Berita

JKM Dedah Statistik: Selamatkan 175 Bayi Dibuang Dalam Tempoh 3 Tahun

Share

JKM menyelamatkan seramai 175 bayi dipercayai berusia 12 bulan ke bawah dan memberi perlindungan sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, kes pembuangan bayi dan kanak-kanak dikategorikan sebagai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di bawah Seksyen 17(1), Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

Katanya, ia termasuk kanak-kanak yang ditinggalkan, dibuang atau tidak diberi jagaan yang sempurna oleh penjaga.

JKM Selamatkan 175 Bayi Sejak 2022

“JKM bertanggungjawab menyelamat dan memberi perlindungan kepada bayi dan kanak-kanak yang ditemui dan siasatan kes dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Berdasarkan data dan rekod statistik JKM, seramai 175 orang bayi yang dipercayai berumur 12 bulan dan ke bawah diselamatkan serta diberi perlindungan oleh JKM di bawah Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta 611 dari tahun 2022 hingga 2025,” dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Ia menjawab soalan Zahari Kechik (Bebas-Jeli), yang meminta statistik terkini kes pembuangan bayi dari 2022 hingga 2025 dan inisiatif KPWKM dalam menangani isu itu daripada terus merebak dalam kalangan masyarakat.

Peranan JKM Dalam Menangani Pembuangan Bayi

Dalam usaha menangani isu berkenaan, kementerian dan agensi di bawahnya melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI).

Katanya, dasar itu bertujuan melahirkan individu berpengetahuan serta mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial.

“Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan pula menjadi panduan tindakan bersepadu pelbagai pihak yang berkepentingan untuk melaksanakan program dan aktiviti.

“KPWKM juga mewujudkan Pusat Remaja kafeTEEN yang menyediakan khidmat kaunseling dan kesihatan bagi membantu remaja mengatasi masalah fizikal, mental dan sosial.

“Sehingga kini, sebanyak 18 Pusat Remaja kafeTEEN beroperasi di seluruh negara dan disokong Trak KafeTEEN Outreach bagi memperluas capaian perkhidmatan ke kawasan lebih luas,” katanya.

Inisiatif Sokongan dan Talian Bantuan JKM

Katanya, KPWKM turut memperluaskan Program Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial melalui kempen ‘Jangan Malu Ambil Tahu, Jangan Malu Bagi Tahu’ bagi memupuk ketahanan diri, menjaga batas pergaulan serta meningkatkan kefahaman remaja mengenai kesan negatif hubungan seks sebelum nikah.

“KPWKM juga menawarkan perkhidmatan Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun sebagai saluran aduan termasuk kes pembuangan bayi atau individu memerlukan bantuan seperti kaunseling.

“Talian bebas tol itu turut diperluaskan skopnya merangkumi perkhidmatan telekaunseling serta penggunaan aplikasi WhatsApp,” katanya.

Selain itu, KPWKM juga membangunkan Modul Cakna Diri (Edisi Remaja dan Edisi Ibu Bapa) bertujuan memberi panduan kepada remaja serta ibu bapa dalam memahami perkembangan remaja dan meningkatkan kemahiran menangani tingkah laku berisiko khususnya berkaitan seksualiti.

Statistik yang didedahkan ini menunjukkan komitmen berterusan JKM dalam memastikan setiap bayi yang terabai mendapat perlindungan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Sumber: HMetro

Published by
Nor Yusoff