Jumpa Di Bahagian Tangga Tingkat Bawah, Kanak-Kanak 4 Tahun Rentung Dalam Kebakaran

Share

Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung, manakala 17 yang lain terselamat dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Jalan Bukit Pasir, Kampung Bukit Pasir, Endau, Mersing, Johor.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah jam 9.19 malam tadi.

Katanya, sebuah jentera ‘Light Fire Rescue Tender’ (LFRT), sebuah jentera pemadam (FRT), sebuah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah utiliti Hilux dari BBP Endau dan dibantu BBP Mersing dengan kekuatan 21 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran rumah jenis dua tingkat separuh kekal berkeluasan 80×120 kaki terbakar kira-kira 70 peratus pada bahagian atas rumah berkenaan.

ARTIKEL MENARIK [Sapuan Air Garam Dengan Bacaan Al-Fatihah, Zikir & Selawat Penawar Gatal Kulit Anak]

“Mayat mangsa dipercayai Mohammad Faris Sohari, 4, ditemui rentung (di bahagian tangga tingkat bawah) jam 11.07 malam sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa lain (yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan mangsa) berusia antara satu hingga 65 tahun berjaya menyelamatkan diri sebelum bomba tiba,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Alias lagi siasatan awal pihaknya mendapati mangsa cuba diselamatkan ahli keluarga namun gagal berikutan api marak dengan pantas.

Rumah terbabit dihuni 18 sekeluarga termasuk mangsa yang cucu kepada pemilik rumah, Kahar Adam, 65.

Katanya, 17 lagi mangsa yang berusia setahun hingga 65 tahun terdiri daripada isteri Kahar, anak dan menantu serta cucu kepada pasangan berkenaan.

Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1.09 awal pagi tadi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sumber: BERNAMA & Sinar Harian

IKLAN