
Luahan ini bukan kata-kata biasa. Ia adalah jeritan hati seorang remaja berusia 13 tahun, Allahyarham Zara Qairina (bukan nama sebenar), yang kini menjadi tumpuan inkues selepas kematiannya mengejutkan ramai pihak.
Dalam prosiding yang sedang berjalan, dua pelajar tampil memberi keterangan bahawa mereka pernah mendengar arwah mengemukakan soalan-soalan hipotesis yang memilukan hati, termasuk: “Kalau saya terjun dari sini, masih ada orang sayang saya? Apakah rasanya?”
Menurut laporan Harian Metro, peguam Azhier Farhan Arisin yang mewakili salah seorang kanak-kanak terlibat memaklumkan arwah pernah meluahkan lebih daripada 10 kenyataan seumpama itu. Walaupun Mahkamah Koroner belum mengesahkan catatan diari yang dikatakan milik Zara, seorang saksi mendakwa tulisan di dalamnya adalah tulisan arwah.
Diari itu dikatakan memuatkan luahan yang menyayat hati: “Ya Allah, kenapa aku dibenci?” dan “Kenapa aku tidak disukai?” — isyarat jelas bahawa anak ini berasa terasing, sunyi dan memerlukan bantuan.
Seorang saksi turut memberitahu bahawa dua hari sebelum kejadian, Zara pernah dimarahi ibunya. Malah, ketika dihantar semula ke sekolah, salam yang diberi kelihatan seolah-olah tidak ikhlas, menggambarkan ketegangan emosi yang mungkin dialaminya ketika itu.
Namun begitu, peguam menegaskan masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai punca kematian Zara kerana ramai lagi saksi dijangka tampil memberi keterangan.
Kisah ini menjadi peringatan besar buat ibu ayah. Anak-anak mungkin nampak ceria di luar, tetapi jauh di sudut hati mereka berperang dengan luka yang tidak terlihat. Bila mereka mula bertanya tentang mati, menulis ayat sedih atau menyendiri, itu tanda minta tolong.
Sebagai ibu bapa, jangan cepat memarahi atau menghakimi. Duduklah bersama anak, dengar luahan mereka dengan hati terbuka. Pelukan, kata-kata lembut dan sokongan kecil mampu membuat anak rasa mereka masih disayangi.
Kerap menyendiri dan enggan bergaul seperti biasa.
Ucapan negatif tentang diri sendiri seperti “saya tak disayangi” atau “saya menyusahkan orang”.
Mood berubah mendadak, mudah marah atau menangis tanpa sebab.
Gangguan tidur atau selera makan, sama ada berlebihan atau terlalu sedikit.
Minat menurun, tidak lagi teruja dengan aktiviti yang sebelum ini digemari.
Jika ibu ayah perasan tanda-tanda ini, dapatkan segera bantuan daripada guru, kaunselor atau pakar psikologi.