggi Boleh Jejaskan Otak!

Jaundis Pada Bayi Jangan Dipandang Ringan, Bahaya Bilirubin Tinggi Boleh Jejaskan Otak!

Jaundis pada bayi selepas dilahirkan memang perkara yang agak biasa berlaku. Namun, perkataan “biasa” tidak bermaksud jaundis boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa pemantauan.

Jaundis berlaku apabila bilirubin terkumpul dalam darah bayi sehingga menyebabkan kulit dan bahagian putih mata kelihatan kekuningan. Bilirubin merupakan bahan yang terhasil apabila sel darah merah dipecahkan dan kemudiannya perlu diproses oleh hati.

Pada bayi baru lahir, fungsi hati masih belum matang sepenuhnya. Sebab itulah bilirubin boleh terkumpul lebih mudah dalam tubuh mereka.

Walaupun kebanyakan kes jaundis boleh dipantau dan dirawat dengan baik, paras bilirubin yang meningkat terlalu tinggi boleh menjadi berbahaya kepada bayi. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memberi amaran bahawa jaundis yang teruk boleh menyebabkan kecederaan otak, masalah pendengaran malah kematian.

Jaundis Pada Bayi Jangan Dipandang Ringan

Bila Jaundis Pada Bayi Boleh Jadi Bahaya?

Perkara yang paling dibimbangkan adalah apabila paras bilirubin menjadi terlalu tinggi sehingga boleh memberi kesan toksik kepada sistem saraf bayi.

Keadaan awal akibat bilirubin yang sangat tinggi dikenali sebagai acute bilirubin encephalopathy. Jika kecederaan pada otak menjadi kekal, keadaan tersebut dikenali sebagai kernicterus.

Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), kernicterus ialah sejenis kerosakan otak yang boleh berlaku akibat paras bilirubin yang terlalu tinggi dalam darah bayi. Ia boleh menyebabkan cerebral palsy, gangguan pendengaran serta masalah penglihatan dan perkembangan.

Sebab itulah jaundis yang teruk tidak boleh dipandang ringan.

Antara kesan jangka panjang yang boleh berlaku termasuk:

  • gangguan pergerakan dan kawalan badan
  • masalah pendengaran sehingga boleh menjadi pekak
  • masalah koordinasi dan pergerakan
  • gangguan pergerakan mata
  • masalah pembelajaran dan perkembangan
  • palsi serebrum atau cerebral palsy
  • kecacatan intelektual
  • dalam keadaan sangat serius, kecederaan otak atau kematian

KKM turut menyenaraikan masalah pendengaran, pembelajaran, kecacatan intelektual dan palsi serebrum sebagai antara komplikasi jangka panjang jaundis yang tidak dirawat dengan segera.

Ads

Nampak Aktif Bukan Bermaksud Boleh Abaikan Temujanji

Kadang-kadang selepas pemeriksaan, ibu bapa diminta membawa bayi datang semula ke klinik atau hospital untuk mengulangi bacaan bilirubin.

Jangan abaikan temujanji ini hanya kerana bayi masih nampak aktif, menyusu seperti biasa atau warna kuning kelihatan tidak terlalu teruk.

Paras bilirubin boleh berubah dalam tempoh yang singkat, khususnya pada hari-hari awal selepas kelahiran. Malah, penilaian jaundis tidak sepatutnya bergantung kepada warna kulit semata-mata.

Pemeriksaan bilirubin boleh dilakukan menggunakan alat pada kulit atau melalui ujian darah mengikut keadaan bayi. Bacaan tersebut kemudian dinilai bersama usia bayi dalam jam dan faktor risiko lain bagi menentukan sama ada bayi memerlukan pemantauan atau rawatan.

Jadi, jika petugas kesihatan meminta mama papa datang semula untuk pemeriksaan atau mengulangi bacaan kuning, pastikan temu janji itu dipatuhi.

Jaundis Pada Bayi Jangan Dipandang Ringan

Jangan Tunggu Bayi Terlalu Lemah

Ibu bapa juga perlu peka terhadap perubahan keadaan bayi. Bayi yang kelihatan sangat kuning atau jingga, sukar dikejutkan, tidak menyusu dengan baik atau menjadi terlalu meragam perlu dinilai oleh petugas kesihatan.

Ads

Dapatkan bantuan perubatan kecemasan sekiranya bayi:

  • menangis dengan suara yang sangat nyaring dan sukar ditenangkan
  • badan menjadi terlalu keras atau terlalu lembik
  • kepala dan badan melengkung ke belakang
  • menunjukkan pergerakan mata yang luar biasa

Tanda-tanda ini tidak seharusnya ditunggu sehingga keesokan hari kerana ia boleh menunjukkan keadaan yang lebih serius.

Fototerapi Bantu Turunkan Bilirubin

Jika paras bilirubin mencapai tahap yang memerlukan rawatan, antara kaedah yang biasa digunakan ialah fototerapi.

Dalam rawatan ini, bayi diletakkan di bawah cahaya khas untuk membantu tubuh menyingkirkan bilirubin dengan lebih mudah. Bagi kes yang sangat tinggi, rawatan lain termasuk pertukaran darah mungkin diperlukan berdasarkan penilaian doktor.

KKM juga menasihatkan ibu bapa supaya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital, menjalani ujian bagi mengetahui tahap bilirubin dan meningkatkan kekerapan penyusuan mengikut nasihat petugas kesihatan. Menjemur bayi di bawah cahaya matahari pula tidak disarankan sebagai rawatan jaundis.

Jaundis Pada Bayi Jangan Dipandang Ringan

Ads

Jaundis Pada Bayi Jangan Diambil Mudah

Jaundis pada bayi sememangnya biasa berlaku dan kebanyakan bayi boleh melalui fasa ini tanpa komplikasi serius apabila dipantau dengan betul.

Setiap bayi berbeza. Umur bayi, usia kandungan ketika dilahirkan, tahap bilirubin dan faktor risiko kesihatan semuanya memainkan peranan dalam menentukan rawatan.

Paling penting, jangan terlepas pemeriksaan susulan dan jangan tunggu sehingga bayi menunjukkan tanda yang teruk sebelum mendapatkan bantuan.

Jaundis boleh dirawat dan kernicterus boleh dicegah melalui pengesanan serta rawatan awal. Tetapi apabila paras bilirubin yang terlalu tinggi sudah menyebabkan kerosakan otak kekal, kesannya mungkin tidak dapat dipulihkan.

Sebab itu, bila petugas kesihatan kata datang semula untuk repeat bacaan kuning, datanglah.

Bukan kerana mahu menyusahkan mama papa, tetapi kerana pemantauan itulah yang membantu memastikan si kecil berada dalam keadaan selamat.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) & Centers for Disease Control and Prevention (CDC).

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Untuk Papa Mama

Setiap Kali Hamil Akan Sakit Gigi, Suami Kongsi Detik Pilu...

Sakit gigi ketika hamil jangan dipandang ringan. Kisah seorang ibu yang meninggal akibat sepsis ini menjadi peringatan penting untuk mendapatkan pemeriksaan.