
Ibu bapa di negara ini diingatkan supaya tidak mengambil mudah urusan pendaftaran kelahiran anak kerana ia perlu dilakukan dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menerusi perkongsian di media sosial rasmi JPN, pendaftaran kelahiran bayi perlu dibuat dalam masa 60 hari bagi Semenanjung Malaysia, manakala Sabah dan Sarawak pula dalam tempoh 42 hari selepas kelahiran.
JPN memaklumkan, jika pendaftaran dilakukan selepas tempoh tersebut, ia akan dikategorikan sebagai Daftar Lewat dan mungkin memerlukan prosedur tambahan sebelum sijil kelahiran dapat dikeluarkan.
Dalam masa sama, ibu bapa turut diingatkan agar lebih berhati-hati ketika memilih nama anak supaya tidak melanggar garis panduan yang telah ditetapkan.
Menurut JPN, pemilihan nama anak perlu bersesuaian dengan budaya, agama, bahasa dan sensitiviti masyarakat kerana nama adalah identiti yang akan digunakan seseorang sepanjang hidup mereka.
Antara nama yang tidak dibenarkan termasuk penggunaan gelaran kebesaran seperti Tun, Tan Sri dan Datuk, selain nama yang merujuk kepada jawatan atau pangkat tertentu seperti Imam dan Kapten.
JPN juga menegaskan nama yang mempunyai unsur lucah, tidak sopan atau boleh mendatangkan kekeliruan tidak digalakkan untuk digunakan.
Walaupun begitu, pihak JPN menjelaskan mereka hanya boleh memberikan nasihat kepada ibu bapa ketika proses pendaftaran dilakukan dan keputusan akhir masih bergantung kepada ibu bapa sendiri.
Menurut perkongsian itu lagi, terdapat segelintir ibu bapa yang tetap mahu memberikan nama unik atau luar biasa termasuk menggunakan nama tempat, asrama, hostel dan hotel sebagai nama anak mereka.
Sekiranya keadaan itu berlaku, ibu bapa perlu menandatangani borang pengesahan bahawa nama tersebut dipilih atas kerelaan sendiri tanpa sebarang paksaan.
“Kami boleh nasihatkan sahaja. Kalau parents bermati-matian nak juga nama asrama, hostel, hotel atau lain-lain, mereka kena tanda tangan dan akui nama yang diisi itu adalah kehendak dan kerelaan mereka,” jelasnya.
JPN turut menekankan bahawa urusan pendaftaran kelahiran bukan sekadar proses dokumentasi biasa, tetapi penting bagi memastikan hak dan identiti kanak-kanak terpelihara sejak awal.
Kegagalan mendaftarkan kelahiran dalam tempoh ditetapkan boleh menyebabkan ibu bapa berdepan kesukaran tambahan termasuk keperluan mengemukakan dokumen sokongan tertentu.
Selain itu, pemilihan nama anak yang terlalu pelik atau mengelirukan juga dikhuatiri boleh memberi kesan kepada anak pada masa hadapan terutama ketika urusan rasmi, persekolahan dan dokumen kerajaan.
Justeru, orang ramai disaran supaya membuat pertimbangan sebaiknya sebelum memilih nama anak agar tidak menimbulkan kesulitan pada masa hadapan.
Baca lagi: i-Legasi KWSP Dilancarkan, Ahli Kini Boleh Pindahkan Simpanan Pada Pasangan & Anak
Mykad Baharu 2026 Bermula Jun, Ini Ciri Keselamatan & Siapa Layak Tukar?
Sumber: JPN