
Tragedi pemergian Zara Qairina meninggalkan kesan mendalam buat seluruh rakyat Malaysia. Kisahnya bukan sekadar mencetuskan rasa sebak, malah telah menggerakkan hati orang ramai untuk bersatu menuntut keadilan melalui perhimpunan aman solidariti Justice For Zara.
Namun, menurut laporan Harian Metro, peguam yang mewakili keluarga arwah memohon agar perhimpunan tersebut ditangguhkan buat sementara waktu sehingga prosiding inkues selesai dijalankan.
Peguam keluarga menjelaskan, permohonan itu juga dibuat selaras dengan kehendak ibu arwah, Noraidah Lamat.
“Kami amat menghargai sokongan orang ramai melalui perhimpunan aman solidariti Justice For Zara. Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan,” jelas peguam tersebut.
Beliau dalam masa yang sama turut menasihati masyarakat agar berhati-hati memberi sebarang komen atau kritikan di media sosial berhubung prosiding inkues dan keterangan saksi. Tindakan itu penting bagi menjaga ketelusan serta perjalanan kes di mahkamah.
Inkues ialah prosiding mahkamah yang dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian seseorang. Dalam kes Zara Qairina, ia akan meneliti segala bukti forensik, keterangan saksi serta laporan perubatan yang dikemukakan.
Peguam menegaskan, biarlah prosiding ini berlangsung terlebih dahulu tanpa gangguan luaran. Perhimpunan solidariti boleh diteruskan semula selepas mahkamah selesai menjalankan inkues.
Walaupun perhimpunan ditangguhkan, tanda solidariti rakyat Malaysia tetap utuh. Hashtag #JusticeForZara terus tular di media sosial, membuktikan masyarakat masih berdiri teguh bersama keluarga arwah dalam menuntut keadilan.
Bagi seorang ibu, kehilangan anak bukanlah perkara mudah untuk ditanggung. Namun, kekuatan Noraidah dalam melalui saat getir ini menjadi inspirasi ramai. Apa yang lebih penting, biarlah kebenaran terbukti melalui saluran undang-undang yang betul.
👩👧 Pa&Ma simpulkan: Semoga inkues ini memberi keadilan buat arwah Zara Qairina, dan semoga ibu serta keluarga tabah melalui ujian besar ini. Kisah Zara menjadi peringatan buat kita semua, bahawa anak-anak adalah amanah dan setiap nyawa kecil itu wajib dilindungi dengan penuh kasih sayang dan perhatian.