
JKM Seberang Perai Utara kini sedang giat mengesan ibu kandung serta waris kepada seorang bayi perempuan berusia dua bulan bagi membantu proses kebajikan dan perlindungan kanak-kanak berkenaan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seberang Perai Utara memaklumkan bahawa usaha ini dilaksanakan bagi memastikan kebajikan serta masa depan bayi terbabit dapat ditentukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Utara, Norizzati Rosli berkata, usaha mengesan ibu kandung bayi itu sedang dijalankan dan pihaknya dan berharap ibu berkenaan atau mana-mana ahli keluarga terdekat tampil segera bagi membantu siasatan serta urusan berkaitan.
Menurut beliau, hebahan kepada media dibuat selepas Permohonan Pengecualian Seksyen 15(3) Akta Kanak-Kanak 2001 diluluskan, sekali gus membolehkan maklumat mengenai bayi tersebut disiarkan kepada umum.
“Permohonan Pengecualian Seksyen 15(3) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diluluskan untuk siaran media,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, bayi perempuan itu ditemui di sebuah tandas milik orang Melayu di Sungai Dua pada 13 November tahun lalu dalam keadaan masih bertali pusat sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.
Kejadian tersebut mendapat perhatian pihak berkuasa dan JKM segera mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bayi berkenaan menerima perlindungan serta penjagaan yang diperlukan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai ibu bapa kandung bayi terbabit diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Seberang Perai Utara di talian 04 575 8715 atau melalui e-mel izzatirosli@jkm.gov.my.
Kerjasama masyarakat amat diharapkan agar ibu kandung atau waris dapat dikesan secepat mungkin demi kepentingan terbaik kanak-kanak berkenaan.
Sumber: MalaysiaGazette