Jenazah Zara Qairina Selamat Dikebumikan Semula, Sabah Anjur Majlis Tahlil dan Doa

Share

Pemergian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, menyentuh hati ramai. Anak ini bukan sahaja menjadi permata hati keluarga, malah kehilangannya turut dirasai masyarakat.

Awal pagi Isnin, suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, apabila jenazah Zara Qairina selamat dikebumikan semula pada jam 1.15 pagi.

Jenazah tiba dari Kota Kinabalu pada jam 12.42 tengah malam, diiringi pasukan polis selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) bagi mengetahui punca kematiannya. Sebelum ini, media melaporkan bahawa arwah ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah agama di Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu. Beliau disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Semua Surau Dan Masjid di Sabah

Bagi memperingati dan mendoakan kesejahteraan roh anak ini, kerajaan negeri Sabah akan menganjurkan Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri pada 14 Ogos ini di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sabah. Majlis ini akan diadakan secara serentak di semua masjid dan surau di seluruh negeri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan dan Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarhamah diberi maghfirah dan rahmah oleh Allah SWT.

Buat keluarga arwah, semoga tabah menghadapi kehilangan yang berat ini. Dalam keyakinan iman, kita percaya anak-anak yang pergi sebelum baligh adalah ahli syurga dan akan menjadi penolong buat ibu bapa di akhirat kelak. Buat semua pembaca Pa&Ma, marilah kita sama-sama menghadiahkan Al-Fatihah dan doa buat Zara Qairina.

Sumber : Sinar Harian, Harian Metro

Published by
Nana